Wednesday, 14 June 2017

Nikmat berbuka puasa di pejabat...

Sejak awal Ramadan, berbuka puasa di pejabat telah menjadi rutin dan sesekali ditemani rakan-rakan setugas. Kadang-kadang terasa sunyi ketika berbuka puasa sendirian dengan hanya tiga butir kurma dan sedikit biskut serta air kosong, namun ia memadai.
Sesekali dapat berbuka dengan warga BERNAMA dengan jumlah yang besar apabila ada pihak yang menaja majlis berbuka puasa di Tingkat 10 Wisma BERNAMA.
Malam ini, Shopee Malaysia bermurah hati menaja majlis berbuka puasa bagi kakitangan yang bekerja syif petang.
Menyertai lebih 200 petugas untuk berbuka puasa dengan para pegawai kanan syarikat perniagaan online itu membawa makna yang besar.  Bukan sahaja menikmati keenakan juadahnya tetapi juga merasai nikmat persaudaraan di kalangan para petugas BERNAMA serta pihak penaja.
Sebelum ini sudah ada beberapa pihak yang menaja majlis berbuka puasa di pejabat malah ada yang mengantar bungkusan juadah untuk berbuka. Semoga para penaja  majlis berbuka puasa atau pihak yang menghantar bungkusan juadah akan terus diberkati dan maju jaya dalam bidang utama mereka.
Selain berbuka di pejabat, sesekali menerima undangan untuk berbuka puasa di luar pejabat termasuk di hotel dan restoran-restoran terkemuka.
Kata orang berbuka puasa tanpa keluarga akan hilang seri Ramadan. Namun hakikatnya berbuka puasa ketika bertugas mempunyai keindahan tersendiri.
Setakat ini hanya empat kali berpeluang berbuka bersama keluarga lantaran mereka menetap lebih 400 kilometer dari ibu kota.  Jarak sejauh itu mengambil masa tujuh jam melalui perjalanan darat.
Tidak pernah merasa letih untuk pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga kerana di kampung pastinya ada nasi ulam yang sedia tersaji.
Apapun yang lebih utama dapat meluangkan waktu untuk mereka sekurang-kurangnya sehari sebelum balik semua ke ibu kota sebelah malamnya.

Catatan dan foto Adnan Jahaya

No comments:

Post a Comment