Saturday, 6 October 2018

Teruja sertai misi bantuan Sulawesi...


Ketua Meja Jenayah Bernama, Amrizan Madian begitu teruja dapat menyertai misi bantuan kemanusiaan bagi mangsa tsunami dan gempa bumi di Sulawesi, Indonesia.
“Saya kagum melihat Malaysia melalui TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia) bersungguh-sungguh untuk membantu mangsa di Sulawesi,” kata Amrizan dari Jakarta petang ini.
Katanya, beliau bangga Malaysia mempunyai pesawat besar seperti A400M untuk menjalankan misi tersebut.
“Bagaimanapun setakat ini pihak berkuasa Indonesia masih tidak membenarkan pesawat besar seperti A400M untuk mendarat di Palu.
“Pihak Indonesia bimbang landasan masih tidak stabil dan berlaku kerosakan jika pesawat besar mendarat.
“Hanya pesawat C130H yang dibenarkan mendarat di Palu,” katanya.
Oleh yang demikian, sejak tiga hari  lepas, misi itu terpaksa berulang-alik antara Pangkalan Udara Halim Perdana Kusuma di Jakarta ke Lapangan Terbang Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan Balikpapan, Kalimantan bagi membawa bantuan berkenaan.
“Kami setiap hari bangun 4 pagi dan balik 10 malam.
“Dua jam ke Balikpapan dan dua jam lagi balik ke Jakarta.
“Loading barang dua jam masuk pesawat dan dua jam keluar,” kata Amrizan yang pertama kali menyertai misi seumpama itu.
Barang-barang termasuk lori tangki minyak, pakaian, peralatan khemah, katil dan makanan.
“Hari ini masuk hari ketiga misi bantuan kemanusiaan mangsa bencana gempa dan tsunami di Palu dan Donggala,” kata Amrizan yang menyertai misi tersebut menggunakan pesawat A400M TUDM yang berlepas dari Subang.
“Esok akan ke Bandung untuk bawa jentolak..harap pihak Indonesia beri kebenaran kepada A400M mendarat di sana,” katanya.
Setakat hari ini, 11 negara telah menyertai misi bantuan kemanusiaan itu.
Negara-negara berkenaan adalah Malaysia, Jepun, New Zealand, United Kingdom, India, Qatar, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu dan Perancis yang menghantar 18 pesawat pengangkut tentera untuk membawa bekalan bantuan ke Palu.
Amrizan melaporkan bahawa pihak berkuasa Indonesia masih berusaha memastikan Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri Palu selamat untuk pendaratan pesawat pengangkut yang lebih besar.
Pasukan pemantau telah dihantar ke Palu bagi memeriksa sama ada landasan di lapangan terbang itu selamat untuk pendaratan pesawat lebih besar.
Tragedi gempa dan tsunami di Palu dan Donggala pada 28 Sept lalu telah mengorbankan kira-kira 1,558 mangsa manakala kira-kira 152,000 lagi masih hilang.
Kejadian itu turut memusnahkan 65,735 kediaman.






Friday, 5 October 2018

Peralatan baharu, semangat baharu BNC...

Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Mohd Zain ternyata lega setelah selesai siaran langsung Istiadat Ziarah Makam Sempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pagi ini.
“All done... Alhamdullilah usai sudah...
Terima kasih team #bernamanewschannel
Peralatan baru, semangat baru, cabaran baru!
Anda semua terbaik!,” demikian catatan yang dibuatnya di Facebook.
Beliau menghuraikan kemudian apa yang dimaksudkan sebagai "Peralatan  baru, semangat baru, cabaran baru".
“*Peralatan baru* merujuk kepada sistem MCP (multi camera production) yang baharu sahaja kami majukan bersama Uxera. Ia adalah antara beberapa peralatan baharu yang kami telah terima.
*Semangat baru* pula merujuk kepada semangat kerja baharu krew BNC kerana inilah  pertama kali, kami mengendalikan projek sebegini... mereka seakan sangat teruja apabila bertugas.
*Cabaran baru* kerana kini BNC masuk fasa berdikari  dari sebarang bantuan kerajaan atau mana-mana pihak. Kami yakin akan dapat berdaya saing dengan stesen tv lain walaupun agak kekurangan dari pelbagai aspek.
Semangat setiakawan antara semua kakitangan BNC adalah kunci kejayaan kami. Dengan bantuan dan sokongan pengurusan tertinggi baharu BERNAMA, kami harap ia menjadi kenyataan,”kata Hakimi.
Seramai 27 orang termasuk peneraju serta sembilan kamera terlibat dalam program selama satu jam 10 minit itu.
“Sistem yang digunakan agak besar tetapi kami set-up cuma sehari sebelum iaitu semalam,” katanya.
BNC mengambil masa empat hari menyediakan peralatan sebelum berlepas ke Alor Setar.
“Inilah pertama kali, kami bersiaran secara HD (High definition format) tanpa penyewaan peralatan dari luar,” kata Hakimi.
Beliau menjelaskan bahawa perasaan lega setelah tamat siaran tadi kerana kebimbangan mengenai pertama kali peralatan itu digunakan.
“Kita lakukan actual field test yang turut memberi peluang kepada kakitangan hands-on secara live... 
“Apabila membuat siaran langsung, dua aspek akan merisaukan iaitu sistem dan transmission….yang lain kita biasa hadapi,” katanya.
Program seterusnya ialah acara Pelancaran Koleksi Setem di-Raja di Istana Anak Bukit pada 15 Oktober ini.
Istiadat Pertabalan Sultan Kedah Ke-29 dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober ini di Istana Anak Bukit.


Iktibar daripada gempa bumi...

Semangat tabah masyarakat Sulawesi Tengah menghadapi gempa bumi dan tsunami menjadi iktibar bagi wartawan Amirul Mohd Sajadi yang kini berada di sana untuk membuat liputan.
“Pelbagai perasaan saya alami di sini…sedih, semua ada.. kalau kita lihat cara mangsa yang terlibat ini, mereka seakan pasrah dan redha dengan apa yang menimpa mereka,” kata Amirul yang sudah berada di sana selama empat hari.
“Ada seorang yang saya jumpa namanya Asdik Hulopi, 48, bekerja dengan Palang Merah Indonesia.. isterinya dan ibu mertuanya tertimbus di daerah Patebo.
“Tapi dia tetap menjalankan tanggungjawabnya membantu mereka yang cedera di kampungnya sendiri,” kata Amirul, 25.
Amirul, yang sudah empat tahun menyertai Bernama, berkata pengalaman membuat liputan itu akan meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
“Kalau dulu biasa bencana hanya melibatkan satu, sebagai contoh di Acheh, ada tsunami tapi di sini apa yang boleh saya katakan ialah kuasa kemusnahan alam memang dasyat.
“Tiga bencana berlaku dalam masa yang sama..
“Selain itu, kekuatan warga Indonesia sendiri harus diakui, walau apa pun yang menimpa mereka, mereka cuba bangkit tanpa terlalu mengenang apa yang telah berlaku,” katanya.
Tiga bencana yang dimaksudkannya ialah gempa bumi, tsunami dan kegelongsoran tanah.
“Contoh di Patebo, kawasannya berada jauh dari pantai namun kemusnahannya paling teruk di Kota Palu akibat kegelongsoran tanah,” kata Amirul yang ditemani  jurufoto Mustaqim Khairuddin.
Mereka dan beberapa petugas media Malaysia menyertai Kumpulan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk  membantu mangsa gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda Kota Palu, Jumaat lepas.
Selain menghantar berita bertulis, Amirul turut membuat liputan secara langsung menerusi Facebook tetapi siarannya sering terputus kerana tiada talian.
Beliau dapat melihat kemusnahan akibat malapetaka itu dan melaporkan mengenai keadaan yang dialami penduduk.
Amirul melaporkan mengenai suasana malam di sebahagian Kota Palu yang memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi para penghuninya selepas gempa  dan tsunami melanda bandar itu.
Tinjauannya semalam mendapati ada antara kawasan yang terjejas masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, terutama di kawasan perkampungan yang berada di hujung bandar iaitu di Kampung Balarua, timur Kota Palu.
Kampung Balarua menjadi antara lokasi paling teruk menerima kesan bencana itu, dengan kawasan asalnya yang landai bertukar menjadi bukit yang beralun dipenuhi mangsa yang terperangkap di bawah batu-bata.
Penduduk tempatan, Mohd Nadir Kamaruddin, 33, berkata waktu malam bagaikan mimpi ngeri untuk mereka kerana suasananya sangat gelap.
"Kami sudah enam malam tidak mempunyai bekalan elektrik...apa yang kami boleh lakukan hanyalah membakar kayu dari sisa runtuhan rumah di sekeliling kami," katanya kepada Amirul.
Bagi Ruhimah Enton, 27, air bersih merupakan keperluan asas yang paling penting bagi kampung itu.
"Saya tidak kisah sekiranya tiada talian telefon, kami cuma mahu bekalan air bersih yang secukupnya sahaja," katanya sambil berharap usaha membawa bekalan air bersih ke tempat itu boleh dilaksanakan secepat mungkin.
Amirul juga melihat bagaimana ribuan masyarakat yang terjejas dengan bencana itu membina khemah sementara di sepanjang jalan raya sejauh 60km sebelum tiba di Kota Palu.
Khemah yang dibina menggunakan kanvas serta buluh itu boleh mengundang bahaya dirempuh oleh kenderaan yang lalu lalang di sepanjang jalan berkenaan.
Tinjauan beliau mendapati kawasan perkhemahan itu bermula dari Mamuju Utara, 28 km dari Donggala hingga ke Kota Palu.
Seorang mangsa yang berasal dari Kota Palu, Udin Hertiko, 31, berkata mereka membuat khemah itu kerana fobia dengan gempa susulan yang kerap berlaku.
"Mereka yang membina penempatan ini kebanyakannya mempunyai anak kecil dan takut sekiranya gempa susulan yang sering berlaku lebih teruk daripada sebelumnya.
"Ini risiko yang perlu kami ambil...lagi pun kebanyakan rumah kami di Kota Palu telah musnah," katanya.
Amirul juga melaporkan mengenai Masjid Baiturrahman yang terletak di tengah bandar Kota Palu yang menjadi antara kawasan teruk terjejas akibat gempa bumi dan kejadian tsunami itu.
Dianggarkan 800 jemaah sedang bersiap menunaikan solat Maghrib ketika musibah melanda.
Seorang mangsa,  Sultami Abdul Rohim, 31, yang ketika kejadian berada berhampiran masjid itu berkata sebelum ombak naik, berlaku satu gegaran kuat hingga berlaku retakan pada bangunan.
"Gegaran itu sangat kuat sehingga ada yang menunggang motosikal jatuh dan semua orang panik cuba menyelamatkan diri masing-masing.
"Selepas gegaran itu, secara tiba-tiba datang satu arus ombak setinggi tiang elektrik terus membadai bangunan masjid serta pusat beli-belah berhampiran," katanya.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang setakat pukul 6 petang, semalam.





Thursday, 4 October 2018

Kerajaan mahu Majlis Media Malaysia ditubuhkan segera


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu penubuhan Majlis Media Malaysia yang diperjuang warga media sejak 1974 dipercepatkan, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan bertindak menubuhkan majlis itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada warga media untuk mengusahakan penubuhannya.
"Saya gembira kerana pengarang media tradisional, elektronik dan dalam talian telah mula mengadakan perbincangan dan forum bagi menubuhkan majlis itu.
"Saya juga telah bercakap dengan pihak berkenaan, mencadangkan proses penubuhan itu dipercepatkan, malah proses itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Menjunjung Kebebasan Media: Azam Kerajaan Baharu sempena Forum Media Kebangsaan 2018-Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Serdang hari ini.
A Kadir berkata kerajaan juga boleh mengusahakan majlis media diberikan perlindungan undang-undang termasuk diletakkan di bawah kelolaan dan pembiayaan Parlimen.
Beliau berharap kelompok yang membincangkan penubuhan majlis itu dapat mengadakan satu forum atau perjumpaan lebih besar melibatkan pemilik syarikat, pertubuhan media, guru kewartawanan dan komunikasi serta badan profesional sebelum akhir tahun ini bagi memperhalusi apakah bentuk Majlis Media Malaysia yang sepatutnya ditubuhkan.
Tugas menubuhkan majlis media perlu menjadi usaha bersama dan kerajaan berpandangan kepentingan media mesti dijaga oleh golongan media sendiri tanpa melibatkan kawalan atau campurtangan orang luar, katanya.
Dalam pada itu, A Kadir berkata kerajaan berpandangan media tidak seharusnya dimonopoli atau menjadi milik mana-mana syarikat berkaitan kerajaan serta parti politik tetapi harus menjadi kehendak masyarakat.
Beliau berkata menjadikan industri media sebagai perniagaan koperasi dengan membentuk pemegang amanah adalah antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak media dimonopoli kumpulan tertentu.
A Kadir turut menarik perhatian bahawa elemen pemberitaan oleh syarikat dan agensi media masih belum mengadaptasi sepenuhnya makna kebebasan media yang diberikan PH selepas membentuk kerajaan pasca 9 Mei lepas.
Beliau berkata media seolah-olah masih terkongkong dengan cara kerajaan sebelum ini sehingga tidak dapat membebaskan minda menerokai isu-isu besar yang boleh dilaporkan seiring kebebasan yang ditawarkan.
"Sepatutnya, apabila berkuasa, PH cenderung menghukum media yang tidak berlaku adil kepada mereka sebelum ini, namun sebaliknya memberi sepenuh kebebasan kepada media yang saya lihat tidak digunakan sepenuhnya oleh media ketika ini," katanya.
Menyentuh sama ada pejabat Perdana Menteri menetapkan garis panduan tertentu kepada media, A Kadir berkata tidak ada, malah spesifikasi tugas beliau tidak membenarkan sebarang arahan diberi kepada pihak lain selain kepada Perdana Menteri.
Rakan wartawan dan pengarang juga memaklumkan kepada saya mereka tidak menerima sebarang arahan atau 'wahyu' daripada mana-mana menteri atau pegawai politik sejak PH membentuk kerajaan, katanya.
-- BERNAMA

NPC hargai wartawan diserang strok

Walaupun diserang strok pada 10 Julai yang menyebabkan tangan kanan dan kaki kanannya sukar digerakkan, namun sifat ramah wartawan senior Roy Anthony Goh tetap tidak berubah.
Roy, 48, ceria melayan kakitangan Bernama Sabah yang menziarahinya, malah bersemangat untuk sembuh daripada serangan strok yang dialaminya itu.
Roy yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar Borneo Mail pada 1993,  bertekad untuk terus menyumbang dalam bidang kewartawanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan beliau.
"Suatu hari nanti, mungkin saya masih boleh menyumbang tulisan atau berita ataupun melatih wartawan muda untuk menjadi wartawan yang baik," kata Roy kepada Bernama ketika ditemui di kediaman adiknya di Kota Kinabalu hari ini.
Kakitangan Bernama Sabah yang diketuai Ketua Biro Nashir Mansor berkunjung ke kediaman Roy bagi menyampaikan sumbangan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) mewakili Presiden NPC Datuk Mokhtar Hussain.
Roy mengucapkan terima kasih kepada NPC atas sumbangan berkenaan. 
Beliau kini menjalani rawatan fisioterapi empat kali seminggu di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Selain akhbar tempatan Borneo Mail, Roy juga pernah berkhidmat sebagai pewarta akhbar nasional The Sun sebelum kembali berkhidmat dengan akhbar tempatan The Borneo Post.
Roy kemudian berkhidmat dengan akhbar New Straits Times Press selama 14 tahun dengan jawatan terakhirnya di syarikat akhbar berkenaan sebagai Editor di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA                 

Liputan menyayat hati...

Tragedi kematian enam anggota Bomba dalam operasi mencari dan menyelamat di  sebuah lombong di Puchong malam tadi disambut sayu di seluruh negara.
Para wartawan yang membuat liputan turut bersedih dengan peristiwa itu.
Pegawai Berita Bernama News Channel (BNC) Mohd Noor Iqram Rosli, yang ditugaskan membuat liputan di rumah keluarga seorang daripada wira itu di Lukut, Negeri Sembilan, jelas kelihatan sedih semasa membuat lintas langsung pagi ini.
“Sedih…sebagai wartawan itulah yang kena kami hadapi,” beliau akui kemudiannya.
“Kita tak tahu ajal maut ni..hanya Allah sahaja yang tahu.. even kita tengah bertugas untuk negara tapi Allah tarik nyawa kita,” katanya mengenai sebab beliau bersedih.
Bagi menghadapi tugasan seperti itu, Iqram berkata beliau perlu bersedia dan mengikuti perkembangan dengan berjumpa keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat.
Tugasan seumpama itu memberinya iktibar agar bersedia apa sahaja dalam menghadapi situasi yang berlaku.
Iqram turut berkongsi catatan yang merupakan luahan terakhir Allahyarham Adnan Othman, 33 tahun di laman sosial media Facebook beberapa jam sebelum kejadian itu.
“Dia seolah-olah dah tahu tanda-tanda itu..hanya dia sahaja tahu,” katanya.
Iqram berkata keadaan bertambah sayu apabila hujan renyai-renyai mengiringi kepulangan jenazah Allahyarham Adnan yang tiba pada pukul 11.45 pagi di rumah  keluargnya di Lukut, Port Dickson.
Allahyarham merupakan seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja pada pukul 9.15 malam tadi.
Jenazah beliau disembahyangkan di  Masjid Lukut selepas solat zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat.
Adnan meninggalkan seorang isteri Norshamiza Salleh, 32, dan dua anak masing-masing berumur tiga dan lima tahun.



Kenangan Terindah dengan Datuk Zul…

Melihat dia turun daripada kenderaannya dengan membawa sebuah beg besar sewaktu sampai di pejabat suatu pagi pada minggu lepas, akan tersemat dalam memori untuk seberapa ketika.
Semasa dia menaiki anak-anak tangga untuk memasuki lobi Wisma Bernama, beliau ditanya mengenai beg yang dibawanya itu.
“Nak bawa balik barang sikit-sikit…,” katanya yang jelas merujuk kepada tarikh persaraannya yang tinggal beberapa hari sahaja.
Itulah Datuk Zulkefli Salleh, seorang yang bersikap sederhana walaupun memegang jawatan paling utama dalam pertubuhan ini.
Pada majlis meraikan persaraannya dua hari lepas, koir Bernama mengakhiri persembahan mereka dengan lagu “Kenangan Terindah” seolah-olah menyimpulkan memori selama 39 tahun perkhidmatan Datuk Zul di Bernama.  
Pemilihan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Samsons itu pertama kali dinyanyikan oleh koir Bernama yang biasanya mengalunkan lagu-lagu patriotik pada perhimpunan bulanan Bernama.
“Setelah mengkaji lirik dan supaya tidak terlalu ‘common’ untuk lagu perpisahan seperti yang biasa kita dengar, kami pilih lagu ‘Kenangan Terindah’,” kata pemimpin koir Muhammad Hadi Razak dari Bernama News Channel (BNC),
Mereka turut menyanyikan lagu ‘Muhibah’ yang bertepatan dengan saranan yang sentiasa disuarakan oleh Datuk Zul agar Bernama menumpukan kepada penulisan mengenai perpaduan masyarakat.
Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menekankan elemen perpaduan ini termasuk melalui sukan.
Beliau berharap dalam kesibukan bekerja, para petugas tidak mengabaikan bersukan.
“Saya sendiri bermain boling dan saya dapati bertambah sihat.
“Saya harap lebih ramai yang akan mengambil bahagian terutama dari kalangan Jabatan Pengarang,” katanya.
Selain penglibatannya dengan boling yang mempunyai liga tersendiri di Bernama dan disertai para petugas pelbagai jabatan, Datuk Zul juga akan meninggalkan kenangan dalam aktiviti kaunseling dan bimbingan kerjaya warga Bernama.
Sebagai Pengerusi AKRAB Bernama, beliau menaikkan imej agensi berita ini kerana penglibatan ketua paling utama sesebuah organsisasi dalam aspek bimbingan kaunseling perkhidmatan awam.
Bagi yang lama di Bernama dengan Datuk Zul – dari zaman wartawan hinggalah menganggotai jawatankuasa pengurusan, tentulah mempunyai banyak kenangan dengannya.
Banyak liputan politik yang kami lakukan dan ada peristiwa yang terus menjadi ingatan kami.
Pernah satu ketika kami membuat liputan pilihan raya dan berkunjung ke pusat sebuah parti politik di ibu negara.
Waktu itu musim hujan dan kami bertanya pemimpin parti berkenaan apa rancangannya untuk menarik orang ramai keluar mengundi.
“Kami ada senjata sulit,” katanya dengan yakin.
Apabila diminta untuk menyatakan ‘senjata sulit’ itu, beliau berkata: “Kalau saya cerita, tak adalah sulit lagi”.
Sebagai wartawan, kami tidak putus asa dan merayu untuk tahu, membuatkan pemimpin itu akhirnya lembut hati.
“Kami dah sediakan 1,000 payung untuk kegunaan mereka yang hendak mengundi,” katanya dan kami saling berpandangan membayangkan ‘senjata sulit’ tersebut.
Sebagai orang lama Bernama, kasih sayang Datuk Zul terhadap agensi berita ini amat mendalam.
Bagaimanapun satu hasrat yang tidak kesampaian ialah melihat penerbitan buku “The Bernama story…from a rented bungalow”.
Buku itu sepatutnya diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan Bernama tahun lepas.
Namun hasrat itu terus diimpikan kerana dalam mesyuarat terakhir jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikannya bulan lepas, Datuk Zul bertanyakan mengenai perkembangan buku itu dan berharap ia dapat diterbitkan jua akhirnya.  

Wednesday, 3 October 2018

Datuk Zakaria pemangku CEO


Kontrak perkhidmatan Datuk Zulkefli Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama berakhir semalam.