Wednesday 4 April 2018

Masyarakat perlu masa untuk fahami RUU antiberita tidak benar...

Masyarakat memerlukan masa untuk memahami Rang Undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan di Dewan Negara, semalam.
Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh berkata kurang kefahaman adalah antara punca segelintir pihak menolak pelaksanaan undang-undang itu.
"Mungkin apa yang berbeza ialah tafsiran tentang apa itu 'berita tidak benar' tetapi undang-undang ini diperlukan untuk mengekang berita palsu yang kini semakin berleluasa,” katanya sebelum program Ruang Bicara yang membincangkan topik Hari Wartawan Nasional (Hawana) di Wisma Bernama hari ini.
Katanya, beliau yakin hakim mahkamah akan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam membuat keputusan dalam kes-kes melibatkan berita palsu.
Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak, yang turut menjadi panel program tersebut, berkata dakwaan pelaksanaan undang-undang itu akan mengekang kebebasan media adalah tidak benar sama sekali.
"Jika kita lihat, negara-negara maju seperti Jerman dan Perancis sudah meluluskan undang-undang ini bagi memerangi berita palsu.
"Perspektif bahawa kebebasan media akan tersekat dengan adanya undang-undang ini ialah 'double standard'. Kini, hari-hari kita menerima lambakan berita palsu, dan tanpa undang-undang ini, kebenaran akan tenggelam," katanya.
Beliau berkata media cetak kini terpaksa bersaing dengan media sosial kerana masyarakat sekarang lebih bergantung kepada teknologi berbanding kertas fizikal, sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk tersebarnya berita palsu.
Katanya, terdapat kajian yang menyatakan berita palsu tersebar 70 peratus lebih meluas berbanding berita sahih.
Sementara itu, Zulkefli, berkata Hawana yang akan berlangsung pada 11 April ini akan mengetengahkan elemen kewartawanan bertanggungjawab dan pada masa yang sama meraikan semua wartawan tanpa mengira latar belakang organisasi media.
"Hawana yang julung kali diadakan turut melihat kebajikan wartawan dan menjadi platform untuk mendidik masyarakat terutamanya generasi muda untuk lebih memahami proses penyebaran berita," katanya.
Hari Wartawan Nasional, bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Negara', dijadual dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, di sini, diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan pengamal media di negara ini.
-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment