Friday, 12 October 2018

Adnan gembira terima kunjungan rakan-rakan dari ibu pejabat


Editor Foto Adnan Yahya amat seronok dengan kehadiran para pegawai dan kenalan Bernama dari ibu pejabat yang mengunjungi beliau di rumahnya semalam.
“Hakikatnya saya juga rindukan mereka yang sebelum ini sering berjumpa pada mesyuarat penyelarasan setiap minggu dan beberapa urusan berkaitan pejabat.
Sakit Bell's Palsy saya semakin sembuh kerana menjalani fisioterapi dua kali seminggu di Hospital Tuanku Fauziah selain urutan tradisional dan akupuntur.
Saya mendapat panggilan daripada Biro Perlis bahawa para pegawai kanan  Ibu Pejabat BERNAMA akan menziarahi saya.
Hati berdebar apabila seorang demi seorang bertanya adakah saya mengenali mereka dalam keadaan penglihatan saya yang samar.
Saya menyebutnya dengan mudah dan tepat walaupun mata saya kabur.
Mereka meminta saya berfikir soal kesihatan pada masa ini dan melupakan seketika masalah pejabat.
Pandangan yang sama juga disuarakan oleh saudara mara, rakan dan sahabat handai ketika menziarahi saya.
Yang pasti saya terasa amat segar dengan kehadiran mereka ke kediaman saya yang terletak di bawah bayangan petang Bukit Besi Hangit.
Saya tidak sabar untuk sembuh dan kini saya juga sedang merawat mata saya.
Akhir bulan ini saya akan menjalani rawatan dan ujian tekanan mata sepanjang hari pada 31 Oktober.
Saya berharap mata saya bertambah baik dan tidak sabar untuk memandu semula ke pejabat.
Saya pasrah dengan situasi ini dan berdoa akan mendapat rahmat di sebalik kesakitan ini.
Saya juga sentiasa mendoakan supaya saya turut dikembalikan bertugas di Perlis bagi memudahkan urusan rawatan
Bagi mengisi waktu ketika bercuti sakit ini, Adnan berkata beliau melihat kehijauan bukit dari halaman rumahnya.
Sesekali saya ke Sungai Perlis untuk senaman di litar kecergasan.
Jika isteri ada kelapangan, dia akan membawa saya dengan kereta melihat sawah yang kini telah habis musim menuainya.
Semua ini dilakukan untuk terapi mata dan  minda.
Biasanya sebelah petang saya jarang keluar kerana ada yang hendak menziarahi saya di rumah.

Bernama Pulau Pinang terima kunjungan pegawai ibu pejabat


Rombongan pegawai sumber manusia dan kewangan dari ibu pejabat mengakhiri lawatan ke pejabat-pejabat biro di utara dengan mengunjungi Pulau Pinang hari ini.
“Banyak isu  berbangkit dapat diselesaikan dan perkara lain yang boleh dibuat penambahbaikan selain mengeratkan hubungan ibu pejabat dengan petugas di biro,” kata Pengurus Sumber Manusia Puan Mariati Arif.
Pejabat Bernama Pulau Pinang di 39B Jalan Rangoon, Georgetown yang dikunjungi itu baharu diduduki oleh Bernama setelah pejabat sebelum ini dinaiki air dalam banjir yang disifatkan paling buruk melanda Pulau Pinang pada November lepas.
Ketika itu para petugas tidak boleh beroperasi dalam pejabat kerana tiada elektrik manakala permaidani semuanya rosak disebabkan banjir.
Ketua Biro, Sharifah Nurliza Syed Mohammad berkata masalah banjir tidak lagi timbul di pejabat baharu itu yang terletak di tengah bandaraya.
“Kawasan ofis ni bukan kawasan banjir so dah tak ada masalah banjir...,” katanya yang menghadiri pertemuan dengan para pegawai dari ibu pejabat itu.
Selain Mariati, rombongan itu disertai Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran Azeman Ariffin, Pengurus Kanan Kewangan dan Akaun Puan Sharifah Zaini Syed Zain, Pengurus Harta dan Pentadbiran Hasni Farlina Abd Hasim, Pengurus Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Abdul Halim Hafiz, Pegawai Tadbir Bahagian Harta, Shahrul Azim Rambli dan Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Yussa Yunus.
Mereka telah melawat biro Kedah dan Perlis sejak tiga hari lepas.
Puan Mariati berkata lawatan juga akan dibuat ke biro-biro di Pantai Timur dan selatan.





Thursday, 11 October 2018

Jejak kasih lawatan ke biro...

Ibarat kisah jejak kasih tercetus apabila sepasukan pegawai sumber manusia dan kewangan dari ibu pejabat melawat ke pejabat-pejabat biro di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang mulai semalam.
Sebelum mereka bertolak ke Kangar pagi ini, seorang pesara Bernama yang telah lama cuba dijejaki datang ke hotel penginapan mereka di Alor Setar, mengembalikan nostalgia bagi mereka yang saling mengenali.
Setelah sekian lama, bekas pembantu am pejabat di biro Pulau Pinang, Rosli Nayan yang bersara pada 1 Januari 2013 bertemu semula dengan saudara Azeman Ariffin, yang menjadi ketua biro berkenaan ketika itu.
Rosli, 52, kini menetap di Jitra dan bekerja kampung.
Beliau menyertai Bernama pada November 1984 dan berkhidmat selama 28 tahun sebelum membuat kuputusan bersara pilihan.
Sempena pertemuan itu, Azeman yang kini Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran menyerahkan sijil dan hadiah pesara kepada Rosli yang sebelum ini tidak dapat dihubungi.
Setelah melawat Biro Perlis pagi ini, rombongan itu mengunjungi Editor Foto Adnan Jahaya yang sedang bercuti sakit di  rumahnya di Taman Bukit Kayangan, Kangar.  
Selain Azeman, turut menyertai pasukan pelawat itu ialah Pengurus Kanan Kewangan dan Akaun Puan Sharifah Zaini Syed Zain, Pengurus Bahagian Sumber Manusia Mariati Arif, Pengurus Harta dan Pentadbiran Hasni Farlina Abd Hasim dan Pengurus Kanan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Abdul Halim Hafiz.
Lawatan ke biro itu bertujuan melihat keadaan pejabat, kebajikan petugas serta mendengar sebarang isu berkaitan sumber manusia, pentadbiran, harta dan kewangan.
Ia juga bertujuan membuat naziran dengan menyemak rekod kehadiran petugas, rekod cuti, fail meja dan menambah baik carta organisasi biro.
Biro-biro juga dimaklumkan mengenai cadangan untuk memasang alat pengecam ibu jari untuk rekod kehadiran petugas di semua biro.
Alat itu dicadang dipasang pada bulan Disember untuk dikuatkuasa penggunaannya pada bulan Januari depan.
Mereka akan melawat Biro Pulau Pinang esok. 

Wednesday, 10 October 2018

Pengalaman yang amat bernilai...


Setelah tujuh hari mengikuti misi bantuan kemanusiaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)  bagi mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi, Indonesia,  Ketua Meja Jenayah Bernama Amrizan Madian berlepas pulang malam ini bersama pasukan itu.
Dalam perbualan menerusi WhatsApp sebelum menaiki pesawat A400M TUDM itu, beliau berkata mereka dijadualkan bertolak ke Subang dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta pada pukul 8 malam.
“Bangga rasanya dengan kecekapan dan keberanian anggota pasukan TUDM kita...
“Tiada pesawat sebesar A400M yang berani mendarat di Palu selain pesawat milik TUDM.
“Tiada pesawat tentera yang membawa muatan seberat 22 tan ke Palu selain  pesawat A400M milik TUDM,” katanya merujuk kepada jengkaut yang diterbangkan oleh pesawat itu semalam.
“Bukan sahaja mendapat pujian rakyat Malaysia, malah juga telah menarik perhatian rakyat Indonesia di Palu yang terharu dengan usaha Malaysia untuk membantu mangsa bencana di sana.
“Mangsa yang ditemui tidak henti-henti berkata syukur dan semoga Malaysia diberikan barakah kerana sangat prihatin dengan nasib malang rakyat yang ditimpa bencana di Sulawesi sejak 28 Sept lalu,” kata Amrizan.
Beliau menceritakan mengenai pertemuannya dengan seorang penduduk Sofiati Saidi, 60, yang tidak henti henti mengucap syukur kepada Malaysia yang telah banyak membantu misi bantuan bencana di Palu.
“Ya Allah syukur kerana masih ada negara seperi Malaysia yang tidak henti-henti menghulur bantuan kepada kami di Palu, katanya,” menurut Amrizan.
“Mula-mula Sofiati takut untuk bercakap dengan saya tapi bila saya kata kami datang untuk bantu mangsa di Palu dia jadi bersemangat untuk berkongsi pengalamannya,” kata Amrizan.
“Dia kata ini ujian daripada Allah kepada mereka...mereka redha dan syukur kerana masih selamat...tapi ada ramai lagi keluarga mereka yang hilang dan terkorban...
“Katanya keluarga dia selamat tapi untuk sementara waktu dia akan tinggal di Balikpapan sehingga keadaan kembali aman dan selamat di Palu,” katanya.
Amrizan mengakui bahawa beliau terasa penat melakukan tugasan (assignment) seperti itu.
“Jetleg...Team airforce ada dua shift tapi kami tiap-tiap hari fly walaupun hanya duduk tapi memang letih.
“Tujuh jam sehari fly... selama lima.hari,” katanya.
“Hari ini ada dua jam 30 minit lagi untuk sampai Subang,” katanya.
“Penat hilang bila tengok story pakai...kalau tak pakai pun, pengalaman tu yang mahal nilainya,” katanya.

Tuesday, 9 October 2018

Anugerah Media Pelancongan Perubatan diperkenalkan...

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) mempelawa pencalonan wartawan antarabangsa dan tempatan, serta agensi media untuk Anugerah Media Pelancongan Perubatan (MTMA) 2018 yang buat julung kali diadakan.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli berkata anugerah itu merupakan sebahagian daripada usaha agensi untuk meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi global utama untuk penjagaan kesihatan.
Media memainkan peranan penting melalui laporan mengenai industri pelancongan perubatan Malaysia, katanya dalam satu kenyataan
“MHTC mengiktiraf dan memperaku sokongan yang diberikan oleh media bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia dalam inisiatif kami untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan global yang terkemuka.
"Anugerah ini bertujuan untuk memberi penghargaan kepada yang terbaik dalam kewartawanan pelancongan perubatan dalam kategori meliputi media cetak, televisyen, radio dan media online," kata Sherene.
Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan pada MTMA 2018 termasuk Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Cetak Terbaik), Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Penyiaran Terbaik), Anugerah Media Pelancongan Perubatan (Media Online Terbaik), “Medical Travel Journalist of the Year” dan ​”​​​​​​Medical Travel Editorial Team of the Year.”
"MTMA 2018 adalah sebahagian daripada usaha Malaysia Healthcare untuk membuka jalan ke arah mencapai “Malaysia Year of Travel Travel 2020 (MYHT2020)" bertujuan  memposisikan negara sebagai hab Asia untuk rawatan kesuburan dan kardiologi, serta destinasi global utama untuk pelancongan penjagaan kesihatan.
Ini sejajar dengan matlamat negara untuk menjana hasil sebanyak RM2.8 bilion dengan anggaran impak ekonomi sebanyak RM10 bilion yang disumbangkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.
Pemenang empat kategori pertama masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi manakala pemenang kategori final akan menerima hadiah wang tunai RM8,000 dan trofi ," kata beliau.
Sekretariat kini menerima penyertaan bagi mana-mana artikel atau ciri penyiaran yang diterbitkan atau disiarkan ke udara antara 1 Jun 2018 hingga 30 Jun 2019.
Tarikh akhir penyerahan penyertaan adalah 30 Jun 2019 dan keputusannya akan diumumkan pada majlis penyampaian anugerah di Kuala Lumpur menjelang Ogos 2019.
-- BERNAMA

Jengkaut diterbangkan untuk Palu...

 Sebuah jengkaut seberat 22 tan diterbangkan pesawat A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Palu, Sulawesi yang mengalami kemusnahan setelah dilanda gempa bumi dan tsunami.
Jengkaut yang disumbangkan sebuah syarikat pertahanan Indonesia dimuat naik dari Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta dan diterbangkan ke Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri di Kota Palu.
Pesawat itu diterbangkan Pegawai Memerintah 22 Skuadron Lt Kolonel Baharin Mohamad yang dibantu pembantu juruterbang Mejar Inamul Hasan Shuhaimi Basha.
Leftenan Kolonel Baharin berkata jengkaut berkenaan merupakan jentera paling berat yang pernah terbang dengan pesawat berkenaan.
"Pesawat berkenaan mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri kira-kira pukul 4.50 petang waktu tempatan walaupun cuaca agak berangin dan berawan,” katanya kepada media Malaysia yang menyertai misi itu.
Sebelum ini pesawat A400M TUDM hanya membawa muatan lori tangki minyak seberat 12 tan selain bekalan makan.
Liputan Bernama mengenai pendaratan itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook petang ini oleh Ketua Meja Jenayah Bernama, Amrizan Madian.
Amrizan melaporkan bahawa penghantaran jengkaut itu merupakan satu kejayaan bagi misi tersebut kerana ia merupakan jentera paling berat yang pernah diterbangkan oleh pesawat itu.
Pasukan misi kemanusiaan TUDM itu dijagualkan kembali ke ibu negara esok setelah memulakan gerakan itu pada 4 Okt lepas.








Tempahan baju korporat


Tahap kesejahteraan penjawat awam sederhana, kata KPPA

Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia (IKPM) menunjukkan tahap kesejahteraan atau psikologi penjawat awam sebagai sederhana, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Borhan Dolah.
Menurutnya, hasil kajian fasa pertama terhadap penjawat awam pada Ogos lepas mendapati nilai komposit indeks kesejahteraan psikologi penjawat awam adalah pada kadar 6.9 daripada skala maksimum 10.
"Ini menunjukkan tahap kesejahteraan penjawat awam adalah pada tahap sederhana," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam ke-23, di Putrajaya hari ini.
IKPM merupakan satu inisiatif yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengukur tahap kesejahteraan mental dan emosi rakyat mencakupi pelbagai dimensi kesejahteraan psikologi.
Berikutan itu, Borhan mahu ketua-ketua jabatan lebih peka dalam menangani situasi pegawai dan kakitangan dengan memastikan mereka menjaga kesejahteraan fizikal, spiritual serta emosi selain membentuk budaya positif bagi meningkatkan prestasi organisasi.
"Jika tidak ditangani dengan efektif, situasi tersebut boleh menjurus kepada penurunan kualiti kerja sekali gus memberi kesan kepada perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Borhan berkata antara inisiatif yang boleh diambil ialah melaksanakan program-program psikologi untuk kelompok yang belum mengalami masalah kesihatan mental.
Beliau juga mahu perkhidmatan kaunseling dalam konteks komuniti diperkasa untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Setiausaha AKRAB Bernama Puan Hasnita Ibrahim turut menghadiri persidangan itu sebagai seorang daripada tiga wakil AKRAB Kementerian Komunikasi dan Multi Media (KKMM).
Walaupun AKRAB Bernama tidak memenangi anugerah pada tahun ini, namun para anggotanya telah memberi sumbangan sewajarnya.
"Moga semangat kita terus membara untuk membantu," kata Timbalan Pengerusi AKRAB Bernama Puan Sharifah Zaini Syed Zain. 
-- BERNAMA