Thursday, 4 October 2018

Kerajaan mahu Majlis Media Malaysia ditubuhkan segera


Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu penubuhan Majlis Media Malaysia yang diperjuang warga media sejak 1974 dipercepatkan, kata Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A Kadir Jasin.
Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak akan bertindak menubuhkan majlis itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada warga media untuk mengusahakan penubuhannya.
"Saya gembira kerana pengarang media tradisional, elektronik dan dalam talian telah mula mengadakan perbincangan dan forum bagi menubuhkan majlis itu.
"Saya juga telah bercakap dengan pihak berkenaan, mencadangkan proses penubuhan itu dipercepatkan, malah proses itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Menjunjung Kebebasan Media: Azam Kerajaan Baharu sempena Forum Media Kebangsaan 2018-Merealisasikan Kebebasan Media Era Pakatan Harapan anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di Serdang hari ini.
A Kadir berkata kerajaan juga boleh mengusahakan majlis media diberikan perlindungan undang-undang termasuk diletakkan di bawah kelolaan dan pembiayaan Parlimen.
Beliau berharap kelompok yang membincangkan penubuhan majlis itu dapat mengadakan satu forum atau perjumpaan lebih besar melibatkan pemilik syarikat, pertubuhan media, guru kewartawanan dan komunikasi serta badan profesional sebelum akhir tahun ini bagi memperhalusi apakah bentuk Majlis Media Malaysia yang sepatutnya ditubuhkan.
Tugas menubuhkan majlis media perlu menjadi usaha bersama dan kerajaan berpandangan kepentingan media mesti dijaga oleh golongan media sendiri tanpa melibatkan kawalan atau campurtangan orang luar, katanya.
Dalam pada itu, A Kadir berkata kerajaan berpandangan media tidak seharusnya dimonopoli atau menjadi milik mana-mana syarikat berkaitan kerajaan serta parti politik tetapi harus menjadi kehendak masyarakat.
Beliau berkata menjadikan industri media sebagai perniagaan koperasi dengan membentuk pemegang amanah adalah antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak media dimonopoli kumpulan tertentu.
A Kadir turut menarik perhatian bahawa elemen pemberitaan oleh syarikat dan agensi media masih belum mengadaptasi sepenuhnya makna kebebasan media yang diberikan PH selepas membentuk kerajaan pasca 9 Mei lepas.
Beliau berkata media seolah-olah masih terkongkong dengan cara kerajaan sebelum ini sehingga tidak dapat membebaskan minda menerokai isu-isu besar yang boleh dilaporkan seiring kebebasan yang ditawarkan.
"Sepatutnya, apabila berkuasa, PH cenderung menghukum media yang tidak berlaku adil kepada mereka sebelum ini, namun sebaliknya memberi sepenuh kebebasan kepada media yang saya lihat tidak digunakan sepenuhnya oleh media ketika ini," katanya.
Menyentuh sama ada pejabat Perdana Menteri menetapkan garis panduan tertentu kepada media, A Kadir berkata tidak ada, malah spesifikasi tugas beliau tidak membenarkan sebarang arahan diberi kepada pihak lain selain kepada Perdana Menteri.
Rakan wartawan dan pengarang juga memaklumkan kepada saya mereka tidak menerima sebarang arahan atau 'wahyu' daripada mana-mana menteri atau pegawai politik sejak PH membentuk kerajaan, katanya.
-- BERNAMA

NPC hargai wartawan diserang strok

Walaupun diserang strok pada 10 Julai yang menyebabkan tangan kanan dan kaki kanannya sukar digerakkan, namun sifat ramah wartawan senior Roy Anthony Goh tetap tidak berubah.
Roy, 48, ceria melayan kakitangan Bernama Sabah yang menziarahinya, malah bersemangat untuk sembuh daripada serangan strok yang dialaminya itu.
Roy yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar Borneo Mail pada 1993,  bertekad untuk terus menyumbang dalam bidang kewartawanan yang sesuai dengan keadaan kesihatan beliau.
"Suatu hari nanti, mungkin saya masih boleh menyumbang tulisan atau berita ataupun melatih wartawan muda untuk menjadi wartawan yang baik," kata Roy kepada Bernama ketika ditemui di kediaman adiknya di Kota Kinabalu hari ini.
Kakitangan Bernama Sabah yang diketuai Ketua Biro Nashir Mansor berkunjung ke kediaman Roy bagi menyampaikan sumbangan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) mewakili Presiden NPC Datuk Mokhtar Hussain.
Roy mengucapkan terima kasih kepada NPC atas sumbangan berkenaan. 
Beliau kini menjalani rawatan fisioterapi empat kali seminggu di sebuah hospital di Kota Kinabalu.
Selain akhbar tempatan Borneo Mail, Roy juga pernah berkhidmat sebagai pewarta akhbar nasional The Sun sebelum kembali berkhidmat dengan akhbar tempatan The Borneo Post.
Roy kemudian berkhidmat dengan akhbar New Straits Times Press selama 14 tahun dengan jawatan terakhirnya di syarikat akhbar berkenaan sebagai Editor di Kuala Lumpur.
-- BERNAMA                 

Liputan menyayat hati...

Tragedi kematian enam anggota Bomba dalam operasi mencari dan menyelamat di  sebuah lombong di Puchong malam tadi disambut sayu di seluruh negara.
Para wartawan yang membuat liputan turut bersedih dengan peristiwa itu.
Pegawai Berita Bernama News Channel (BNC) Mohd Noor Iqram Rosli, yang ditugaskan membuat liputan di rumah keluarga seorang daripada wira itu di Lukut, Negeri Sembilan, jelas kelihatan sedih semasa membuat lintas langsung pagi ini.
“Sedih…sebagai wartawan itulah yang kena kami hadapi,” beliau akui kemudiannya.
“Kita tak tahu ajal maut ni..hanya Allah sahaja yang tahu.. even kita tengah bertugas untuk negara tapi Allah tarik nyawa kita,” katanya mengenai sebab beliau bersedih.
Bagi menghadapi tugasan seperti itu, Iqram berkata beliau perlu bersedia dan mengikuti perkembangan dengan berjumpa keluarga mangsa untuk mendapatkan maklumat.
Tugasan seumpama itu memberinya iktibar agar bersedia apa sahaja dalam menghadapi situasi yang berlaku.
Iqram turut berkongsi catatan yang merupakan luahan terakhir Allahyarham Adnan Othman, 33 tahun di laman sosial media Facebook beberapa jam sebelum kejadian itu.
“Dia seolah-olah dah tahu tanda-tanda itu..hanya dia sahaja tahu,” katanya.
Iqram berkata keadaan bertambah sayu apabila hujan renyai-renyai mengiringi kepulangan jenazah Allahyarham Adnan yang tiba pada pukul 11.45 pagi di rumah  keluargnya di Lukut, Port Dickson.
Allahyarham merupakan seorang daripada enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja pada pukul 9.15 malam tadi.
Jenazah beliau disembahyangkan di  Masjid Lukut selepas solat zohor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat.
Adnan meninggalkan seorang isteri Norshamiza Salleh, 32, dan dua anak masing-masing berumur tiga dan lima tahun.



Kenangan Terindah dengan Datuk Zul…

Melihat dia turun daripada kenderaannya dengan membawa sebuah beg besar sewaktu sampai di pejabat suatu pagi pada minggu lepas, akan tersemat dalam memori untuk seberapa ketika.
Semasa dia menaiki anak-anak tangga untuk memasuki lobi Wisma Bernama, beliau ditanya mengenai beg yang dibawanya itu.
“Nak bawa balik barang sikit-sikit…,” katanya yang jelas merujuk kepada tarikh persaraannya yang tinggal beberapa hari sahaja.
Itulah Datuk Zulkefli Salleh, seorang yang bersikap sederhana walaupun memegang jawatan paling utama dalam pertubuhan ini.
Pada majlis meraikan persaraannya dua hari lepas, koir Bernama mengakhiri persembahan mereka dengan lagu “Kenangan Terindah” seolah-olah menyimpulkan memori selama 39 tahun perkhidmatan Datuk Zul di Bernama.  
Pemilihan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Samsons itu pertama kali dinyanyikan oleh koir Bernama yang biasanya mengalunkan lagu-lagu patriotik pada perhimpunan bulanan Bernama.
“Setelah mengkaji lirik dan supaya tidak terlalu ‘common’ untuk lagu perpisahan seperti yang biasa kita dengar, kami pilih lagu ‘Kenangan Terindah’,” kata pemimpin koir Muhammad Hadi Razak dari Bernama News Channel (BNC),
Mereka turut menyanyikan lagu ‘Muhibah’ yang bertepatan dengan saranan yang sentiasa disuarakan oleh Datuk Zul agar Bernama menumpukan kepada penulisan mengenai perpaduan masyarakat.
Dalam ucapannya pada majlis itu, beliau menekankan elemen perpaduan ini termasuk melalui sukan.
Beliau berharap dalam kesibukan bekerja, para petugas tidak mengabaikan bersukan.
“Saya sendiri bermain boling dan saya dapati bertambah sihat.
“Saya harap lebih ramai yang akan mengambil bahagian terutama dari kalangan Jabatan Pengarang,” katanya.
Selain penglibatannya dengan boling yang mempunyai liga tersendiri di Bernama dan disertai para petugas pelbagai jabatan, Datuk Zul juga akan meninggalkan kenangan dalam aktiviti kaunseling dan bimbingan kerjaya warga Bernama.
Sebagai Pengerusi AKRAB Bernama, beliau menaikkan imej agensi berita ini kerana penglibatan ketua paling utama sesebuah organsisasi dalam aspek bimbingan kaunseling perkhidmatan awam.
Bagi yang lama di Bernama dengan Datuk Zul – dari zaman wartawan hinggalah menganggotai jawatankuasa pengurusan, tentulah mempunyai banyak kenangan dengannya.
Banyak liputan politik yang kami lakukan dan ada peristiwa yang terus menjadi ingatan kami.
Pernah satu ketika kami membuat liputan pilihan raya dan berkunjung ke pusat sebuah parti politik di ibu negara.
Waktu itu musim hujan dan kami bertanya pemimpin parti berkenaan apa rancangannya untuk menarik orang ramai keluar mengundi.
“Kami ada senjata sulit,” katanya dengan yakin.
Apabila diminta untuk menyatakan ‘senjata sulit’ itu, beliau berkata: “Kalau saya cerita, tak adalah sulit lagi”.
Sebagai wartawan, kami tidak putus asa dan merayu untuk tahu, membuatkan pemimpin itu akhirnya lembut hati.
“Kami dah sediakan 1,000 payung untuk kegunaan mereka yang hendak mengundi,” katanya dan kami saling berpandangan membayangkan ‘senjata sulit’ tersebut.
Sebagai orang lama Bernama, kasih sayang Datuk Zul terhadap agensi berita ini amat mendalam.
Bagaimanapun satu hasrat yang tidak kesampaian ialah melihat penerbitan buku “The Bernama story…from a rented bungalow”.
Buku itu sepatutnya diterbitkan sempena sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan Bernama tahun lepas.
Namun hasrat itu terus diimpikan kerana dalam mesyuarat terakhir jawatankuasa pengurusan yang dipengerusikannya bulan lepas, Datuk Zul bertanyakan mengenai perkembangan buku itu dan berharap ia dapat diterbitkan jua akhirnya.  

Wednesday, 3 October 2018

Datuk Zakaria pemangku CEO


Kontrak perkhidmatan Datuk Zulkefli Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama berakhir semalam.

Syukur terima anugerah...

  Syukur – itulah perasaan yang dizahirkan para penerima Anugerah Petugas Terbaik pada Perhimpunan Bulanan di Wisma Bernama semalam.
Wan Suriani
“Saya rasa gembira juga kerana Datuk CEO (Datuk Zulkefli Salleh) pilih saya. walaupun saya rasa saya tak  layak pun tapi anggap je lah sebagai dorongan untuk terus berkhidmat dengan lebih baik lagi,” kata Setiausaha Pejabat Wan Suriani Wan Hassan.
Beliau yang bertugas di Pejabat Setiausaha Bernama sudah berkhidmat selama 21 tahun dengan agensi berita ini.
Malahan Bernama bagaikan keluarga bagi Wan Suriani kerana di sinilah juga beliau bertemu jodoh dengan Ahmad Zuber Nordin dari Unit Komunikasi Korporat.
Mereka mempunyai tiga orang anak setelah berumahtangga pada tahun 2000.
Ketua Biro Selangor Fadzillah Aishah Ismail turut bersyukur menerima anugerah itu bagi kategori Perkhidmatan Berita Dalam Negeri.
“Alhamdulillah terima kasih banyak-banyak...semua ini atas bimbingan dan tunjuk ajar bosses..cuma rasa macam tak layak je nak dapat sebab banyak lagi yang saya kena belajar,” kata Fadzillah yang menjadi ketua biro itu sejak 1 Feb 2014.
Fadzillah Aishah
“Banyak assignment yang saya tak boleh lupa..tapi yang agak mencabar ketika krisis bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Masa tu saya baharu take over sebagai ketua biro tu yang agak mencabar..satu lagi yang saya tak boleh lupa ialah kena lead dua PRK back-to-back…PRK Sungai Kandis dan Seri Setia baru-baru ini...
“Apapun saya anggap semua ini pengalaman untuk mengajar saya menjadi lebih baik.
“Paling penting saya banyak terima tunjuk ajar daripada bosses dan kerjasama daripada anak-anak buah di biro Selangor,” katanya.
“Seronoknya hari-hari saya akan tempuh pengalaman yang baru kerana Biro Selangor jarang 'sunyi' daripada kes-kes atau peristiwa besar..setiap hari saya akan belajar sesuatu yang baru daripada news coverage especially ketika peralihan kuasa kerajaan persekutuan daripada BN (Barisan Nasional) kepada PH (Pakatan Harapan),” katanya.
“Saya make sure untuk turun ke assignment juga supaya saya sentiasa tahu perkembangan terkini atau isu-isu terbaharu,”katanya.
Zairina
Bagi Pegawai Berita Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Zairina Zainuddin, anugerah itu akan menguatkan semangatnya untuk terus cuba memberikan yang terbaik kepada Bernama.
“Alhamdulillah terharu.. Rasa paid off kerja all out sebab ada yang hargai..Syukur,” katanya.
Zairina menyertai Bernama pada bulan Jun, 2011 selepas tamat pengajian dalam jurusan pengurusan perdagangan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.
“Ini kerja pertama saya..tak ada langsung latarbelakang kewartawanan.
“Tapi hari-hari saya cuba polish sebab saya nak rezeki jadi berkat. Tak best buat kerja kalau kita tak ikhlas.
“Ada masa-masanya saya give up, kenapa saya join jadi wartawan tapi itu lah rezeki Allah beri itu lah yang terbaik,” katanya.
Wartawan Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) Nabilah Salleh juga bersyukur dan gembira menerima anugerah itu.
“Sebenarnya lebih kepada terkejut kerana saya tidak menyangka langsung untuk menerima anugerah ini.
Amarul Nakhim
“Seingat saya, saya datang ke pejabat untuk bekerja sahaja,” kata Nabilah yang tidak dapat hadir pada majlis itu semalam kerana ada tugasan di luar.
Beliau menyertai Bernama sebagai kakitangan tetap pada 9 Januari 2012 setelah berkhidmat secara sambilan di Bahagian Portal dan E-Dagang selama tiga tahun mulai 2008 sebelum ditempatkan di Bernama.com pada pertengahan 2010.
Amarul Nakhim Ahmad, yang menerima anugerah petugas terbaik bulanan bagi Bahagian Portal dan Pemasaran Foto, menganggapnya sebagai semangat untuk meningkatkan lagi usaha demi Bernama.
“Tahun ini saya dapat bawa nilai jualan untuk Bernama sebanyak RM1.2 juta. InsyaAllah tahun depan target RM3 juta,” katanya.
“Semangat saya untuk memajukan Bernama kerana saya sayangkan Bernama di bawah pengurusan yang ada kerana ia memberi peluang untuk saya meningkatkan kerjaya di luar bidang sedia ada,” katanya.
Penerima anugerah itu bagi Bahagian Jualan Nasional, Nur Wahidah Abdul Rahim pada mulanya agak terkejut kerana menganggap beliau masih baharu bekerja di Bernama.
“Saya baharu dua tahun bekerja di sini….saya sangat bersyukur dengan anugerah ini. Ianya akan membuat saya lebih berusaha keras dan lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanah yang diberikan.
“Bernama merupakan pekerjaan pertama saya selepas tamat pengajian.
Wahidah
“Saya banyak belajar di Bernama…semakin lama bekerja di Bernama, saya menjadi seronok untuk bekerja dalam industri media,” kata Wahidah yang berasal dari Bera, Pahang.
“Suasana bekerja di sini sangat condusive…rakan sekerja sangat supportive. Walaupun saya bukan datang dari bidang pengurusan, rakan sekerja sudi membantu. Jadi, proses pembelajaran saya di sini sangat lancar,” kata Wahidah yang belajar dalam jurusan Teknologi Maklumat Rangkaian di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.
Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran, Saudara Yussa Yunus juga berasa syukur dan terharu atas kepercayaan yang diberikan oleh “Bos-Bos kepada saya selama ini.”
Yussa
“InsyaAllah dengan kepercayaan ini, saya rasa lebih bermotivasi dan lebih gigih dalam melaksanakan kerja atau tugasan yang diamanahkan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu yang telah berkhidmat selama tujuh tahun enam bulan di Bernama.
Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zulkefli Salleh yang turut diraikan pada majlis itu sempena persaraannya pada usia ke-62 tahun.
Anugerah petugas terbaik bulanan juga disampaikan kepada:
·         Pembantu Akauntan Siti Saradatul Husna Ishak bagi Jabatan Kewangan dan Akaun.
·         Eksekutif Pembangunan Perniagaan Muhammed Khairull Hakimi Abdullah bagi Bernama Radio.
·         Pembantu Ketua Jurukamera Suhaimi Mahadi bagi Bernama News Channel, dan
·         Eksekutif Kanan Penyelidik Izzul Zunnurain Darusamin dari Bahagian Media dan Pangkalan Data.
Lima petugas menerima surat kenaikan pangkat terdiri daripada:
1.    Pembantu Ketua Jurukamera Abu Kasim Chik (Bernama News Channel)
2.    Pembantu Tadbir A.Sartambal (Meja Berita Ekonomi, Perkhidmatan Berita Ekonomi)
3.    Ketua Jurukamera Ahmad Azmai Awang (Bernama News Channel)
4.    Pembantu Ketua Jurukamera Suhaimi Mahadi (Bernama News Channel)
5.    Jurukamera Ahmad Shahuri Mat Jaan (Bernama News Channel)

Tuesday, 2 October 2018

Jasamu diKenang...

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Zulkefli Salleh, yang bersara hari ini, berpesan kepada wartawan agensi berita itu agar menyampaikan berita dengan  cepat dan tepat bagi mendepani cabaran teknologi masa kini.
Bagaimanapun, tindakan itu perlu diiringi dengan etika kewartawanan dan mematuhi undang-undang sedia ada bagi mengelak berita berunsur fitnah.
“Kata kunci adalah cepat dan tepat kerana kehadiran internet menyebabkan orang ramai menjadi  ‘wartawan’.
“Jangan biarkan orang ramai sampaikan berita palsu dan tidak tepat,” katanya selepas menyampaikan amanat bersempena perhimpunan bulanan Bernama serta persaraannya pada usia ke-62 hari ini.
Dalam amanatnya, Datuk Zulkefli optimis ingin melihat agensi  berusia 51 tahun itu menghasilkan produk berkualiti selain terus diberi kepercayaan dalam menghasilkan berita berlandaskan undang-undang.
“Petugas Bernama jangan sekadar mengucap ikrar semata-mata tetapi perlu menunaikan apa yang telah diikrarkan,” katanya yang telah berkhidmat selama 39 tahun di Bernama.
"Dalam perkhidmatan, yang penting bukan berapa lama kita berkhidmat tetapi bagaimana kita memberi sumbangan semasa perkhidmatan kita," katanya.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, yang turut berucap, berkata laluan kerjaya Datuk Zulkefli di Bernama adalah cemerlang dan gemilang.
“Ramai kakitangan turut bercita-cita apa yang Datuk Zul capai,” katanya yang menganggap kemuncak pencapaian itu ialah apabila Datuk Zulkefli dilantik sebagai Pengurus Besar ke-11 pada 9 Disember 2014.
Gelaran jawatan Pengurus Besar kemudian ditukar kepada Ketua Pegawai Eksekutif  pada 26 April lepas.
Menurutnya, tempoh Datuk Zulkefli memegang jawatan itu selama tiga tahun sembilan bulan adalah lebih lama berbanding tempoh beliau yang hanya satu tahun empat bulan apabila beliau terpaksa berundur ketika mencecah 56 tahun -- umur persaraan waktu itu.
Datuk Yong Soo Heong pula menjadi Pengurus Besar selama satu tahun sembilan bulan sebelum jawatan itu diambil-alih oleh Datuk Zulkefli, kata Datuk Seri Azman.
“Walaupun melalui satu tempoh mencabar tetapi dengan kepimpinan dinamik dan keberaniannya, Datuk Zul telah dapat memperjuangkan kepentingan Bernama,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian anugerah pekerja terbaik bulanan, surat kenaikan pangkat dan surat pengesahan jawatan kepada warga Bernama.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama yang baharu dijangka diumumkan minggu ini.
-- BERNAMA



Monday, 1 October 2018

Homecoming for Caroline ...


General News Service (GNS) assistant chief sub-editor Caroline Jackson has taken over the role as Sarawak bureau chief from Abdul Aziz Harun effective today.
Abdul Aziz will return to the headquarters as assistant chief sub-editor.
“After almost five years working at the Bernama headquarters, it certainly feels like a homecoming to me.
“But this time, the political landscape in the country, including Sarawak has changed and the onus is on us as journalists to report the situation as it is and to give two sides of the story whenever possible,” said Caroline.
The state government is now headed by Gabungan Parti Sarawak (Sarawak Parties Alliance) or GPS comprising Sarawak-based political alliance.
It was established by four former Barisan Nasional component parties following the coalition's defeat in the 2018 Malaysian general election.
Caroline confided that she would miss Kuala Lumpur.
“Yes of course...the vibrancy, convenience of urban living and transportation and most of all the experience of interacting not only with fellow Malaysians but also foreigners who considered KL as a great place to live and work.
“And I will also miss the traffic jam in KL by the way.
“But I still feel very bersyukur to be given the opportunity once again to work in my home state,” said Caroline who was born and raised in Kuching.
She joined Bernama in June 1997 after working for Sarawak Tribune and Borneo Bulletin, a Brunei-based daily.
“Being in the subs-desk was definitely an eye opener and good experience because I can now understand the stress, constraints and responsibility of a 'gate keeper'.
“I hope the same support and camaraderie will continue as I resume duty as bureau chief for the second time at the Sarawak bureau.
“My best regards always,” said Caroline who was the bureau chief from January 2007 to December 2013 before her transfer to Kuala Lumpur.