Tuesday, 13 June 2017

Benita bawa keceriaan untuk 65 anak yatim program 'Sepatu Raya'

Seramai 65 penghuni Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Taman Melawati berpeluang memilih kasut raya mereka di kedai kasut Bata Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara hari ini. 
Jelas tergambar kegembiraan pada wajah mereka apabila kos kasut mereka, yang dibiayai hasil sumbangan para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam program 'Sepatu Raya' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita). 
Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh yang menyokong penuh usaha berkenaan turut hadir memilih kasut bagi anak-anak yatim yang berusia empat hingga 17 tahun itu bersama 13 orang anggota Benita. 
Datuk Zulkefli berkata program yang masuk tahun ke-10 membuktikan keprihatinan kakitangan Bernama dan Benita yang tidak jemu-jemu berusaha mengumpul sumbangan bagi menjadikan program tersebut satu realiti saban tahun. 
"Melihat anak-anak ini gembira dan meriah memilih kasut merupakan satu kepuasan, dan pihak pengurusan Bernama sentiasa menyokong penuh usaha murni seperti ini," katanya. 
Setiausaha Benita Lat Zaharah Abdul Mutalib berkata tahun ini merupakan tahun kelima kerjasama persatuan itu dengan pihak Bata. 
Katanya Bata memberikan harga diskaun menarik yang membolehkan wang sumbangan dikumpul dalam program selama sebulan itu menampung kos kasut 65 orang anak-anak yatim tahun ini berbanding 40 orang tahun lalu. 
"Selain kasut, wang sumbangan program ini juga diberi sebagai duit raya dan perbelanjaan rumah anak yatim berkenaan," katanya yang berharap aktiviti tahunan itu dapat diteruskan pada masa akan datang. 
Sementara itu, Pengurus Korporat Pembangunan Perniagaan Bata Primavera Sdn Bhd Datuk James Selvaraj berkata pihaknya bersedia pada bila-bila masa menerima sebarang kerjasama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat daripada mana-mana pihak yang berminat. 
Katanya keprihatinan Benita membawa bilangan anak-anak yatim yang bertambah saban tahun merupakan bukti kemurahan hati rakyat Malaysia. 
"Saya menyeru lebih banyak pihak mencontohi Benita dan Bernama dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti hari ini," katanya.  
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment