Sunday, 23 September 2018

Hargailah kesihatan untuk elak penyakit...


Sejak diuji dengan penyakit Bell’s Palsy, Editor Foto Adnan Jahaya bercuti sakit di rumahnya di Kangar untuk mudah menjalani rawatan di hospital.
Rumahnya di Taman Bukit Kayangan, Kangar terletak di pinggir Bukit Besi Hangit.
“Setiap pagi saya melihat bukit ini dari halaman rumah sambil bersarapan sebagai terapi mata saya.
“Pagi ini, saya rasa amat kehilangan apabila bukit itu tiada lagi di hadapan mata akibat kabus tebal.
“Saya merasa seperti berada di lereng Mount Titlis di Switzerland,” katanya mengimbau kenangan semasa melawat Eropah.
“Saya masih sakit Bell’s Palsy dan memerlukan rihat sedikit masa lagi akibat kelumpuhan muka selain mata tiba-tiba kabur
“Saya kena Bell's Palsy  sejak 1 Sept semasa perjumpaan keluarga di Kota Tinggi.
“Saya balik jalani rawatan di Perlis sebaik kejadian.
“Sehingga kini saya menerima rawatan fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
“Saya juga jalani pemeriksaan tekanan darah selang sehari.
“Selain tu, saya buat rawatan akupunktur dan urut tradisional.
“Alhamdulillah keadaan bertambah baik.
“Saya dah boleh bertutur walaupun separuh muka alami lumpuh…Cuma proses menghidupkan wajah agak lambat dan mulut masih senget.
“Kesan Bell’s Palsy juga menjadikan mata saya kabur dan perlu jalani rawatan di klinik pakar mata hospital dan sebuah klinik swasta di Alor Setar.
“Saya akan jalani pemeriksaan imbasan otak di hospital pada 25 Sept ini..
“Benarlah kata orang, kita hanya menghargai kesihatan setelah kita sakit,” katanya dalam catatan WhatsApp.
Beliau mendoakan agar rakan-rakan menjaga kesihatan kerana “kos menjaga sihat adalah amat murah berbanding menjaga sakit.”
“Saya mengalami sakit yang dianggap tidak memudaratkan, namun saya merasa sengsara kerana mengabaikan kesihatan disebabkan keghairahan bekerja.
“Bell's Palsy boleh berlaku tanpa amaran dan tanpa diketahui punca sebenarnya.
“Namun berdasarkan beberapa fakta yang boleh dikaitkan dengan kerjaya termasuk berada terlalu lama dalam kesejukan hawa dingin dan stres yang berpanjangan  dan keterlaluan.
“Penyakit ini menjadi pembunuh ekspresi dan saya kehilangan  senyuman dan tawa. “Dalam keadaan begini agak kurang sesuai untuk bekerja dan berdepan dengan  ramai orang.
“Selain itu mata yang kabur mengganggu tugas.
“Langkah terbaik ialah berehat secukupnya kerana kadang-kadang Bell's Palsy boleh sembuh dengan sendirinya.
“Bagi saya adalah lebih baik berusaha untuk sembuh dan tidak menunggu kesembuhan itu hadir dengan sendirinya,” kata Adnan yang mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang mendoakan kesihatannya.
Walaupun bercuti sakit, beliau mengikuti perkembangan di pejabat menerusi WhatsApp kumpulan.
Ketika “perbualan” mengenai tajaan penyu rancak dalam WhatsApp kumpulan itu pada Khamis lepas, Adnan turut memberi komen dengan menyatakan:  “Ayuh kita selamatkan penyu”.
Beliau turut berkongsi foto yang dirakam 10 tahun lalu.
“Lebih 10 tahun lalu saya lepaskan penyu ni ke laut di Pulau Sipadan. Kalau ia masih hidup pasti saiznya kini sebesar nyiru
“Semasa itu saya menyertai Ops Pasir di perairan Sabah. Program menghargai penyu sebahagian daripada kegiatan Ops Pasir yang diadakan selepas peristiwa serangan di Pulau Sipadan.
"Zaman tu saya tengah sihat…sekarang hanya tinggal kenangan,” kata Adnan.

Zalina ibarat sirih pulang ke gagang...


Bertugas di Terenganu bukan sahaja memberi peluang kepada Zalina Maizan Ngah meneruskan khidmat untuk Bernama tetapi kesempatan memajukan negeri kelahirannya.
Anak jati kampung tepian pantai di Kemasik itu berkata masih banyak yang beliau ingin lakukan sebagai ketua biro di negeri itu.
“..awalnya saya ditanya sama ada bersedia ke biro..masa tu tak pula diberitahu negeri mana,” kata Zalina.
“Sebagai pekerja, saya setuju sahaja selepas berbincang dengan suami sebab mahu anak-anak keluar dari ‘kota batu’..
“Sebulan sebelum tarikh pertukaran, barulah dimaklumkan bahawa saya akan ke Terengganu..masa itulah saya rasa rezeki datang bergolek,” katanya yang mengetuai biro itu sejak dua tahun lepas.
Selain membuat liputan berita, Zalina telah mengambil inisiatif untuk menjalin hubungan antara Bernama dengan pelbagai pihak seperti kerajaan  negeri dahulu dan sekarang serta organisasi termasuk pasukan keselamatan dan universiti.
Beliau telah merintis jalan untuk mengadakan hubungan antara Bernama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sehingga perbincangan strategik peringkat tertinggi diadakan di Wisma Bernama, Khamis lepas bagi merangka perjanjian persefahaman.
“Banyak yang tersembunyi di Terengganu yang orang tak tahu..bukan setakat keindahan alam tetapi juga nilai juang masyarakat tempatan.
“Pendekatan saya lebih fokus kepada berita ekonomi, nilai moral dan impak kepada masyarakat..Alhamdulillah banyak story kami memenuhi ruang akhbar dan online.
“Apapun dan..walau ke mana, saya tak kan berjaya tanpa team Bernama Terengganu,” katanya.
“..masih ramai yang anggap kita hanya perlu menulis dan cari berita frontpage..dunia hari ini terlalu mencabar untuk fokus kepada satu perkara sahaja,” katanya.
Setelah 17 tahun menjadi wartawan,  Zalina berkata beliau “banyak mempelajari erti sebenar sebagai manusia”.
“Pengalaman 12 tahun menjadi wartawan mahkamah memberi saya peluang dekat dengan orang bermasalah..akhirnya saya buat keputusan ambil anak angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,  sampai sekarang bersama saya.
“Walaupun dah ada tiga anak kandung tapi saya rasa perlu bantu orang lain…anak ini jadi eksperimen jiwa saya,” katanya.
Anak perempuan berusia tiga tahun itu telah dijaga oleh Zalina sejak lahir.
Menurutnya, ‘baby’ ini menjadi pelengkap kepada tiga anak kandungnya, yang sulung lelaki berusia 14 tahun, kedua perempuan,13 tahun dan ketiga, lelaki, 10 tahun.
“Semua nama hampir sama dan saya pastikan anak angkat juga sama,” katanya.

Saturday, 22 September 2018

Syabiha julang nama Bernama.....

Wartawan Nur Syabiha Sukri menjulang nama Bernama apabila memenangi tempat kedua kategori laporan berita terbaik (media cetak) bagi Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak 2018 yang berakhir hari ini.
Beliau menghasilkan laporan bertajuk Sukma: Perkukuh Perpaduan, Bangunkan Pelancongan Negeri Perak bagi pertandingan itu yang pertama kali diadakan sempena Sukma.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyampaikan hadiah berupa wang tunai RM500, sijil, baucar penginapan dan pas masuk Lost World of Tambun, barangan sukan tajaan Al-Ikhsan dan pas masuk MAPS (Movie Animation Park Studio)
Tempat ketiga dimenangi bekas wartawan Bernama, Jumaiti Rosly dari Berita Harian dengan tajuk Atlet Angkat Berat Yang Mencatat Kejayaan.
Wartawan Sin Chew Daily Pook Sook Yee memenangi tempat pertama dengan tulisan bertajuk "Meriahnya di dalam dan luar stadium' dan menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada upacara penutup malam ini.
Bagi kategori fotografi terbaik, tempat kedua dimenangi Muhammad Afiq Hambali Ahmad Ziad dari Tribes, yang baharu meletakkan jawatan daripada Bernama dan ketiga dimenangi oleh Effendy Rasid dari New Straits Times Press.
Nur Syabiha berkata kepenatan membuat liputan temasya sukan itu berbaloi dengan kemenangan tersebut.
“Alhamdullilah, happy.... semua ni hasil guide dari bos saya kak Ana (Farhanah Azmi), dia banyak bantu saya di sini dan team biro Ipoh, ketua biro kak Salawaty (Supardi) pun banyak membantu saya terutamanya melancarkan kerja kami di sini,” katanya dari Ipoh.
Beliau berkata walaupun penat membuat liputan, sokongan rakan-rakan termasuk dari Biro Perak amat membantu melancarkan kerja.
Nur Syabiha dan rakan Meja Sukan Ahmad Syabil dan dua jurufoto dari ibu pejabat membuat liputan itu selama 14 hari dengan sembilan petugas biro.
Ini merupakan Sukma ketiga yang beliau membuat liputan selepas Sukma di Pahang pada 2012 dan Perlis 2014.
“Sukma ni, kita boleh lihat saingan atlet-atlet pelapis... story berbeza dengan cover Sukan Asia atau Komanwel...story Sukma lebih colour berbanding straight forward,” kata Nur Syabiha yang menyertai Meja Sukan sejak  2011 selepas enam bulan di Meja Berita Am.
“Saya masih baharu...banyak lagi perlu belajar,” katanya.
Pemilihan bagi anugerah media Sukma itu dibuat oleh panel yang dipengerusikan   Exco Belia dan Sukan Perak, Howard Lee yang juga Pengerusi Sekretariat Sukma itu.
Panel turut mengandungi tiga wakil Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) serta wakil Pejabat Menteri Besar.
Antara lain, kriteria yang menjadi tumpuan pemilihan ialah berita-berita mengenai usaha kerajaan negeri yang baharu itu menjadi tuan rumah menganjurkan  temasya sukan terbesar peringkat nasional.
Selain itu berita-berita mengenai kegigihan atlit muda bawah umur 21 tahun mengharungi cabaran untuk melakar kejayaan juga menjadi kriteria pemilihan.

Madinah Semakin Meriah Dengan Ziarah

Daripada Haji Shamsudin Puteh

Musim umrah dan ziarah sudah bermula, walaupun mereka yang menunaikan haji belum semuanya pulang ke tanah air masing-masing.
Sejak seminggu lepas, jemaah dari merata negara membanjiri Madinah, khususnya di Masjid Nabawi.
Jangkaan kumpulan jemaah haji terakhir Malaysia bahawa mereka akan mudah mendapat peluang untuk memasuki Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah kerana jemaah haji lain sudah kembali ke negara masing-masing, meleset sama sekali.
Malah, ramai yang terpaksa menunggu hingga lebih dua jam sebelum dapat menunaikan solat di "Taman Syurga" itu.
Alhamdulillah, walaupun sesak dengan jemaah sejak selesai solat fardu subuh tadi, sempat juga sekali lagi menziarahi makam Rasulullah serta Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Seperti biasa, sebak dan air mata tak dapat ditahan apabila menziarahi tempat bersemadinya insan mulia itu.
Kepada saudara mara dan sahabat handai yang mengirimkan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad (SAW) serta dua sahabat baik baginda yang Allah beri jaminan syurga untuk mereka itu, Alhamdulillah, telah saya tunaikan seperti yang dipinta.
Semoga Allah juga merahmati kita dengan segala kebaikan di dunia dan akhirat. 
Semoga saudara semua di Jemput Allah untuk menziarahi tempat yang penuh keberkatan ini dengan berulang kali.
Sesungguhnya, Baitullah, Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan makam Rasulullah adalah antara destinasi pelancongan ibadah paling istimewa bagi kita.
Haji Shamsudin menghasilkan catatan berbentuk puisi sempena kunjungannya ke Masjid Nabawi di Madinah, sebuah tempat yang sungguh istimewa dan mempunyai erti mendalam bagi umat Islam.
"Malam esok, aku dijadual berlepas pulang ke tanah air, sebuah lagi tempat yang sangat istimewa bagiku.
Semoga kunjungan ini bukanlah yang terakhir sebelum dijemput menghadap Ilahi," katanya.

Coretan Di Pintu Keinsafan

Masjid Nabawi
pertama kali melihatmu
aku kehilangan kata-kata
lidah kelu didakap sayu
dada berombak menahan sebak
air bergenang di kelopak mata
dan pilu menerpa di kalbu
aku malu kepada-Mu ya Allah
kerana dengan dosa yang berdaki di jiwa
amal dan takwa tidak seberapa
Kau tetap sudi menjemput ku ke sini
tempat bersemadi insan mulia
rasul junjungan sekalian alam
pembimbing kami ke jalan kebenaran
Ya Allah
ampunilah hamba-Mu ini
yang sekian lama terlalai
dalam buaian keduniaan
penuh noda dan kepalsuan

--Shamsudin Puteh

Bernama Roadshow jadi acara tahunan...


Bernama Roadshow yang bertujuan mendekatkan agensi berita ini dengan orang ramai serta memperkenalkan produk dan perkhidmatannya akan dijadikan acara tahunan. 
“Insya Allah tahun depan kita ke universiti-universiti tempatan untuk mendekati golongan belia pula,” kata Pengurus Kanan Bahagian Jualan Nasional Bernama Norena Yaacob selepas acara kemuncak roadshow itu sempena “Bernama Gembo-Gembo Run 2018”di Taman Botani Negara, Shah Alam hari ini.
Menurutnya, sambutan hari ini sangat menggalakkan bagi acara itu yang dirancang bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 dan telah diadakan di lima lokasi sejak 29 Ogos.
Lokasi-lokasi itu adalah pusat membeli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lot 10 di Jalan Bukit Bintang, Dataran Medan Pasar dan Sunway Putra Mall yang merupakan tempat tumpuan orang ramai.
“Peserta Gembo-Gembo Run ada 1,000 orang…jadi ramailah yang singgah booth roadshow.
”Banyak hadiah yang kita berikan kepada mereka yang like and follow media sosial kita, hashtag #bernamaroadahow2018 dan sertai ujian baca berita.
“Keunikan yang kita tampilkan waktu sesi mock up baca berita ialah dalam empat bahasa…Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil… media lain tak ada pelbagai bahasa seperti ini.
“Kanak-kanak pula ramai yang sertai aktiviti mewarna yang kita anjurkan,” kata Norena.






Hampir 1,000 peserta jayakan 'Bernama Gembo-Gembo Run 2018'

Hampir 1,000 peserta menjayakan acara larian ‘Bernama Gembo-Gembo Run 2018’ yang julung kali dianjurkan oleh Bernama di Taman Botani Negara, Shah Alam pagi ini.
Acara larian sejauh lima kilometer itu yang bermula 7 pagi disertai pelbagai lapisan masyarakat dan dilepaskan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Menurut Datuk Zakaria, acara ini  bertujuan mempromosikan  produk serta perkhidmatan Bernama kepada  masyarakat.
Beliau berkata sebelum ini, masyarakat sering melihat organisasi itu hanya sebagai penghasil berita serta berita bergambar semata-mata namun fungsi Bernama kini telah berkembang mencakupi pelbagai bidang perkhidmatan.
“Selain jualan berita kepada pelanggan yang kini turut disampaikan secara infografik, kita sebenarnya mempunyai pelbagai produk serta perkhidmatan lain yang masih banyak pihak tidak mengetahui.
“Bernama menawarkan khidmat pengurusan acara, khidmat perhubungan awam, percetakan buku seperti coffee table book selain khidmat promosi kepada mana-mana pihak yang ingin memperkenalkan produk mereka kepada umum,” kata Datuk Zakaria yang menyambut hari lahir ke-61 hari ini.
Katanya, Bernama juga mempunyai perkhidmatan  InfoLibNews, iaitu arkib penerangan dan maklumat yang ibarat ‘perpustakaan berita’ kerana menghimpunkan berita-berita lama daripada organisasi itu sendiri serta akhbar-akhbar utama tempatan bagi memudahkan mana-mana pihak membuat rujukan.
Tambah beliau, organisasi berita yang wujud sejak 51 tahun lepas itu juga sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dengan menggunakan platform multimedia bagi menyampaikan bahan-bahan beritanya.
“Disebabkan itu, Bernama anjurkan acara larian seperti ini supaya kita turun padang dan bawa produk-produk kita kepada masyarakat supaya mereka tahu, organisasi kita ada perkhidmatan lain selain penghasilan berita,” katanya.
Datuk Zakaria berkata larian tersebut dapat menjadi acara tahunan bagi mendekatkan lagi Bernama  dengan masyarakat.
Sempena larian itu, Jerayarawa Bernama yang dikenali sebagai Bernama Roadshow 2018 bertujuan mendekatkan agensi berita itu dengan orang ramai selain memperkenalkan produk dan perkhidmatannya turut diadakan.
Program kerjasama antara Jabatan Niaga, Bernama Radio dan Bernama News Channel itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61 telah diadakan di lima lokasi sejak 29 Ogos.

-- BERNAMA

Friday, 21 September 2018

Of seahorse and strategic partnership...

“We need more men like seahorse. They only have ONE partner their whole life.”
So wrote journalist Nurashikin Abdul Aziz on her Facebook wall after attending a “strategic discussion” between Universiti Malaysia Terengganu (UMT) and  Bernama yesterday.
Not only is the seahorse monogamous but even more interesting when we were informed that the male seahorse carries the eggs and released them into the water after mating.
Research on this iconic creature is among many that the sea-front university has conducted on marine life in line with its motto ‘Ă“cean of Discoveries For Global Sustainablity'.
The university was committed to collaborate with Bernama that it brought along its legal officer to the meeting so she could immediately draft out a memorandum of understanding of a possible tie-up with Bernama.
UMT Vice chancellor Prof Datuk Dr Nor Aieni Haji Mokhtar even offerred an adjunct professorship role to Bernama Chief Executive Officer Datuk Zulkefli Salleh to tap on his wide knowledge and experience in journalism.
Datuk Zulkefli politely turned down the offer, saying he needed to take a break.
Datuk Dr Nor Aieni was impressed that Bernama had effectively produced write-ups and visual reports after an editorial team recently visited the university’s research centres in Pulau Bidong and Pulau Redang in Terengganu.
A major effort highlighted was the university’s research and care on turtles to prevent them from extinction.
Bernama even took the offer of the university adopt-a-turtle programme to boost awareness and mobilise crowd funding for its research.
Datuk Dr Nor Aieni was confident that the collaboration between UMT and Bernama could relay information and knowledge in various fields effectively to the public for their benefit.
She said their collaboration could also generate interest such as about mermaid as the myth is found all over the world.
Citing Pulau Duyong (Mermaid Island) in Terengganu, she said research could be carried out about the origin of its name and create public attraction to the island. 



Datuk Zakaria dirai sempena hari lahir...


Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab, yang disambung perkhidmatannya selama tiga bulan, hari ini diraikan sempena hari lahirnya yang ke-61.
Katanya, beliau amat terharu dengan sambutan itu dan menganggap ia sebagai usaha meraikan silaturahim di kalangan warga Bernama.
Dalam ucapan ringkas, Datuk Zakaria, yang genap 61 tahun esok, turut memaklumkan mengenai panggilan telefon yang diterimanya daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia berhubung perkhidmatannya yang sepatutnya berakhir hari ini.
“Hari Rabu malam setelah pulang, saya mendapat panggilan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyatakan perkhidmatan saya sebagai Ketua Pengarang disambung selama tiga bulan lagi,” katanya kepada hadirin termasuk Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.
Pada Selasa, beliau telah mengumumkan akan bersara mulai Sabtu ini setelah berkhidmat selama 38 tahun dengan Bernama.
“Hari Jumaat ini hari akhir saya sebagai Ketua Pengarang,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama.
Pengumumannya itu telah dilaporkan dalam blog Bernamaians yang kemudiannya menjadi tular dan dipetik oleh beberapa pihak.
Datuk Zakaria berkata berita itu yang bermula sebagai berita dalaman telah ditular.  
“Saya tidak kisah kerana nak tengok ke mana ia pergi…berita yang tular sehingga ke seluruh negara.
“Adik ipar saya di Langkawi pun tahu, sedangkan dia tak tahu mengenai Bernamaians,” kata Datuk Zakaria.
Menurutnya, ia cara yang baik untuk melihat reaksi orang ramai.
“Ramai yang bagi ucapan selamat bersara.
“Saya dapat melihat bagaimana berita itu menular dan ini bukan fake news,,” katanya.
Datuk Zakaria dilantik sebagai Ketua Pengarang pada 9 Disember 2014 dan disambung kontrak setahun apabila bersara wajib pada tahun lepas.