Wednesday, 28 June 2017

Suasana damai desa...

Pagi-pagi lagi Timbalan Ketua Penyunting Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Noor Hammad Wariman memuat-naik foto ‘selfie’ di Facebook dengan kapsyen ‘Suasana damai di RP’ .
Pemandangan Gunung Jerai tidak jauh dari rumah
Haji Hammad.
Katanya, beliau merakamkan foto itu kerana mengambil peluang sawah padi di depan rumahnya yang sedang menghijau.
“Suasana kehijauan sawah padi mendamaikan jiwa,” kata Haji Hammad yang akan pulang ke Kuala Lumpur esok setelah seminggu bercuti berhari raya di RP atau Rantau Panjang.
“Saya hanya bertani di kawasan balkoni saja di KL,” kata Haji Hammad yang menganggap tempatnya itu masih kampung, terletak kira-kira 5km dari Kepala Batas.
Kehidupan di desa mengajarnya agar “sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan Allah dan memerhati hikmah sesuatu keadaan baik semasa di desa mahupun berdepan hiruk pikuk kesibukan kota.”
Kedamaian berhari-raya di desa bukan sahaja dialami Haji Hammad kerana perasaan itu turut menggamit warga Bernama yang lain apabila mereka berkongsi suasana itu serta foto menerusi Facebook.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, yang pulang berhari-raya di Kedah, membuat catatan berikut: 
“Di pinggiran desa, ditemani lambaian pelepah pelepah kelapa, bersempadan parit gila di tepian sawah tua, di sinilah apabila hujan mencurah, katak katak onn menyanyi sayu, seiringan lagu keroncong perutku... Alam mengajarku tentang cabaran kehidupan...sementara menunggu ubi kayu direbus nenek hempuk, kelapa parut digaul gula.”
Penyunting Bahasa Malaysia Shamsuddin Puteh memuat-naik pemandangan bendang di kampungnya dengan catatan: 
“Di sinilah tempat kami menangkap sepat, mengelau haruan dan menahan taut. Ular dan duri puyu serta keli hanya menjadi benda mainan. Di sinilah kami belajar menghayati kehidupan dan cabaran sebenar yang dihadapi warga desa. Di kota memang serba serbi ada, tapi suasana desa tetap mempesona dan lebih mententeramkan jiwa, terutama apabila sudah menjadi warga tua.”
Penerbit Bernama News Channel (BNC) Essan Yahya turut memuatnaik foto rakan-rakan yang berkunjung ke kampungnya di Masjid Tinggi, Bagan Serai semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Terima kasih sudi mai singgah kampung kami na…Nanti mai lagi na.... tak ada apa kampung kami, bendang ja la yang ada pun.... heheh,”  katanya. 



No comments:

Post a Comment