Thursday 9 October 2014

KKMM Terus Dinamik Menyatupadukan Rakyat...


FotoBERNAMA
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan ia terus dinamik dan progresif sebagai platform untuk menyatupadukan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian di Angkasapuri di sini pada Khamis, mengingatkan bahawa jabatan dan agensi di bawah kementerian itu, perlu menawarkan perkhidmatan terbaik, seiring dengan kemajuan teknologi dunia ICT.
Contoh utama yang diberi ialah penglibatan rakyat pada hari berkabung insiden pesawat MH17, yang memperlihatkan peranan kementerian mampu menyatupadukan rakyat seluruh negara melalui perbuatan 'berhenti seketika' bagi menghormati saat bertafakur pada hari itu.
"Mungkin orang kata kementerian ini tidak penting, tetapi kita katakan ini adalah kementerian yang paling strategik.
"Orang menganggap kementerian yang penting boleh bagi wang, tapi tanpa kita, wang ini tidak berguna kalau kita tidak dapat menghubungi hati rakyat semua.
"Saya berharap pada 2018, KKMM sudah ada visual untuk hala tuju kementerian terutama dalam menganjurkan program seperti Amanat Merdeka, KL Converge, Hari Malaysia yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Majlis yang dihoskan Pos Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Ahmad Shabery turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Pengarah baharu Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim menggantikan Datuk Norhyati Ismail berkuat kuasa 17 Okt.
Majlis itu turut meraikan petugas yang lahir pada bulan September dan Oktober.
Pada masa sama, Ahmad Shabery menasihatkan agar warga di bawah KKMM supaya bekerja sebagai satu pasukan untuk menjadikan KKMM sebuah kementerian yang lebih dinamik dan strategik.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment