Thursday 12 February 2015

Ahmad Shabery adakan pertemuan dengan petugas Bernama TV...


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini mengadakan pertemuan dengan pekerja-pekerja Bernama TV untuk berbincang masalah dan juga masa depan stesen televisyen berkenaan.
Dalam pertemuan dua jam yang diadakan di Wisma Bernama, Ahmad Shabery berkata beberapa cadangan sedang dipertimbang untuk menyelesaikan masalah melibatkan Bernama TV.
Beliau juga mengumumkan masalah gaji yang dihadapi pekerja akan diselesaikan.
"Walaupun Bernama TV ini adalah sebuah syarikat milik swasta dan Bernama hanya memiliki sebahagian kecil saham tetapi atas dasar kemanusiaan kita akan pastikan tunggakan gaji diselesaikan dalam tempoh dua tiga hari ini.
"Ini bukan soal menyelamatkan sebuah syarikat swasta tetapi ini soal kemanusiaan yang perlu ditangani bagi membantu semua pekerja Bernama TV," katanya pada pertemuan bersama kira-kira 100 petugas berkenaan.
Ahmad Shabery juga memberi jaminan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi Bernama TV bersama pemegang saham yang lain.
Beliau berkata tidak wajar untuk menyalahkan kerajaan dalam isu ini kerana Bernama TV bukan milik penuh kerajaan kerana badan berkanun itu (Bernama) hanya memiliki 33 peratus dalam stesen berita itu.
Bernama TV pada Isnin tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas.
Susulan itu, Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh berkata syarikat yang mengendalikan saluran televisyen berita itu belum membayar gaji untuk bulan Januari kepada petugas syarikat berkenaan.
Katanya Bernama TV adalah milik sebuah syarikat usahasama dan Bernama hanya mempunyai pegangan minoriti 33 peratus dalam stesen berita 24 jam itu, manakala selebihnya dimiliki pihak lain.
"Gaji kakitangan Bernama yang berkhidmat di Bernama TV dibayar oleh Bernama tanpa sebarang masalah.
"Gaji kakitangan syarikat bukan tanggungjawab Bernama dan sepatutnya dibayar oleh syarikat Bernama TV Synergy Berhad (BRTV)," katanya dalam satu kenyataan Isnin lepas.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment