Monday 9 March 2015

Ali Hamsa: Kerajaan tidak bercadang tingkat usia persaraan kepada 62 tahun



Kerajaan tidak mempunyai rancangan dalam masa terdekat untuk menyambung umur persaraan kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan usia persaraan masa kini sudah memadai, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Beliau berkata kerajaan belum memulakan perbincangan untuk menaikkan umur persaraan kerana "kita baru sahaja buat semakan mengenai umur persaraan."
"Bagilah masa bagi kita melalui proses umur persaraan 60 tahun dahulu," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Asean-Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) Centres of Government di Kuala Lumpur hari ini.
Mesyuarat itu bersempena Asean-OECD GRP Practices Conference 2015 yang bermula esok hingga Khamis. Ia akan dihadiri Ketua-ketua Pejabat Perdana Menteri, Setiausaha-setiausaha Kabinet dan Ketua-ketua Setiausaha Kerajaan Negara Anggota ASEAN.
Ali  berkata pada masa sekarang kerajaan akan mengekalkan umur persaraan semasa iaitu 60 tahun.
Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang cadangan berhubung perkara itu, Ali berkata beliau hanya mengetahuinya melalui media.
Sabtu lepas, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengemukakan cadangan supaya kerajaan mempertimbangkan umur persaraan kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara maju.
Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata, ia berikutan negara maju seperti Singapura, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat melanjutkan umur persaraan kakitangan awam kepada 65 tahun.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment