Thursday 19 February 2015

Pengurangan Siaran Berita BernamaTV Tidak Dapat Dielakkan


Langkah pengurangan siaran berita di stesen televisyen BernamaTV sejak lebih dua minggu lalu tidak dapat dielakkan, kata Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Zulkefli berkata ia merupakan keputusan pihak pengurusan Bernama, berikutan TV usahasama Bernama dan syarikat swasta itu tiada dana mencukupi untuk mengendali operasi penuh seperti sediakala.
"Siaran berita selama 24 jam itu dikurangkan kepada kira-kira 10 jam sahaja. Langkah ini dikesali namun terpaksa diambil bagi memastikan BernamaTV terus bersiaran," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata ia juga bagi memastikan BernamaTV memenuhi komitmen yang sudah ditandatangani dengan penaja-penaja programnya sebelum ini.
"Buletin berita dalam semua bahasa, dalam keadaan kewangan BernamaTV dari dua tahun lalu sampai sekarang, mungkin sudah terpaksa diberhentikan sekiranya Bernama sendiri tidak mendahulukan peruntukan tunai kepada TV usahasama Bernama-swasta itu.
Beliau mengulas pelbagai komen negatif dan tohmahan dalam blog berhubung pemberhentian siaran berita Mandarin dan Tamil menerusi BernamaTV.
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa langkah rasionalisasi yang diambil adalah pahit namun terpaksa dibuat, ia keputusan komersial tanpa apa-apa prejudis kaum dan politik. BernamaTV terpaksa memberhentikan siaran berita Tamil dan Mandrin untuk mengurangkan kos operasi TV itu," kata Zulkefli.
Beliau berkata petugas-petugas terbabit siaran berita bahasa tersebut kini ditempatkan untuk tugas-tugas yang sesuai.
"Kami menghargai semua pendapat penonton dan pengikut setia BernamaTV selama ini, tetapi mengendalikan operasi TV berita memerlukan dana yang agak besar.
"Selama ini alangkah baiknya kalau pihak-pihak yang mahu kami terus bersiaran membantu dan menggalakkan syarikat-syarikat swasta memasang iklan atau menaja program BernamaTV," katanya.
Zulkefli berkata BernamaTV bukan milik penuh Bernama, Agensi Berita Bernama pada asalnya dan masih merupakan sebuah badan berkanun, berperanan membekalkan berita dan maklumat.
"Untuk membiayai kos agensi ini, ia menjual berita dan maklumat kepada organisasi media yang lain meliputi surat khabar, stesen radio dan TV, badan perniagaan dan pelanggan lain.
"Kini turut menjual produknya kepada portal berita dan orang perseorangan menerusi Internet, selain ia sendiri mempunyai laman Web beritanya iaitu www.bernama.com.," kata Zulkefli.
Bernama juga, katanya, dalam usaha menjana hasil pendapatan, menyediakan pelbagai produk berasaskan berita menerusi pelbagai bahagian yang wujud melalui pelbagai platform termasuk peranti mudah alih.
Beliau berkata ini mustahak dilakukan kerana Bernama bukan jabatan kerajaan yang kos operasinya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, kerana tanpa kegiatan perniagaan dan komersial, agensi ini tiada hasil pendapatan dan justeru tidak dapat terus berfungsi dan berperanan.
"BernamaTV adalah satu lagi usaha komersial Bernama untuk menjana hasil bagi menambah pendapatan agar agensi berita ini dapat meneruskan dan mempertingkat perkhidmatan terasnya iaitu selaku agensi berita nasional tunggal negara yang menyebar luas berita dan maklumat bagi tujuan pembangunan negara," katanya.
Zulkefli berkata disebabkan Bernama tiada modal tunai, BernamaTV ditubuhkan pada 2008 menerusi usahasama tiga syarikat swasta dan Bernama merupakan pemegang saham terbesar bukan majoriti iaitu 33 peratus, selebihnya dikongsi bersama tiga lagi syarikat swasta.
"Bernama menyumbang kepada usahasama itu termasuk bahan berita, peralatan audio-visual termasuk studio yang sedia ada, dan meminjamkan beberapa editor untuk menerajui operasi pemberitaan BernamaTV.
"Syarikat BernamaTV Synergy Sdn Bhd mengeluarkan modal tunai dan menggajikan kira-kira 200 pekerja dengan syarikat itu. Apabila usahasama itu terus tidak menguntungkan, rakan-rakan kongsi swasta sudah tidak lagi menanggung kos operasi mulai sejak 2011 sampailah sekarang," katanya.
Kerana itulah, kata Zulkefli, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) ketika itu mengarahkan Bernama mengambil alih sepenuhnya operasi BernamaTV, dan pada masa yang sama syarikat usahasama itu tidak dibubarkan dan terus wujud dengan 200 pekerjanya dalam senarai gaji syarikat.
Beliau berkata BernamaTV terus beroperasi dan Bernamalah yang membayar gaji pekerja syarikat itu sehingga kini, sedangkan syarikat tidak menjana hasil pendapatan sekalipun untuk menanggung gaji dan kos operasi.
"Kerana sebab-sebab dan pertimbangan tertentu termasuk pilihan raya 2013, Bernama dalam serba kekurangan terus menegakkan dan mengibarkan panji-panji BernamaTV.
"Sampai hari ini, Bernama terpaksa membelanjakan lebih RM12 juta untuk tujuan membayar gaji pekerja syarikat dan membiayai kos operasi," katanya.
Menurut Zulkefli wang itu adalah daripada simpanan agensi berita itu untuk keperluan masa depan bagi menjamin ia dapat terus melaksanakan fungsi dan peranan terasnya sebagai agensi berita nasional yang termaktub mengikut Akta Bernama 1967.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment