Tuesday 28 October 2014

Selamat bersara Datuk Yong...


FotoBERNAMA

Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu lebih versatil dan bekerja bersungguh-sungguh dalam menghadapi dunia kewartawanan yang semakin mencabar.
Demikian kata-kata nasihat daripada Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong yang bersara wajib hari ini setelah berkhidmat selama 40 tahun di agensi berita itu.
"Sekiranya kita tidak versatil, kita mungkin tidak mampu menghasilkan berita yang lebih menarik, petugas juga perlu menguasai lebih banyak bahasa kerana ia akan memperkuatkan Bernama," kata Yong pada majlis perpisahannya di Wisma Bernama.
 Beliau juga menaruh harapan agar Bernama dapat melakukan anjakan paradigma dengan menghasilkan sebuah aplikasi untuk telefon pintar dalam penyaluran berita yang lebih pantas supaya lebih ramai mengetahui kewujudan dan kehebatan Bernama.
"Pada masa sekarang media sosial merupakan medium utama kepada kebanyakan masyarakat di negara ini. Pelbagai jenis berita termasuk yang berunsurkan khabar angin turut tersebar luas dan cepat melalui media sosial," katanya.
Yong juga berharap agar Bernama terus berperanan dalam pengurusan acara dengan menganjurkan lebih banyak acara berunsurkan pengucapan awam dan persidangan yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertainya.
"Contohnya pada tahun ini, kita telah menjadi antara penganjur utama Persidangan Ekonomi Kebangsaan, Persidangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan baru-baru ini Forum Media bagi Persidangan Dwi Tahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM)," katanya.
Yong, yang genap berusia 60 tahun hari ini, tidak akan melupakan Bernama yang sentiasa mengajar beliau untuk menjadi wartawan yang lebih baik sehingga kini.
Ditanya perancangan masa depannya, Yong berkata pelbagai idea menarik terpahat di dalam mindanya bagaimana untuk bersara dalam cara yang menyenangkan.
"Sesetengah kemahiran tidak hilang dimamah usia. Sudah tentu banyak yang boleh dilakukan apatah lagi saya kini ada banyak masa lapang," katanya.
Persaraan beliau itu juga semestinya jelas dirasai seluruh petugas Bernama yang akan merindui kemesraan, senyuman dan lawak jenaka yang sering diungkapkannya.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata para petugas selesa bekerja di bawah pentadbiran Yong yang digambarkan sebagai seorang yang serius tetapi sentiasa bersahaja dalam menegur kakitangannya.
"Kami rasa terharu dengan persaraan beliau dan berharap agar Datuk Yong sedia dihubungi pada bila-bila masa untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berharga beliau selepas ini," katanya pada majlis perpisahan itu.
FotoBERNAMA
Setiausaha Yong, Wan Suriani Wan Hassan kelihatan agak sebak kerana sepanjang perkhidmatannya selama 10 tahun, majikannya itu sentiasa memberi kenangan manis yang akan terpahat selamanya dalam dirinya.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama Mikhail Raj Abdullah menyifatkan Yong sebagai seorang ketua yang bijak dan mesra.
"Saya bertugas bersama beliau selama hampir 30 tahun, terutamanya dalam menghasilkan berita ekonomi. Beliau sering memberi nasihat berguna kepada pemberita muda semasa berkhidmat sebagai editor eksekutif PBE," katanya.
Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Pentadbiran S. Visvakumar berkata di sebalik kesibukannya sebagai pengurus besar agensi berita terbesar di Malaysia, Yong masih sempat meluangkan masa untuk menulis dan menghasilkan berita.
"Beliau tidak senang duduk jika tidak menulis (berita)... tambahan pula, beliau seorang yang adil apabila membuat keputusan, setiap daripada kita berasa selesa bekerja di bawah pimpinan beliau," katanya.
Pegawai Berita Meja Mahkamah, Zalina Maizan Ngah berkata Yong sentiasa memberi kata-kata semangat kepada para wartawan agar bekerja lebih keras dan sentiasa memberi nilai tambah dalam sesuatu berita.
"Ketika saya dikritik semasa membuat liputan Teoh Beng Hock, hanya beliau yang SMS saya memberi kata-kata semangat. Saya sentiasa ingat kebaikan beliau dan semoga kita semua mampu menjadi sepertinya," katanya.
Pegawai Berita PBE, Noor Soraya Mohd Jamal berkata sejak menyertai Bernama pada tahun 2004 di Meja Berita Ekonomi, Yong yang ketika itu menjadi Editor di meja tersebut merupakan seorang ketua yang tegas tetapi tidak pernah menjerit memarahi wartawan.
"Beliau sememangnya bukanlah orang yang memanjakan pemberita. Pemberita muda perlu mempelajari kemahiran beliau untuk mengubah berita yang paling membosankan menjadi berita yang sangat menarik," katanya.
Yong, menyertai Bernama sebagai pemberita kadet pada 1974 sebelum menjadi Penolong Editor pada 1993, Editor pada 1997 dan Editor Eksekutif PBE pada 2004.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada Ketua Pengarang selama enam tahun dari 1 Mac 2007 hingga 14 Mac 2013 dan Pengurus Besar pada 1 Jan 2013.
Pakar dalam berita perniagaan, liputan berita beliau yang paling penting dalam kerjayanya termasuk wawancara secara langsung dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Sept 1998 berhubung tambatan kawalan tukaran selektif Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika.
Beliau turut menemu bual usahawan asing tersohor seperti Akio Morita, pengasas Sony Corp, Michael Dell daripada Dell Corp dan Alan Mulally daripada Ford Motors Corp (sebelum ini Boeing Corp).
Yong turut berperanan penting dalam memperluaskan peranan PBE Bernama yang kini mempunyai hampir 40 wartawan berita ekonomi.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment