Wednesday 4 April 2018

Hawana 2018 diharap jadi pemangkin penubuhan Majlis Media Malaysia

Penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2018 diharap menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia, kata Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.
Beliau berkata cadangan penubuhan badan itu telah lama diperjuangkan warga media tempatan namun sehingga kini ia belum menjadi kenyataan.
"Kita menggunakan kaedah rundingan dengan pihak berkenaan mudah-mudahan Majlis Media akan wujud dan berperanan sebagai badan pengawal selia media," katanya.
Zulkefli ditemu bual mengenai penganjuran Hawana, yang julung kali akan diadakan pada 11 April, dalam program Selamat Pagi Malaysia siaran RTM1 hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata badan itu antara lain dicadang boleh mengambil tindakan bagi kes-kes kecil melibatkan media jika aduan diterima, manakala bagi aduan lebih serius, ia dibawa ke mahkamah.
Dalam pada itu, beliau berkata idea menganjurkan Hawana tercetus dalam kalangan rakan-rakan pengamal media tempatan seperti yang dianjurkan Indonesia melalui Hari Pers Nasional (HPN) yang menyaksikan edisi 2018 dirasmikan Presiden Indonesia Joko Widodo, Februari lalu.
"Kita sering dijemput ke sana untuk meraikan HPN mereka dan dari situ keinginan untuk mengadakan sendiri Hawana timbul dan ini turut disokong Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak," jelas Zulkefli.
Beliau berkata sambutan Hawana juga bertujuan meraikan dan mengiktiraf peranan pengamal media dalam mencorak sebuah masyakarat dan negara demokrasi melalui berita berpaksikan kepada kebenaran dan kebebasan maklumat yang disampaikan secara beretika dan teratur.
Sebagaimana profesion dan kumpulan lain yang misalnya meraikan Hari Guru, Hari Wanita dan Hari Polis, peranan pengamal media dalam lembaran kehidupan dan sejarah negara juga wajar dirai dan diiktiraf pada majlis yang seumpamanya, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa antara pengisian Hawana ialah majlis wacana melibatkan editor dan pemilik entiti media serta penyampaian Anugerah Hawana iaitu hadiah berprestij bagi mengiktiraf tokoh atau institusi yang banyak berjasa dan menyumbang kepada kemajuan negara.
Aktiviti santai seperti boling akan turut diadakan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual hadir pada Hari Wartawan Nasional 2018 dan seterusnya menyampaikan anugerah sempena sambutan itu yang bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Negara' di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade di ibu negara.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment