Wednesday 18 February 2015

UMK Anggap Media Jadi Penghubung Peranannya...


Media menjadi instrumen penting dalam menghubungkan usaha Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kepada masyarakat bagi melonjakkan tahap sosioekonomi di negeri ini, kata Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Mortaza Mohamed.
Beliau berkata peranan pengamal media cetak dan elektronik juga menjadi faktor terbesar bagi menggerakkan agenda universiti itu dalam memberi khidmat kepada masyarakat.
"Untuk kami gerakkan agenda kami, seperti membantu mangsa banjir menjalani kehidupan lebih baik, hubungan kami dengan media amat besar kerana perkara ini perlu sampai ke akar umbi dan inilah yang kami harapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Salam Perkenalan 2015 UMK bersama Media Kelantan yang dihadiri 30 wakil media cetak dan elektronik di Kota Baharu malam tadi.
Sementara itu, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Rahim berkata pengamal media di negeri itu sentiasa bersedia membantu mana-mana pihak dan memberi perkhidmatan terbaik dalam menyampaikan berita terkini kepada masyarakat.
"Kami buka tangan untuk membantu sebaik mungkin. Sumbangan UMK untuk membantu anak bangsa itu lebih besar daripada tanggungjawab kami," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment