Sunday 22 March 2015

Akhbar Indonesia Mahu Kerjasama Dengan Bernama



FotoBERNAMA
Kedaulatan Rakyat, akhbar terbesar dan tertua di Yogyakarta, Indonesia, hari ini melahirkan minat untuk mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam perkongsian berita melibatkan kedua-dua negara.
Ketua Pengarangnya Dr Okto Lampito berkata kerjasama itu terutama sekali dalam liputan berita yang berkaitan dengan Asean dan antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15) yang berakhir Ahad, serta Sidang Kemuncak Asean 2015.
"Kami memang sepakat seperti pertukaran di online (Kedaulatan Rakyat Online), kami mahu ambil berita yang menarik kerana ramai tokoh-tokoh Malaysia datang ke Jogjakarta yang boleh sahaja kami ambil berita itu," katanya kepada Bernama.
Beliau yang mengetuai rombongan akhbar tersebut seramai 35 orang, dalam rangka lawatan ke Singapura dan Malaysia, berkata pihaknya bercadang membuka stesen televisyen, turut berminat untuk mempelajari dan berkongsi pengalaman dengan Bernama dalam bidang tersebut.
Lawatan rombongan editorial akhbar Kedaulatan Rakyat ke Bernama disambut oleh Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan taklimat mengenai operasi agensi berita itu disampaikan oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Sementara itu, Zulkefli turut menyatakan kesediaan Bernama bekerjasama dengan Kedaulatan Rakyat untuk pertukaran maklumat dalam usaha memperteguhkan lagi kerjasama di rantau ini.
Beliau berkata Bernama berbesar hati, Kedaulatan Rakyat ingin belajar pengalaman Bernama.
"Kami juga boleh belajar banyak daripada Kedaulatan Rakyat yang merupakan akhbar tertua dan popular di Jawa Tengah (diterbitkan sejak 27 Sept 1945)," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment