Sunday 26 October 2014

Minat mendalam menjadi wartawan....



Minat yang mendalam untuk menjadi wartawan membuatkan Pengarang Perkhidmatan Meja Antarabangsa Nor Faridah Abdul Rashid tekad meninggalkan pengajiannya di Institut Teknologi MARA (ITM) (sekarang Universiti Teknologi MARA) untuk menyertai Bernama.
Semasa menuntut di ITM, beliau ternampak iklan dalam suratkhabar untuk menjadi wartawan Bernama dan terus memohon.
“Saya ambil ujian bertulis dan dipilih untuk temuduga, bila dapat... saya drop-out dari ITM pada tahun 1979,” kata Faridah yang ketika itu mengikuti jurusan Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA).
“Masa itu ada editor dari Bernama yang tahu saya drop out dari ITM… minat saya itu kuat sangat dan ramai rakan-rakan yang marah...ada yang tanya kenapa tidak tukar jurusan kewartawanan,” katanya dalam program “Bersama Wartawan” menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Faridah, yang lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur, berkata beliau selalu melintas depan ibu pejabat Bernama untuk ke sekolah dan memasang azam untuk menjadi wartawan Bernama.
“Tidak ada langsung pengaruh dari keluarga, kakak saya mempunyai karier masing-masing, saya seorang sahaja  yang menjadi wartawan,” katanya yang turut bercita-cita menjadi pemandu pelancong supaya dapat berkomunikasi dengan orang ramai.
Setelah 35 tahun dengan Bernama, ternyata ia merupakan pekerjaan pertama sehingga sekarang bagi beliau.
“Saya selalu kata selepas lima tahun di Bernama, kita tentukan sama ada kita nak berubah angin atau tidak…kalau lepas 10 tahun kita dah selesa.
“Saya rasa selesa dan tak mahu berpindah ke tempat lain dan perlu bermula sekali lagi,” katanya ketika ditanya mengapa beliau terus berada di Bernama.
Faridah berkata semasa baru menyertai Bernama, beliau tidak banyak cakap,
“Saya perlu berterima kasih kepada Bernama sebab masa masuk kami digalakkan pergi majlis dan masa itulah kita kena bergaul dan perkenalkan diri, nanti editor akan tanya mengenai call card mereka yang kita temui,” katanya.
Faridah berkata tugasan pertama beliau setelah menyertai Bernama ialah ditempatkan di meja mahkamah yang kemudian menjadi ‘bidang’nya selama 15 tahun.
Pengalaman membuat liputan dari mahkamah sesyen sehingga mahkamah persekutuan menjadikan beliau antara wartawan mahkamah yang paling mahir bagi Bernama.
Antara kes mahkamah yang pernah dibuat liputan olehnya ialah pada tahun 1988 apabila sekumpulan anggota Umno menyaman parti itu kerana mendakwa ada anggota Umno sebagai tidak sah.
“Keputusannya mahkamah mengisytiharkan Umno tidak sah dan kita panik,” katanya.
Semasa membuat liputan mahkamah, Faridah juga masih ingat beliau tidak makan tengah hari kerana menghantar berita semasa waktu rehat tengah hari.
“Masa tu kita guna telefon awam, bukan macam sekarang ada telefon bimbit..Di mahkamah tu ada satu sahaja telefon awam, jadi kenalah beratur…. itulah cabaran yang kami hadapi,” katanya.

No comments:

Post a Comment