Tuesday 10 April 2018

Yakini media arus perdana...


Masyarakat seharusnya yakin dan percaya kepada media arus perdana dalam mendapatkan maklumat, kata Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Beliau berkata masyarakat tidak sepatutnya mempercayai sepenuhnya pada 'berita' yang disebarkan di media sosial, sebaliknya perlu menilai kesahihan maklumat tersebut.
"Walaupun maklumat yang disebarkan di media sosial lebih pantas daripada media perdana, masyarakat perlulah lebih berhati-hati kerana 'wartawan' di media sosial ini tidak mengamalkan etika seperti yang diamalkan pengamal media.
"Jadi, kita juga mahu mereka yang mengambil alih profesion wartawan ini mengamalkan etika kewartawanan agar perpaduan yang kita bentuk selama ini kekal," katanya semasa menjadi tetamu program Nine-11, terbitan Bernama News Channel hari ini.
Beliau turut melahirkan rasa bimbang memandangkan penyebaran berita tidak sahih akan menjejaskan perpaduan yang sudah sekian lama dibentuk di negara ini kerana media juga berperanan dalam pembentukan perpaduan dan menjaga sensitiviti masyarakat.
Mengenai pelancaran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018 yang akan berlangsung di Dewan Pameran dan Konvensyen Matrade esok, beliau mengharapkan ia terus menjadi acara tahunan bagi memberi pengiktirafan kepada pengamal media.
"Kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (ke majlis pelancaran itu) esok, secara tidak langsung (menunjukkan) para wartawan turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan," katanya.
Bertemakan 'Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara', antara tumpuan sambutan Hawana ialah mengisytiharkan deklarasi yang akan menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment