Sunday, 25 June 2017

Berhari raya di perantauan...

Berhari raya di negara orang menjadi pengalaman yang dilalui bagi wartawan dan jurufoto Bernama yang terpaksa bertugas di luar negara.
Apatah lagi jika mereka ditempatkan di luar negara seperti pewarta Bernama di Bangkok, Mohd Haikal Isa dan pewarta di Jakarta Azeman Ariffin.
Dalam keceriaan meraikan Aidilfitri, Haikal dan Azeman berkongsi pengalaman berhari raya di luar negara.
“Istimewanya..tak ada suasana Hari Raya, senyap dan sunyi..,” kata Haikal yang pertama kali berhari raya di Bangkok.
“Cuma bila sembahyang raya tadi..ada la sikit jamuan lepas sembahyang tadi..tapi jemaah pun tak berapa ramai..
Jamuan yang disediakan berupa juadah tradisional, antaranya “mee halus putih, lauk macam lemak dengan ikan kering.”
Beliau ditemani isteri Wan Nor Saadah Daud 38, dan dua mereka Mohamad Hamas 13 dan Iman Haziqa 8, berhari raya di Bangkok.
‘…tak de buat apa...lepas sembahyang, balik rumah makan lontong dan petang sikit pergi shopping complex dekat dengan rumah..itu je aktiviti,” katanya yang berjalan kira-kira 2 km untuk ke masjid..
Mengenai pengalaman berpuasa di sana, Haikal berkata ia tidak banyak beza..”cuma tak dapat rasa makanan favourite pasal bazar Ramadan susah nak cari..”
“Selalunya buka puasa di rumah…makanan biasa macam kari, asam pedam, lemak cili padi..”
Bagi Azeman pula, sambutan Aidilfitri tetap istimewa kerana “dapat merasakan masakan Malaysia walau jauh di perantauan”.
“Lagipun dapat berjumpa dengan komuniti Malaysia dari pelbagai golongan dalam majlis rumah terbuka anjuran kedutaan,” kata Azeman yang berhari raya kali kedua di Jakarta.
Ditemani isteri Hanisah Osman dan anak mereka Farah Aniis Ameera, 21, Azeman mengambil peluang berhari raya ke rumah kenalan warga Indonesia dan merasa masakan tempatan.
“Masakan depa ada juga ketupat tapi makan dengan kuah sayur,” katanya.
Antara pengalaman yang dirasai berhari raya di sana ialah melihat bagaimana orang Indonesia menyambut lebaran dan “cara mereka takbir sambil bergendang”.
Pakaian mereka turut menarik perhatiannya.
“Lelaki baju tradisional dipanggil baju koko..perempuan baju kain lace ala-ala jubah tapi dua lapis.
“Jalan jadi sunyi…Jakarta yang macet tetiba lancar,” kata Azeman yang menyertai kira-kira 500 rakyat Malaysia memeriahkan sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Kehadiran mereka disambut Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Datin Seri Che Mahani Ismail.
Acara bermula dengan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Atase Agama Abang Zainal Abidin Abang Arifin yang turut menyampaikan khutbah raya.
Tetamu kemudian menikmati hidangan raya yang menampilkan makanan tradisi Malaysia termasuk nasi hujan panas, sate, rendang, ketupat dan wajik.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment