Wednesday 11 April 2018

Deklarasi Hari Wartawan Nasional (HAWANA)...

Deklarasi bersempena sambutan julung kali Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2017/2018 yang berlangsung hari ini.
Deklarasi itu dibacakan oleh Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap pengerusi Jawatankuasa Induk Hawana 2017/2018, Datuk Zulkefli Salleh pada majlis berkenaan yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia terhasil berdasarkan perbincangan antara pengamal media tempatan dalam satu sesi wacana yang dianjurkan bersempena majlis anugerah itu yang berlangsung di Dewan Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

1.Kami, para wartawan yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip Rukun Negara dan Etika Kewartawanan menyedari bahawa di bahu kamilah terpikul tanggungjawab sebagai satu daripada tiang seri amalan Demokrasi Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak Merdeka oleh negara tercinta, Malaysia.
2. Kami menerima sebagai tanggungjawab utama kami untuk menyedarkan rakyat terhadap amalan murni demokrasi, memacu penglibatan segenap lapisan masyarakat dalam proses pembangunan ke arah kemajuan dan bertoleransi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara.
3. Demi Malaysia yang tercinta, kami dengan ini memahatkan ikrar untuk terus memikul tugas dan amanah dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti. Dengan ini kami berikrar;
i. Dengan penuh amanah akan melaksanakan tugas memaklumatkan rakyat dengan berita-berita yang benar semata-mata, berdasarkan fakta dan data yang jelas dan nyata.
ii. Kami akan memerangi habis-habisan sebarang berita palsu yang direkayasa, yang mengancam keamanan, kesejahteraan dan kedaulatan negara.
iii. Kami berpegang teguh kepada Etika Kewartawanan, berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia, menjunjung ajaran agama dan menjaga nilai serta adab budaya masyarakat.
4. Kami sepakat dan bersetuju untuk berbincang akan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan kami sentiasa mematuhi dan menghormati hak-hak setiap warganegara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepanjang membuat laporan dan liputan berita.
5. Kami sepakat dan bersetuju menetapkan 29 Mei sebagai tarikh tetap sambutan Hari Wartawan Nasional pada setiap tahun. Tarikh keramat ini sekali gus akan sentiasa mengingatkan kami tentang ikrar yang telah terpahat di hati dan nurani kami.
"Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara"
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment