Sunday 22 April 2018

Bernama buat laporan polis berhubung berita palsu...

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran berita palsu berkaitan pengumuman calon Barisan Nasional (BN)  Terengganu yang tular di laman sosial semalam.
Ketua Biro Bernama Terengganu Zalina Maizan Ngah membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Berdasarkan laporan tersebut, Zalina Maizan berkata beliau menerima maklumat mengenai berita palsu itu kira-kira 11.20 malam menerusi aplikasi WhatsApp daripada beberapa kenalan.
“Selepas menghubungi ibu pejabat di Kuala Lumpur saya telah menyiarkan berita yang menafikan berlaku penangguhan pengumuman calon bagi mengelak kekeliruan orang ramai,” katanya selepas membuat laporan tersebut.
Katanya laporan itu juga dibuat  untuk membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Berita Tidak Benar 2018 dan menahan mereka yang tidak bertanggungjawab itu.
"Perbuatan tersebut ternyata menjejaskan nama baik Bernama sebagai sebuah agensi berita yang berwibawa dan telus," katanya.
Laporan palsu yang dikatakan ditulis oleh Benama itu menyebut bahawa BN Terengganu telah menangguhkan pengumuman calon-calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-14, yang dijadualkan diumumkan hari ini.
Berita palsu tersebut turut menamakan Timbalan Pengerusi BN negeri Datuk Seri Jailani Johari sebagai sumber berita yang mengatakan bahawa makluman penangguhan tersebut telah mendapat persetujuan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment