Monday, 27 March 2017

Bernama, Antara setuju promosi 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia

Meidyatama
Suryodiningrat
Bernama dan Antara bersetuju untuk bekerjasama dalam mempromosi sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia yang diadakan tahun ini.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan para pemimpin Bernama dan Antara sempena Malam Media Malaysia-Indonesia yang berlangsung di Jakarta, Jumaat lepas.
Delegasi Bernama terdiri daripada Pengerusi Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Pengarah Operasi Bernama News Channel (BNC) Hakimi Zuffrida Mohd Zain.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama System and Solutions Advisor (Bessar) Muniyati Mohamed serta pewarta Bernama Jakarta Azeman Ariffin turut serta.
Antara diwakili Direktur Utama Meidyatama Suryodiningrat yang telah dilantik oleh Presiden Joko Widodo untuk mengetuai agensi berita nasional Indonesia itu Januari tahun lepas.
Sempena 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia, Meidyatama menyarankan agar Bernama menerbitkan artikel mengenai pencapaian sepanjang hubungan diplomatik itu dijalinkan, kata Datuk Zakaria pada mesyuarat penyelarasan mingguan Bernama hari ini.
Pencapaian ini mengambilkira dari segi sejarah, hubungan antara rakyat, pemimpin serta juga hubungan Bernama-Antara.
Katanya, Antara juga menyarankan agar Bernama menerbitkan  dokumentari yang boleh digunakan bersama untuk mempromosi hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.
Pada malam itu, Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Rudiantara yang menjadi tetamu kehormat serta Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim menyatakan mengenai hubungan baik antara Indonesia dan Malaysia serta hubungan akrab Antara dan Bernama.
Malam Media Malaysia-Indonesia 2017 anjuran Kedutaan Besar Malaysia itu merupakan malam peringatan 60 tahun kerjasama diplomatik antara Indonesia-Malaysia.
Pada malam itu, pihak kedutaan menayangkan klip video mengenai hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Datuk Zakaria berkata perbincangan itu juga menampakkan potensi pihak Antara meminta Bessar, anak syarikat Bernama, membantu meningkatkan penggunaan teknologi dalam sistem editorial mereka.
Bessar mungkin membuat kunjungan susulan untuk menerangkan mengenai teknologi editorial yang dibangunkannya untuk Bernama.
  

Sunday, 26 March 2017

Nostalgia 'radio telefon' untuk hantar berita...


Lama sebelum kemunculan telefon bimbit, bukan mudah bagi wartawan yang bertugas di lapangan menghantar berita ke pejabat. 
Kesukaran makin terasa sekiranya tugasan dibuat di tempat-tempat yang tidak mempunyai kemudahan telekomunikasi.
Bagi wartawan 'lama' Bernama yang ditugaskan membuat liputan "tragedi kapal korek" terbalik di Puchong pada 8 Ogos 1984, kenangan menghantar berita menjadi nostalgia yang "indah".
Mereka terpaksa menggunakan "radio telefon" yang dipasang dalam kereta Mazda 323 Bernama -- alat perhubungan yang dianggap canggih ketika itu -- untuk menghubungi ibu pejabat serta menghantar berita.
Tujuh orang terkorban dalam kejadian itu.
Setelah selesai tugasan, para wartawan itu tidak pula boleh terus bergerak pulang ke pejabat kerana terpaksa beramai-ramai menolak kereta.
Sebabnya, bateri kereta menjadi lemah setelah digunakan untuk radio telefon.
Dah lah berpanas di kawasan lombong, nak cari makan pun susah! 
Nasib ada makanan 'tapau' untuk mengalas perut. 
Bagi pemandu Razak Mowclause, peristiwa itu masih segar dalam ingatannya.
"Sayalah yang pergi membeli makanan, terpaksa berjalan keluar dari kawasan itu kerana tidak mahu menggunakan kereta, bimbang kalau-kalau ia tersangkut dalam pasir," kata Razak yang kini bertugas di Bahagian Harta.
Beliau masih ingat pemberita Fahmi Omar dan Roslan Abdul serta jurufoto Mansor Hashim yang membuat liputan kejadian tersebut.
"Tengok gambar ni, teringat-ingat saya peristiwa itu," kata Razak, yang berumur 26 tahun dan masih bujang ketika itu.   

Saturday, 25 March 2017

Hubungan baik Malaysia-Indonesia atasi radikalisme...

Oleh Azeman Ariffin
    
Hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia harus dimanfaatkan bagi mengatasi masalah radikalisme dan keganasan yang membabitkan umat Islam, kata Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Rudiantara.
Beliau berkata ini kerana Malaysia dan Indonesia mempamerkan imej Islam yang sebenar iaitu umat yang cintakan kedamaian.
"Indonesia dan Malaysia adalah negara majoriti umat Islam dan hubungan baik sejak puluhan tahun antara kedua buah negara harus dimanfaatkan terutama untuk menghadapi isu radikalisme dan terorisme," katanya pada Malam Media Malaysia-Indonesia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, di Jakarta malam tadi.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan agensi berita Indonesia Antara adalah rakan penaja Malam Media berkenaan.
Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab hadir pada majlis itu.
Rudiantara berkata media dari kedua-dua buah negara itu harus mampu menunjukkan kepada dunia bahawa Islam yang dianuti penduduk Indonesia dan Malaysia adalah Islam "rahmatan lil alamin" (agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan), dan bukannya membawa kekerasan atau memaksa penganut agama lain mengikut kehendak mereka.
Katanya citra Islam sebagai agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan bagi seluruh alam perlu disebarluaskan menerusi media untuk membetulkan tanggapan salah terhadap umat Islam yang kini dilabelkan dunia barat sebagai pengganas.
Beliau juga berkata hubungan diplomatik Indonesia dan Malaysia yang telah terjalin selama 60 tahun harus terus dipelihara terutamanya menerusi peranan aktif pengamal media kedua-dua buah negara.
"Hubungan ini menjadi makin erat dengan penyertaan dari media Indonesia dan Malaysia, ini harus terus dipelihara oleh terutama Bernama dan Antara sebagai agensi berita rasmi kedua negara," katanya.
Katanya walaupun ada beberapa insiden di Malaysia yang menyinggung perasaan rakyat Indonesia, yang lebih diutamakan ialah bagaimana isu itu diselesaikan dengan baik menerusi peranan media kedua-dua negara.
Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata peranan media arus perdana kini semakin penting bagi menangani isu berita palsu menerusi media sosial.
Katanya peranan media arus utama adalah penting bagi menyiarkan berita yang benar dan sahih kerana berita palsu sekarang begitu cepat berlegar dalam media sosial.
Disebabkan itu juga katanya pihak kedutaan mengamalkan pendekatan menjadikan media sebagai rakan bagi menjelaskan sebarang isu yang timbul dan menyampaikan maklumat yang sahih. 
Zahrain turut menyampaikan plak penghargaan kepada Penasihat Kanan Antara Muhammad Saiful Hadi Chalid dan tokoh media Indonesia Allahyarham Tarman Azzam atas sumbangan mereka membantu meningkatkan hubungan Indonesia-Malaysia.
Katanya Malam media itu adalah sebagai peluncur sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini dan acara kemuncaknya ialah pada sambutan hari kebangsaan kelak.
Pada majlis itu Zahrain turut menyampaikan Anugerah Kepimpinan Global anjuran sebuah organisasi antarabangsa di Malaysia kepada penyanyi popular Indonesia Datuk Rossa.
Rossa dalam ucapan ringkasnya berkata anugerah itu membuktikan hubungan rapat antara Malaysia-Indonesia dan beliau sangat menghargai anugerah berkenaan.
Beliau turut menghiburkan tetamu dengan menyampaikan dua buah lagu dan majlis itu dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan Perak yang dibawa oleh Tourism Malaysia.
--BERNAMA
    

Friday, 24 March 2017

InfoLibNews anjur karnival cungkil bakat seni kanak-kanak...

Sempena cuti persekolahan, Pusat Maklumat Dan Perpustakaan (InfoLibNews) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menganjurkan 'De U' Arts Mini Carnival' bagi mencungkil bakat seni lukis kanak-kanak.
Karnival yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang di Wisma Bernama  menyaksikan pelbagai aktiviti menarik bertemakan Seni Sejagat diadakan untuk anggota Bernama Kids 1 Malaysia Club (BK1MC) berusia enam hingga 17 tahun. 
Pengurus Maklumat Infolib, Hasnita Ibrahim berkata selain menggalakkan budaya membaca dan penggunaan InfolibNews dalam kalangan petugas Bernama, anggota BK1MC yang terdiri daripada anak-anak petugas Bernama turut berpeluang mengasah bakat mereka dalam seni lukis sempena cuti sekolah. 
"Mereka berpeluang mengikuti bengkel mewarna bersama Raja Pensel Warna Malaysia, Hasren Ismail ataupun Uneh, yang mengajar cara mewarna dengan betul bagi menghasilkan karya yang menarik. 
"Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengikuti bengkel gubahan bunga oleh Mizakreatif dan demonstrasi seni mewarna batik oleh Muzium Tekstil Negara," katanya. 
Pelbagai demonstrasi turut diadakan seperti 'decoupage', 'patchwork', dan pertandingan 'Batik Kreatif' yang menguji kreativiti peserta bagi menghasilkan gubahan paling menarik daripada kain batik. 
"Pertandingan lain yang turut dianjurkan untuk anggota BK1MC adalah 'Memo Collage' bagi peserta empat hingga enam tahun, 'How Do I Look' dibuka kepada peserta berumur tujuh hingga 12 tahun, dan 'Draw Your Dreams' iaitu 13 hingga 17 tahun. 
"Memo Collage akan mencabar peserta menghasilkan kolaj daripada akhbar terpakai manakala 'How Do I Look' memerlukan peserta menghasilkan perhiasan diri daripada getah, 'Draw Your Dreams' pula menilai lukisan paling kreatif dengan menggunakan spirograf," katanya. 
Sebanyak 15 gerai diadakan dalam karnival itu untuk pameran seni antaranya daripada Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Les' Copaque Merchandising dan Anna Patchwork House.  
"Karnival ini juga turut menarik kehadiran lebih 200 pengunjung terdiri daripada petugas Bernama dan anggota-anggota BK1MC," katanya. 
-- BERNAMA 


Thursday, 23 March 2017

BNC bincang kerjasama rakan Indonesia...

Bernama News Channel (BNC) mengadakan perbincangan dengan BeritaSatu News Channel Indonesia di Jakarta hari ini untuk bekerjasama dari segi perkongsian berita dan kandungan siaran.
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab dan Pengarah Operasi BNC Hakimi Mohd Zain mewakili Bernama manakala BeritaSatu News Channel diwakili Timbalan Ketua Editor Hamdani S.Rukiah.
Para pegawai Bernama itu turut melawat MCR, ruang editorial, studio, konti serta kemudahan lain di organisasi itu.
Hakimi berkata perbincangan berkisar kepada kerjasama dalam pertukaran bahan berita sebagai permulaan sebelum dipertingkatkan kepada program ehwal semasa serta latihan petugas termasuk attachment
"BeritaSatu adalah paling mirip dengan BNC dari segi operasi...staf juga lebih kurang sama ramai dan bersiaran konten hampir sama dengan BNC," katanya.
Mula beroperasi sebagai BeritaSatu News Channel pada 3 September 2011, ia diluncurkan sebagai Q Channel pada tahun 1998 sebelum dikenali sebagai QTV pada tahun 2005.
Slogan yang digunanya sekarang ialah "The Channel for Decision Makers". 
Datuk Zakaria berada di Jakarta untuk memenuhi undangan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia yang menganjurkan Malam Media Malaysia-Indonesia di Auditorium Adhiyana di Wisma Antara, Jakarta esok.
Turut berada di Jakarta untuk majlis itu ialah Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Kira-kira 250 orang termasuk tetamu kehormat Menteri Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia Rudiantara dijangka menghadiri malam media itu.
Ia merupakan acara pembukaan sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini. Acara kemuncaknya ialah sempena sambutan hari kebangsaan kelak.
Dalam majlis itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan melancarkan sambutan 60 tahun tersebut dan satu tayangan motaj mengenai sejarah 60 tahun hubungan Malaysia-Indonesia akan diluncurkan pada malam itu. 

Wednesday, 22 March 2017

Anggota Unit Keselamatan Bernama korban kemalangan...

Warga Bernama pagi ini dikejutkan dengan berita mengenai seorang rakan dan kenalan unit keselamatan yang terkorban selepas kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Jalan Cheras.
Jurucakap Bilik Gerakan Trafik Kuala Lumpur berkata Siti Nordalilah Kamaruddin, 35, yang cedera parah di kepala dan leher,  meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 3 pagi ini.
Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Siti Nordalilah dilanggar di sisi sebelah kanan oleh sebuah kereta.
"Mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.
Jenazah Siti Nordalilah kemudian dibawa ke rumah ibunya di AU3 Taman Keramat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Taman Keramat. 
Rakan sekerja, Suhaidan Sulaiman berkata kehilangan Siti Nordalilah amat dirasai oleh beliau dan rakan-rakannya yang lain.
Beliau telah mengenali Siti Nordalilah sejak mereka sama-sama memulakan tugas di unit keselamatan Bernama kira-kira tujuh tahun lalu.
"Suami arwah yang memaklumkan kepada kami berkenaan berita sedih itu pagi tadi dan saya macam tak percaya arwah sudah tiada," katanya.
Seorang lagi rakan kerja, Amral Ibrahim, berkata Siti Nordalilah seorang yang periang dan mudah menghulurkan pertolongan.
-- BERNAMA
   


Tuesday, 21 March 2017

Petugas Media Tidak Dibenar Berada Di Lobi Parlimen...

Foto BERNAMA
Petugas media kini tidak dibenarkan berada di lobi Parlimen bagi mendapatkan komen wakil rakyat atau menteri mengenai sesuatu isu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat ketetapan melarang petugas media daripada berkumpul di lobi Parlimen berkuat kuasa serta merta dan mereka hanya dibenarkan berada di pusat media yang telah disediakan.
Beliau membuat keputusan itu berikutan rungutan yang diterima daripada anggota Parlimen yang kurang selesa dengan kehadiran ramai petugas media di lokasi tersebut.
"Saya sendiri kurang selesa kerana saya rasa ada media di merata-rata seolah-olah ruang di luar sana (lobi Parlimen) adalah tempat berkelah.
"Sehubungan itu, saya membuat ketetapan bahawa wakil media massa yang hadir di Parlimen hendaklah membuat liputan sesi persidangan Dewan Rakyat atau sidang media anggota Parlimen hanya di pusat media. Berkuat kuasa serta merta," katanya sejurus selepas sesi soal jawab lisan tamat pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Pandikar Amin berkata Peraturan 94, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memberikan kebenaran kepada wakil media massa untuk membuat liputan di Parlimen.
Pandikar Amin menegaskan sekiranya pihak media didapati melanggar mana-mana peraturan yang ditetapkan, Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai hak untuk menarik balik kebenaran tersebut.
Selepas membuat peraturan tersebut, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) bangun untuk meminta penjelasan daripada Pandikar Amin bahawa Parlimen perlu mengambil kira jarak pusat media dengan lobi Parlimen yang menyukarkan petugas media untuk melakukan tugas mereka terutama dalam memantau pergerakan anggota Parlimen dan menteri Kabinet.
Katanya faktor itu memaksa petugas media berkumpul di lobi Parlimen bagi mendapatkan respons atau maklumat balas segera daripada mana-mana anggota Parlimen dan menteri Kabinet berhubung isu dan perkara tertentu.
"Bagi saya, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan kehadiran mereka. Malah mereka memeriahkan Parlimen. Saya minta pihak Parlimen sediakan sedikit ruang untuk mereka di lobi Parlimen," katanya.
Menjawab kenyataan Mahfuz, Pandikar Amin berkata tidak ada mana-mana anggota Parlimen di negara lain yang diterjah petugas media sejurus keluar dari dewan persidangan.
Sebelum ini, kebiasaannya berpuluh petugas media dari pelbagai agensi berkumpul di lobi Parlimen berhampiran beberapa pintu masuk ke Dewan Rakyat bagi menjalankan tugas mereka.
Pusat media pula terletak di tingkat bawah bahagian belakang bangunan Parlimen.
-- BERNAMA



Pelantikan baharu, naik pangkat ...