Thursday 12 March 2015

Dewan Rakyat: Bernama Pertimbang Ambil Alih Kepentingan Dalam Bernama TV



Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sedang membuat perundingan untuk mempertimbangkan langkah mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam syarikat itu melibatkan penstrukturan saham dan operasi Bernama TV.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dengan berbuat demikian, ia membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada Bernama yang memiliki 33 peratus saham di stesen televisyen itu.
"Bernama TV adalah saluran berita TV swasta. Ia bukan milik kerajaan. Adalah tidak wajar untuk dipertanggungjawabkan untung rugi syarikat swasta kepada kerajaan," katanya menjawab soalan Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) pada persidangan Dewan Rakyat.
Ooi ingin tahu apa yang terjadi kepada Bernama TV serta nasib kakitangannya yang tidak dibayar gaji mengikut jadual selain sama ada siaran Bernama TV berbahasa Mandarin akan dihentikan.
Bernama TV dimiliki Bernama TV Synergy Sdn Bhd (BRTV) yang ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran 24 jam di saluran Astro 502.
Bernama TV pada awal bulan lepas tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas.
Shabery turut mengadakan pertemuan dengan pekerja Bernama TV untuk berbincang masalah dan juga masa depan stesen televisyen berkenaan pada 12 Feb lepas.
Mengenai isu kelewatan bayaran gaji petugas harian Radio Televisyen Malaysia (RTM), Shabery berkata isu itu tidak timbul sama sekali kerana RTM tidak pernah gagal membayar gaji kepada pekerjanya.
"RTM tidak pernah gagal membayar gaji pekerja. Kelewatan penerimaan gaji petugas harian adalah disebabkan perubahan dari segi prosedur tuntutan.
"Isu pembayaran gaji petugas ini telah selesai," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment