Saturday, 17 June 2017

Biskut Raya diberi nama Bernama...

Seorang pengusaha kuih di Johor Bahru memperolehi idea untuk menamakan dua produk terbaharunya iaitu biskut dahlia susu dan macaron nutella dengan nama Bernama -- singkatan bagi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia untuk mencipta kelainan di Aidilfitri ini. 
Mohd Naharudin Isa, 48, berkata idea itu tercetus setelah mengenali Bernama  melalui siaran radio dan televisyennya dan pernah berurusan dengan petugas Bernama.
“Kebetulan pula tiada lagi kuih-kuih raya yang diberikan nama seperti ini,” katanya kepada Bernama.
Tambahan pula menurutnya, biskut dahlia susunya adalah berwarna putih dan biru yang disaluti coklat cip manakala macaron nutella juga berwarna biru berintikan coklat kegemaran ramai iaitu nutella.
Biru dan putih adalah warna logo Bernama.
Berjinak dalam bidang membuat biskut hampir 20 tahun lalu, Mohd Naharudin mempunyai identiti tersendiri dalam kalangan peminat kuih dan biskut di sini di mana beliau  mempunyai gerai jualan dan gerai membuat biksut Nahar Power di pusat beli-belah  Angsana dan Kampung Melayu.
Dalam gerainya kelihatan 45 jenis kuih raya tradisional dan moden selain 80 jenis kerepek dan makanan ringan.
Seorang pelanggannya warga Singapura, Rahmat Da’ed, 52, memberitahu beliau menyukai biskut Mohd Naharudin kerana rasa dan teksturnya yang berlainan selain menepati citarasanya.
"Hampir setiap tahun menjelang Aidilfitri saya akan ke sini, ia menjadi kemestian bagi saya,” katanya.
Seorang lagi pelanggan tetap Faizal Ujang, 35, pula berkata harga yang ditawarkan Nahar Power adalah berpatutan.
"Berbeza di tempat lain, harga biskut di sini sangat berpatutan dan pengusahanya sendiri tidak lokek untuk memberi harga yang murah apabila pelanggan tawar-menawar," katanya.
Sempena Aidilfitri ini dan untuk menghargai sokongan pelanggan terhadap perniagaannya, Mohd Naharudin memutuskan untuk menghadiahkan satu daripada dua jenis biskut Bernama kepada pelanggannya bagi setiap pembelian biskut lain.
-- BERNAMA 
Naharudin dan isteri Muzainah Said serta anak Nurfikri

No comments:

Post a Comment