Thursday 9 October 2014

Penjawat Awam Malu Dedah Masalah Kepada Pegawai Psikologi - JPA


Masalah peribadi, komunikasi, tekanan kerja dan kewangan adalah antara masalah penjawat awam yang sering dirujuk kepada pegawai psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata bagaimanapun, secara umumnya penjawat awam keberatan untuk mendedahkan masalah mereka kepada pegawai psikologi kerana malu.
"Mereka tahu wujudnya pegawai psikologi tetapi tidak ramai yang tampil mahu dapatkan khidmat," katanya sambil menambah stigma negatif mendapatkan khidmat psikologi perlu dikikis.
Bercakap dalam sidang media selepas perasmian Hari Terbuka Psikologi 2014 yang bertema 'Kesejahteraan Psikologi Pemangkin Transformasi Perkhidmatan Awam' di Putrajaya hari ini, beliau berkata khidmat itu sebenarnya dapat membantu mempertingkat kesejahteraan psikologi individu.
Abd Halim berkata JPA kini mempunyai 497 pegawai yang menjalankan pelbagai program mencegah masalah psikologi selain membantu penjawat awam yang menghadapi masalah.
"Bilangan ini boleh dikatakan sedikit berbanding 1.5 juta penjawat awam. Nisbahnya adalah seorang pegawai psikologi kepada 3,000 penjawat awam. Mereka bagaimanapun cuba untuk memenuhi semua tuntutan," katanya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, ketika berucap merasmikan hari terbuka itu, berkata pegawai psikologi di JPA, kementerian, jabatan dan setiausaha kerajaan negeri perlu membantu penjawat awam dalam menerima serta mengadaptasi proses transformasi.
Beliau berkata program psikologi dan transformasi perlu bergerak seiring bagi menyediakan penjawat awam dalam proses perubahan.
"Peranan psikologi sangat penting untuk mengubah cara bekerja dan keseimbangan aspek kerohanian dan fizikal," katanya.
Mohamad Zabidi juga berkata bakat baik di sektor awam yang tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna kerana mempunyai masalah dari segi emosi sudah tentu akan menjadi satu kerugian dalam perkhidmatan awam.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment