Thursday 26 February 2015

Bernama Bawa Keceriaan ke Kampung Tanah Rom, Jerantut ...


Tidak cukup membuat liputan banjir besar baru-baru ini, warga Bernama mengambil sikap tanggungjawab sosial dengan mengumpulkan bantuan untuk menceriakan penduduk di Kampung Tanah Rom dekat Jerantut, yang masih berusaha pulih daripada bencana itu.
Misi sekumpulan 30 warga Bernama diketuai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Mokhtar Hussain bergerak seawal 8.30 pagi dari Wisma Bernama bagi menyampaikan pelbagai barangan kepada pelajar dan penduduk di kampung itu hari ini.
Antaranya peralatan dan pakaian seragam sekolah, perabot, permaidani, alatan mengajar, kelengkapan sembahyang dan wang tunai.
Menurut Mokhtar, sebagai sebuah agensi berita, Bernama sememangnya sibuk menyalurkan berita semasa bencana banjir serta keperitan hidup yang terpaksa diharungi mangsa banjir yang kehilangan harta benda terutama di Kelantan, Pahang dan Terengganu.
"Dalam masa yang sama kami di Bernama juga terpanggil untuk membuat kutipan derma dalam kalangan petugas dan ini adalah inisiatif kami sebagai organisasi yang prihatin dengan nasib masyarakat.
"Walaupun kami bukan seperti organisasi korporat yang mempunyai banyak wang, tetapi kami tetap ingin menjalankan tanggungjawab sosial, menderma apa yang difikirkan perlu untuk meringankan beban mangsa terjejas banjir di sini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan pasca banjir kepada penduduk kampung dan Sekolah Kebangsaan Tanah Rom.
Turut hadir Bendahari UMNO Parlimen Jerantut Datuk Ir Jamaluddin Ghazali mewakili Anggota Parlimen Jerantut Ahmad Nazlan Idris; Ketua Pegawai Pendidikan Jerantut Bahari Mat dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tanah Rom Mohd Azmi Abdul Khalid.
Kesemua barangan itu disumbang dengan kerjasama Kelab Kakitangan Bernama (KKB), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita), Rakan Pembimbing Bernama (Akrab), Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita Bernama (InfoLibNews) dengan turut dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dapur gas kepada 52 penduduk Kampung Tanah Rom selain pakaian seragam dan peralatan sekolah kepada 94 orang pelajar sekolah itu yang merupakan antara 15 buah sekolah di Jerantut yang paling teruk terjejas banjir.
Menurut Mokhtar, selaku pengamal media, petugas-petugas Bernama sentiasa bersedia dari semasa ke semasa untuk melaporkan sebarang penderitaan dan keperluan mangsa banjir bagi makluman pihak berkaitan.
Dalam lintas langsung dengan Bernama Radio24, Mohd Azmi berkata beliau mahu mempastikan keceriaan di sekolah itu bagi meningkatkan motivasi pelajar.
Beliau mahu mengubah persepsi para pelajar agar tidak murung melihatkan rumah mereka yang rosak dilanda banjir sehingga perasaan itu terbawa-bawa ke sekolah.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment