Saturday, 26 August 2017

Peserta Kembara Siap Sedia Ke Tanah Suci...


Daripada Abdul Rahman Ahmad di Dubai

Setelah lima hari terkandas di Dubai dek tiada kepastian berhubung visa haji, peserta Kembara Inspirasi Haji kini bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan menuju destinasi terakhir mereka, Makkah, setelah rayuan untuk mendapatkan visa haji termakbul.
Khabar gembira ini dimaklumkan kepada mereka oleh Pengarah projek, Khir Ariffin yang pulang ke tanah air untuk menemui beberapa pihak tertentu yang bertanggungjawab dalam pengeluaran visa haji seperti Tabung Haji dan Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.
Peserta kembara akan menyambung perjalanan ke tanah suci dengan menaiki kapal terbang pada malam Ahad setelah melakukan pengembaraan sejauh 14,700km bermula dari masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan UAE.
"Alhamdulillah, kami berasa terharu dan bersyukur ke hadrat Allah SWT. Atas daya usaha yang seolah-olah sudah berakhir namun berkat usaha dan doa keluarga, saudara mara dan orang terdekat serta pengikut facebook kembara, perkara yang difikirkan mustahil, kita dapat juga visa pada saat akhir beberapa minit sebelum kedutaan Arab Saudi tutup petang tadi (Jumaat)," kata Khir dengan nada sedih dan terharu atas kejayaan memperoleh visa haji itu.
Beliau mengucapkan jutaan terima kasih juga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung seperti menteri-menteri dan pegawai-pegawai serta kedutaan Arab Saudi.
Antaranya, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Duta Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengurus Besar bahagian Operasi Domestik, Datuk Ruzman Ahmad Razali.
Selain itu, Khir merakamkan penghargaan kepada Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Datuk Yubazlan Yusof dan orang perseorangan seperti warga Malaysia Kapten Othman Mat Taib yang menghulur banyak bantuan selain memberi inspirasi semasa mereka dalam kebuntuan.
"Tanpa doa dan sokongan semua, program Kembara Inspirasi Haji mungkin hanya berakhir di Dubai," kata Khir.
Sebaik sahaja mendapat perkhabaran gembira memperoleh visa haji itu, peserta kembara di Dubai tersenyum lebar serta mengucap syukur dan terus membuat persiapan terakhir ibadah haji seperti cara pemakaian kain ihram dan mengulangkaji proses mengerjakan Rukun Islam kelima itu.
"Nampak pada mula tak ada jalan tetapi ternyata Allah SWT pemilik tanah haram yang menentukan segalanya dan sekarang kami berlatih memakai kain ihram dan berbincang mengenai proses mengerjakan haji," kata peserta termuda kembara Mohd Izam Mohd Nor.
"Saya gembira dan berdebar menanti untuk menuju tanah haram, semoga kita sihat dalam melaksanakan ibadah haji dengan sempurna dan mudah-mudahan dikurniakan haji mabrur," katanya.
Bagi Jasmi Jantan, beliau tidak henti-henti bertalbiah sebaik sahaja menerima berita gembira itu setelah memikirkan nasib mereka yang terkandas lima hari di Dubai.
"Walaupun logik akal mengatakan sukar untuk mendapatkan visa haji di saat-saat begini, tetapi berkat doa rakan dan usaha beberapa pihak, kami dapat juga visa haji. Kami akan ke Makkah Ahad ini dengan perasan gembira setelah 33 hari bermusafir. Kini impian yang ditunggu akhirnya tiba dan kami berharap Allah SWT menerima haji kami nanti," katanya.
Muhammad Shahuri Zainuddin, dengan linangan air mata, pula berkata: "Tak tau nak cakap apa. Ini kuasa Allah SWT... yang tak boleh, tetapi dibolehkan. Pada saat ini air mata saya dan rakan-rakan mengalir, ini yang dinamakan pengorbanan dan ketahanan jiwa dan ketakwaan. Insya-Allah Ahad ini kami akan ke Makkah."
Sementara itu keluarga peserta di Malaysia mengucap syukur dan meluahkan perasaan lega serta gembira setelah mengetahui peserta kembara sudahpun mendapat visa haji yang membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke tanah suci.
Hamidah Jantan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang membantu sehingga berjaya mendapatkan visa haji untuk peserta kembara termasuk untuk adiknya Jasmi dan isterinya Zuraini Abdul Malek.
Ketika menunggu berita gembira mengenai visa haji itu, semua peserta kembara berpuasa sunat Zulhijjah.
Dalam pada itu, kedua-dua kenderaan pacuan empat roda yang digunakan sepanjang pengembaraan itu telah dihantar pulang ke Malaysia menerusi agensi penghantaran pulang kenderaan di Dubai pada hari Jumaat.
-- BERNAMA

Friday, 25 August 2017

Syukur dapat visa Haji...

Para peserta Kembara Inspirasi Haji boleh menarik nafas lega dan bersyukur untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci setelah mendapat visa Haji.
Berita gembira itu dimaklumkan menerusi Facebook kumpulan itu malam ini.
Ia turut memuatkan foto Pengarah Projek, Khir Ariffin yang tersenyum gembira dengan perkembangan itu.
Beliau telah mengambil keputusan pulang ke Kuala Lumpur dari Dubai dua hari lepas sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan visa haji.
 "Alhamdulillah. Sujud syukur.
Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia dan Asia yang mendoakan.
Terima kasih kepada menteri2 dan para pegawai yang terlibat.
Terima kasih kepada TH dan para pegawai yang terlibat.
Terima kasih kepada duta dan kedutaan Saudi yg terlibat.
Terima kasih kepada semua sukarelawan PEKA yg terlibat.
Terima kasih kepada semua media yg terlibat.
Doakan kami mendapat haji yang mabrur.
Kisah di sebalik tabir akan dikongsikan dalam travelog 13 episod nanti untuk jadi pedoman dan pengajaran.
Syukur kami mendapat visa furada. Terima kasih pak menteri yg prihatin dan baik hati," menurut catatan terkini mereka dalam Facebook.
Enam peserta Kembara yang kini berada di Dubai termasuk dua wakil Bernama -- Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Abdul Rahman Ahmad dan jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan yang lebih dikenali sebagai 'Awi'. 
Mereka telah melakukan perjalanan 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Lumpur sejak 18 Julai lepas.
Mengikut perancangan, mereka akan menaiki kapalterbang di Dubai untuk ke Jeddah dan seterusnya ke Tanah Suci.
Dua kenderaan itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat tempatan untuk diuruskan penghantaran pulang ke Malaysia menerusi kapal. 

Doa selamat untuk Muammar...

Majlis doa selamat diadakan pagi ini di Tingkat 6 Wisma Bernama bagi pegawai berita Meja Bahasa Arab, Muammar Eusouffi Zainol Abidin yang akan mengerjakan Haji di Tanah Suci.
Beliau dijadualkan berlepas Ahad ini bersama Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, isterinya Datin Ruhiza Hashim, Pengarah Operasi Bernama News Channel Hakimi Zuffrida Mohd Zain dan mantan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Puan Salbiah Said, yang kini bertugas dengan Unit Portal.
Majlis itu juga diadakan bagi bekas editor Meja Antarabangsa Nor Faridah Abdul Rashid yang dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi berikutan persaraan Mikhail Raj Abdullah.
Ia juga bertujuan meraikan kedatangan pengarang Meja Berita Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Haji Ahmad Fuad Yahya yang akan menggantikan saudari Nor Faridah sebagai Editor Meja Antarabangsa mulai 4 Sept  ini.
Muammar berterima kasih dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh rakan-rakan dari Perkhidmatan Berita Antarabangsa yang turut mengandungi Meja Bahasa Arab serta 'jiran' di Tingkat 6 iaitu Meja Rencana.
"Kalau ikutkan, saya yang sepatutnya buat majlis sebelum berangkat untuk menunaikan Haji," kata Muammar, 28, yang amat bersyukur mendapat kesempatan tersebut.
Sebelum menyertai Bernama, beliau pernah menjadi mutawif bagi agensi pelancongan yang mengendalikan perjalanan umrah. 
Doa dipimpin saudara Noor Azuki Fahme Ismail dari Meja Bahasa Arab.
  




"The Day We Met PM"

It was a pleasant surprise for National Sales Division Senior Manager Norena Yaacob when she had an unexpected chance of meeting the Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak on Tuesday.
Norena and her team had accompanied Pullman Putrajaya Lakside Corporate Communications Head Hanuratha Thamiselvan to the Prime Minister’s Office to deliver a specially-baked cake by the hotel in conjunction with the 60th National Day celebrations.
Corporate Communications Manager Zarina Rozali also represented Bernama for the event as it involved the news agency collaboration with the hotel.
“Initially we wanted to hand over the cake to the Prime Minister’s private secretary at his office but when he saw the cake, he was very impressed with its size and beauty and suggested that the handing over be done at the third floor where the Prime Minister was having a meeting,” said Norena.
Without expecting to meet the Prime Minister when she went to Perdana Putra to deliver the cake, she was delighted after it was suggested that it would be handed over to him.
“Of course, I was happy to meet the PM,” she said, recalling there were many ministers and pressmen around.
When the Prime Minister emerged from the meeting at about 12.30pm, he was happy to receive the cake which had a layer adorned with a number of the blue-and-white Bernama logo. 
“PM said thank you and congratulations for the initiative…he asked what was the occasion for the cake,” said Norena.
Zarina too said she did not expect the Prime Minister would be around.
"It was unplanned," said Zarina who was happy to meet the Prime Minister.
The hotel had wanted to prepare the cake to celebrate the National Day and suggested that Bernama collaborate to realise it. 
The three-layer, 60-kilogramme cake was created by Pullman Putrajaya Lakeside Sous Chef Executive Zam Zaini Hussin.

Thursday, 24 August 2017

Terus berusaha dapatkan visa haji...

Daripada Abdul Rahman Ahmad di Dubai

Lantaran tidak mahu menghampakan peserta Kembara Inspirasi Haji, seorang daripada anggota kembara pulang ke Kuala Lumpur semalam dalam cubaan terakhir untuk mendapatkan visa haji bagi memastikan mereka dapat  mencapai aspirasi dan menamatkan pengembaraan dengan mengerjakan haji di Tanah Suci.
Pengarah Projek, Khir Ariffin berlepas pulang dengan membawa segunung harapan agar visa haji dapat dikeluarkan untuk peserta kembara yang terkandas di Dubai sejak empat hari lepas setelah dimaklumkan bahawa permohonan visa haji mereka ditolak.
"Waktu masih ada bagi kita peserta kembara untuk mendapatkan visa haji dengan ketentuan Allah SWT... kita hanya perlu berusaha kerana ini satu ujian.
"Kembara ini bukan pengembaraan yang kita buat secara spontan tetapi kita sememangnya telah merancang sejak sekian lama dan telah memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab termasuk Tabung Haji mengenai pengembaraan ini sebelum memulakan perjalanan," kata Khir di lapangan terbang antarabangsa Dubai.
Sejak dimaklumkan permohonan visa haji ditolak, Khir dan peserta lain sedih, namun tidak putus-putus mendapatkan nasihat dan bantuan daripada pelbagai pihak berkaitan cara untuk mendapatkan visa haji, termasuk daripada konsul jeneral Malaysia di Dubai.
Wakil Pertubuhan Kembara Amal (PEKA) yang menganjurkan kembara itu juga masih berurusan dengan kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur dan Tabung Haji untuk mendapatkan bantuan permohonan visa haji.
Semasa di Kuala Lumpur, Khir akan menemui pegawai tinggi Tabung Haji termasuk Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan pegawai Kedutaan Arab Saudi untuk memohon mendapatkan visa haji buat kali terakhir.
Peserta kembara telah melakukan perjalanan 14,700km merentasi Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menaiki dua kenderaan pacuan empat roda dari Kuala Lumpur sejak 18 Julai lepas.
-- BERNAMA

Kembara Harta Karun NPC Kumpul Dana Tabung Kebajikan Wartawan

Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) menganjurkan kembara mencari harta karun 'World of Wonders' NPC-Perak 2017 terbuka kepada penyertaan media dan orang awam dari Kuala Lumpur ke Pulau Pangkor pada 16 September ini.
Kembara itu diadakan bersempena dengan Tahun Melawat Perak 2017, bertujuan mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Wartawan NPC.
"Dimulakan pada 2006, Tabung Kebajikan Wartawan itu membantu para wartawan dan anggota keluarga mereka menerusi sumbangan sekiranya berlaku kematian semasa tugasan atau ditimpa penyakit," kata Presiden NPC Datuk Mokhtar Hussain dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehingga kini, lebih daripada 70 profesional media termasuk wartawan, bekas wartawan dan jurugambar serta keluarga mereka menerima sumbangan daripada tabung itu di seluruh negara.
Peserta kembara mencari harta karun itu akan bermalam di Puteri Bayu Beach Resort di Pulau Pangkor.
Mokhtar berkata kerajaan negeri Perak dan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi sokongan penuh kepada kembara ini yang akan menyaksikan penyertaan kira-kira 300 pencari harta karun menaiki 70 kereta dalam kategori media dan terbuka.
NPC turut mengundang Zambry sebagai penaung acara itu dan menyampaikan hadiah pada majlis makan malam pada 16 Sept di resort berkenaan.
Kembara mencari harta karun NPC diadakan sejak 1994, juga bertujuan memupuk muhibah dan rangkaian dalam kalangan media, rakan korporat dan penaja serta orang awam.
Tiga hadiah utama pertandingan itu ialah RM5,000, RM3,000 dan RM2,000. Cabutan bertuah akan turut diadakan pada majlis penyampaian hadiah itu nanti.
Borang penyertaan boleh didapati di NPC di 84, Jalan Tangsi, 50480 Kuala Lumpur. Pendaftaran dalam talian boleh dilakukan di laman web NPC www.nationalpressclub.org.my/treasurehunt.
Borang yang lengkap perlu dihantar bersama-sama yuran penyertaan kepada NPC atau fakskan ke 03-2691 6331 dengan slip bank (tertera nama peserta) sebagai bukti pembayaran ke akaun Maybank bernombor 564258-410498.
Cek pula mestilah dibuat atas nama 'The National Press Club Malaysia (1992)'. Tarikh tutup penyerahan borang penyertaan ialah pada 4 Sept ini.
Maklumat lanjut boleh didapati daripada Pengurus Kelab NPC Steven Foo di talian 03-2694 0525, faks: 03-2691 6331 atau (telefon bimbit) 019-245 8073 atau pun e-mel kepada nationalpressclub@ gmail.com.
-- BERNAMA


Wednesday, 23 August 2017

'Unsung hero' menggalas tanggungjawab...

Dalam sekelip mata, jurufoto Bernama Ahmad Iskandar Kamaruzaman, 31, menjadi tumpuan ramai.
Aksi lariannya yang ‘lebih laju’ dari atlet pecut negara, Khairul Hafiz Jantan untuk mendapatkan momen terbaik selepas acara 100 Meter lelaki akhir pada temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil malam tadi mendapat pujian di media sosial.
Walaupun menggalas peralatan kamera yang berat, Iskandar tabah mengejar dan memintas Khairul Hafiz untuk merakam detik-detik kemenangan itu sehingga mendapat gelaran 'Unsung Hero' di kalangan netizen.
“Kalau kata unsung hero tu macam terlalu besar sebab kami jurufoto ni perakam sejarah negara," kata Iskandar yang meminati bidang fotografi sejak zaman persekolahan. 
"Benda yang berlaku merupakan satu kebanggaan negara...sekarang mungkin nampak biasa, tapi 10-20 tahun akan datang gambar ni akan jadi satu aset negara yang tak ternilai kerana negara berjaya lahirkan atlet yang berjaya di peringkat Asia Tenggara dan Insha Allah dunia juga,” katanya.
“Momen seperti ini jarang berlaku untuk Malaysia ditambah pula Khairul berjaya meraih title Raja Pecut Asia Tenggara. Pada masa ini cabaran bermula sebab Khairul memang sedang seronok meraikan kejayaannya.
"Dia berlari, naik ke grand stand jumpa Perdana Menteri dan Sultan Selangor, turun balik berlari lagi. Kalau boleh satu stadium dia nak pusing untuk menunjukkan betapa gembiranya dia meraih emas untuk negara.
"Kami sebagai jurufoto dan juga jurufoto agensi lain bertungkus lumus mengejar beliau. Ibarat kata, dari tak boleh berlari laju disebabkan faktor fizikal terus kami jadi macam pelari profesional,” cerita Iskandar sambil tergelak.
“Masa saya lari tu saya tak boleh fikir dah barang jatuh ke, handphone jatuh ke, sebab masa tu saya cuma fikir saya tak boleh terlepas setiap momen yang dia buat.
"Dari berlari, melompat, sujud semua saya cuba pastikan saya tak akan tertinggal. 
"Sebab ini merupakan tanggungjawab yang diberi untuk saya.
"Saya perlu laksanakan sebaik mungkin keranan beban yang saya pikul adalah nama unit fotoBERNAMA dan secara tak langsung saya membawa nama BERNAMA.”
“Saya dan rakan-rakan yang bertugas di Sukan SEA 2017 cuba bagi yang terbaik agar kita dapat merakam detik-detik hebat negara,” jelasnya.
--BERNAMA

Aksi Jurufoto Bernama Jadi Bualan Di Media Sosial...

Komitmen tinggi yang ditunjukkan jurufoto Bernama, Ahmad Iskandar Kamaruzaman ketika mengejar jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan untuk mendapatkan 'shot' terbaik, menjadi perbualan hangat di media sosial.
Video aksi Ahmad Iskandar atau dipanggil 'jurufoto berbaju hijau' yang berlari sehinggakan satu ketika aksinya 'mengalahkan' pelari pecut negara itu, tular di laman sosial dan mendapat banyak respons positif daripada netizen yang menghargai kesungguhan beliau mendapatkan gambar yang terbaik.
Malah, gambar dan video itu sedikit sebanyak membayangi kejayaan Khairul Hafiz memenangi acara 100 meter di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Seorang pengguna media sosial Facebook, Syahril A. Kadir berkata inilah antara cabaran dan tanggungjawab yang perlu digalas semua jurukamera dan jurufoto dalam menghasilkan 'karya seni' mereka.
"Jurufoto sukan secara zahirnya nampak macam tak ada beza dengan jurufoto yang lain tetapi hakikatnya mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran tersendiri yang ramai orang di luar sana tak tahu. Gua salute dengan anak Pak Jantan, tetapi pada masa sama gua juga salute dengan lu, lu memang 'jantan' habis bro" katanya.
Ariff Hashim menerusi akaun Facebook berkata dia merasa terhibur melihat gelagat jurufoto itu semasa sedang menyaksikan acara akhir 100m lelaki itu di sebuah kedai makan.
"Satu kedai makan tadi rasa terhibur dengan gelagat abang cameraman baju hijau tu..nampak bersungguh dia nak ambil gambar Hafiz..hebat!, katanya.
Bagi Daeng Khairul pula berkata dia menghargai apa yang dilakukan oleh jurufoto itu yang mengutamakan tugasannya walaupun terpaksa berlari dengan bebanan membawa beg dan kamera bersamanya.
"Aku duk tengok abang baju hijau itu kelakar cari 'posing' baik punya, sekurang-kurangnya bossnya dapat tengok pekerjanya bersungguh-sungguh ambil gambar untuk dicetak di media massa. Salute abang photographer tadi, kredit untuk dia. Harap hujung bulan ini dia dapat bonus lebihlah. Tahniah," katanya di akaun Facebooknya.
Laman Facebook Harimau Malaya, portal berita berkaitan sukan negara. turut mengucapkan tahniah kepada jurufoto ini kerana akhirnya berjaya mendapatkan shot terbaik raja pecut itu.
"Abam (abang) kameraman baju hijau the unsung hero, gelagat dia sama-sama naik dengan Hafiz Jantan. Akhirnya dapat juga shoot gambar Hafiz, katanya.
Selain komen yang menghargai kesungguhan jurufoto itu, ada juga yang mencadangkan supaya Sukan SEA kali ini menambah satu lagi pingat iaitu untuk jurufoto terpantas.
"Rata-rata netizen terhibur dengan gelagat abang cameraman ini sehingga ada yang minta agar beliau turut dianugerahkan pingat emas untuk acara jurufoto terpantas," kata Mujahid Mujibbudin yang turut mendapat sokongan ramai.
Pengguna Twitter pula, @Afiq04irfan pula menulis di akaunnya "Cameraman baju hijau ternyata lebih laju daripada Khairul Hafiz Jantan manakala @syazwansarafi menulis Gigih photographer baju hijau tu kejar, macam boleh wakil Malaysia je next sukan SEA".
Khairul Hafiz diangkat menjadi jaguh pecut yang baharu selepas mengetepikan juara edisi terdahulu Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.38 saat.
-- BERNAMA