Friday, 30 June 2017

Terima kasih SJ...

Hari ini, 30 Jun 2017. Secara rasminya merupakan hari terakhir Datuk Syed Jamil bertugas sebagai Penasihat Bernama Radio. 
Beliau menabur bakti sejak 2007, bahkan sebelum Bernama Radio wujud dan bersiaran, Datuk sudah lama bersama kami kerana Datuk Syed Jamil juga merupakan mantan Pengurus Besar Bernama.
Tidak terhitung banyaknya jasa beliau.
Tidak terhitung banyaknya budi dan peranan yang dimainkannya selama berada di Bernama.
Bagi kami, pasukan kecil di Bernama Radio, pastinya terasa kehilangan beliau yang bertindak sebagai Ketua, Penasihat, Bapa, Abang dan Guru.
Rotannya tidak kelihatan.
Tamparannya tidak pernah sampai di muka atau di mana-mana anggota badan, tetapi (teguran dan nasihatnya) berbekas selama hayat dikandung badan.
Beliau ialah "kamus bergerak" kami.
Sehingga saya pernah terfikir, "takda ke yang dia ni tak tau..semua benda dia tau".
Saya berguru dengannya.
Saya mendengar setiap kata bicaranya.
Saya menghormatinya sebagai Pendidik saya. 
Datuk, didoakan agar Datuk dan Datin dilimpahi rahmat serta kesihatan yang baik oleh Allah SWT. 
Selamat beristirehat Sir. Hancur badan dikandung tanah, budi yang baik dikenang jua...

Catatan dan foto Azlan Idris

Thursday, 29 June 2017

Kuih Raya Tradisional Makin Terpinggir...

Walaupun pelbagai kuih dan masakan lain disediakan sepanjang sambutan Aidilfitri, tapi setakat ni belum berpeluang menjamah beberapa kuih raya tradisional.
Hal ini dinyatakan saudara Shamsudin Puteh dalam ruangan Facebooknya.
"Bukan sahaja di bandar, tetapi di kampung pun sukar ternampak kelibatnya. Antara kuih yang dimaksudkan ialah pulut kacau atau wajik, agar-agar kering, halua maskat, putu beras dan putu kacang.
"Yang banyak adalah jenis biskut dan kuih moden lain. Samperit yang popular suatu masa dulu pun, dah kurang peminat.
"Semoga kuih lama tidak hilang ditelan masa. Nanti terkilan generasi lama," katanya.
Beliau turut mengungkapkan pantun berikut:

Putu kacang dan putu beras
juadah idaman semasa raya
bertambah seri rupa dan paras
jika bersopan tutur dan gaya

Wednesday, 28 June 2017

Suasana damai desa...

Pagi-pagi lagi Timbalan Ketua Penyunting Bahasa Malaysia Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Haji Noor Hammad Wariman memuat-naik foto ‘selfie’ di Facebook dengan kapsyen ‘Suasana damai di RP’ .
Pemandangan Gunung Jerai tidak jauh dari rumah
Haji Hammad.
Katanya, beliau merakamkan foto itu kerana mengambil peluang sawah padi di depan rumahnya yang sedang menghijau.
“Suasana kehijauan sawah padi mendamaikan jiwa,” kata Haji Hammad yang akan pulang ke Kuala Lumpur esok setelah seminggu bercuti berhari raya di RP atau Rantau Panjang.
“Saya hanya bertani di kawasan balkoni saja di KL,” kata Haji Hammad yang menganggap tempatnya itu masih kampung, terletak kira-kira 5km dari Kepala Batas.
Kehidupan di desa mengajarnya agar “sentiasa mensyukuri nikmat yang diberikan Allah dan memerhati hikmah sesuatu keadaan baik semasa di desa mahupun berdepan hiruk pikuk kesibukan kota.”
Kedamaian berhari-raya di desa bukan sahaja dialami Haji Hammad kerana perasaan itu turut menggamit warga Bernama yang lain apabila mereka berkongsi suasana itu serta foto menerusi Facebook.
Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, yang pulang berhari-raya di Kedah, membuat catatan berikut: 
“Di pinggiran desa, ditemani lambaian pelepah pelepah kelapa, bersempadan parit gila di tepian sawah tua, di sinilah apabila hujan mencurah, katak katak onn menyanyi sayu, seiringan lagu keroncong perutku... Alam mengajarku tentang cabaran kehidupan...sementara menunggu ubi kayu direbus nenek hempuk, kelapa parut digaul gula.”
Penyunting Bahasa Malaysia Shamsuddin Puteh memuat-naik pemandangan bendang di kampungnya dengan catatan: 
“Di sinilah tempat kami menangkap sepat, mengelau haruan dan menahan taut. Ular dan duri puyu serta keli hanya menjadi benda mainan. Di sinilah kami belajar menghayati kehidupan dan cabaran sebenar yang dihadapi warga desa. Di kota memang serba serbi ada, tapi suasana desa tetap mempesona dan lebih mententeramkan jiwa, terutama apabila sudah menjadi warga tua.”
Penerbit Bernama News Channel (BNC) Essan Yahya turut memuatnaik foto rakan-rakan yang berkunjung ke kampungnya di Masjid Tinggi, Bagan Serai semasa Hari Raya Aidilfitri.

“Terima kasih sudi mai singgah kampung kami na…Nanti mai lagi na.... tak ada apa kampung kami, bendang ja la yang ada pun.... heheh,”  katanya. 



Tuesday, 27 June 2017

Video Raya FotoBERNAMA...

Bernama Foto menerbitkan video berdurasi 2 minit 24 saat sempena Aidilfitri 2017.
Video tahun ini menampilkan kelainan kerana paparan diiringi muzik tanpa nyanyian.
Pada tahun-tahun lepas, video Hari Raya Bernama Foto turut menonjolkan bakat nyanyian para jurufotografi.





Monday, 26 June 2017

Bertugas di Hari Raya...

Sudah menjadi kebiasaan bagi jurufotografi Bernama bergilir-gilir bercuti semasa Hari Raya Aidilfitri bagi mempastikan tenaga kerja mencukupi yang bertugas semasa perayaan itu. Semangat kerjasama ini menjadi amalan sejak bertahun-tahun.
Ketua Meja Foto Zid Omar (kiri sekali) bergambar kenangan bersama jurufotografi di ibu pejabat Bernama yang bertugas semasa Aidilfitri tahun ini.
Foto para petugas editorial yang bekerja semasa Hari Raya turut dimuat-naik di Facebook.
 



Sunday, 25 June 2017

Berhari raya di perantauan...

Berhari raya di negara orang menjadi pengalaman yang dilalui bagi wartawan dan jurufoto Bernama yang terpaksa bertugas di luar negara.
Apatah lagi jika mereka ditempatkan di luar negara seperti pewarta Bernama di Bangkok, Mohd Haikal Isa dan pewarta di Jakarta Azeman Ariffin.
Dalam keceriaan meraikan Aidilfitri, Haikal dan Azeman berkongsi pengalaman berhari raya di luar negara.
“Istimewanya..tak ada suasana Hari Raya, senyap dan sunyi..,” kata Haikal yang pertama kali berhari raya di Bangkok.
“Cuma bila sembahyang raya tadi..ada la sikit jamuan lepas sembahyang tadi..tapi jemaah pun tak berapa ramai..
Jamuan yang disediakan berupa juadah tradisional, antaranya “mee halus putih, lauk macam lemak dengan ikan kering.”
Beliau ditemani isteri Wan Nor Saadah Daud 38, dan dua mereka Mohamad Hamas 13 dan Iman Haziqa 8, berhari raya di Bangkok.
‘…tak de buat apa...lepas sembahyang, balik rumah makan lontong dan petang sikit pergi shopping complex dekat dengan rumah..itu je aktiviti,” katanya yang berjalan kira-kira 2 km untuk ke masjid..
Mengenai pengalaman berpuasa di sana, Haikal berkata ia tidak banyak beza..”cuma tak dapat rasa makanan favourite pasal bazar Ramadan susah nak cari..”
“Selalunya buka puasa di rumah…makanan biasa macam kari, asam pedam, lemak cili padi..”
Bagi Azeman pula, sambutan Aidilfitri tetap istimewa kerana “dapat merasakan masakan Malaysia walau jauh di perantauan”.
“Lagipun dapat berjumpa dengan komuniti Malaysia dari pelbagai golongan dalam majlis rumah terbuka anjuran kedutaan,” kata Azeman yang berhari raya kali kedua di Jakarta.
Ditemani isteri Hanisah Osman dan anak mereka Farah Aniis Ameera, 21, Azeman mengambil peluang berhari raya ke rumah kenalan warga Indonesia dan merasa masakan tempatan.
“Masakan depa ada juga ketupat tapi makan dengan kuah sayur,” katanya.
Antara pengalaman yang dirasai berhari raya di sana ialah melihat bagaimana orang Indonesia menyambut lebaran dan “cara mereka takbir sambil bergendang”.
Pakaian mereka turut menarik perhatiannya.
“Lelaki baju tradisional dipanggil baju koko..perempuan baju kain lace ala-ala jubah tapi dua lapis.
“Jalan jadi sunyi…Jakarta yang macet tetiba lancar,” kata Azeman yang menyertai kira-kira 500 rakyat Malaysia memeriahkan sambutan Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Kehadiran mereka disambut Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Datin Seri Che Mahani Ismail.
Acara bermula dengan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Atase Agama Abang Zainal Abidin Abang Arifin yang turut menyampaikan khutbah raya.
Tetamu kemudian menikmati hidangan raya yang menampilkan makanan tradisi Malaysia termasuk nasi hujan panas, sate, rendang, ketupat dan wajik.
-- BERNAMA



Sambutan 1 Syawal di Wisma Bernama...


Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab menyertai para petugas yang bekerja pada Hari Raya untuk sambutan Aidilfitri di Wisma Bernama hari ini.


Takbir Raya di Wisma Bernama...



Saturday, 24 June 2017

Esok Hari Raya...

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri  esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad malam ini.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 25 Jun " katanya.
Pengumuman tarikh Aidilfitri itu disiarkan menerusi siaran radio dan televisyen tempatan. 
-- BERNAMA

Ucapan Aidilfitri Biro Terengganu...


Salam Aidilfitri daripada PBA...


Friday, 23 June 2017

Berkat bulan Ramadan...

Dalam keriangan menyambut Aidilfitri, Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) mendapat khabar gembira apabila editornya Cik Nor Faridah Abdul Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE).
Walaupun pelantikan itu akan menyebabkan PBA 'kehilangan' Faridah, namun ia disambut dengan kesyukuran kerana jawatan tersebut merupakan satu kenaikan pangkat dan demi kepentingan Bernama. 
"Tahniah Cik Free atas perlantikan TKP PBE...Alhamdulillah...kami keluarga PBA tumpang gembira," kata Puan Norliza Hashim menerusi WhatsApp PBA.
Ucapan tahniah bertali arus diterima Faridah menerusi WhatsApp, Facebook dan panggilan telefon setelah pelantikannya diumumkan oleh Bahagian Sumber Manusia melalui emel petang ini.
Antara ucapan tersebut:  
"Tahniah...Berkat rezeki bulan Ramadan."
"Rezeki Ramadan dan Syawal. Semoga PBE akan lebih mantap lagi."
"Tahniah moga sukses selalu."
"Semoga terus cemerlang dan gemilang."
"Semoga terus berjaya dunia dan akhirat."
"...great Raya present".
"...welcome back my new boss".
Bagi Faridah, yang menyertai Bernama pada 17 Sept, 1979, pelantikan itu amat bermakna dalam keberkatan bulan Ramadan.
"Alhamdulillah, rezeki in this holy month of Ramadan...Terima kasih semua...thank u too for all your support," kata Faridah, yang pernah berkhidmat sebagai penyunting di PBE.

Faridah dilantik TKP PBE...

Cik Nor Faridah (lima dari kiri) bergambar bersama-sama warga PBA
sejurus selepas pengumuman pelantikannya sebagai TKP PBE hari ini
Editor Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) Cik Nor Faridah Abdul Rashid dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarang (TKP) yang baharu bagi Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) berkuatkuasa 1 Julai 2017.
Pelantikan itu diumumkan oleh Bahagian Sumber Manusia hari ini.  
Jawatan itu kosong berikutan persaraan wajib Encik Mikhail Raj Abdullah yang genap 60 tahun pada 5 Mei lepas.
Pengisian jawatan itu menjadi perhatian setelah temuduga diadakan bagi memilih penyandangnya dari kalangan 12 calon terdiri daripada semua editor gred S54.
Panel temuduga dipengerusikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh. 
PBE merupakan antara tiga cabang Jabatan Pengarang selain Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) dan Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA), yang diketuai TKP masing-masing. Ketiga-tiga perkhidmatan bertanggungjawab kepada Ketua Pengarang.
Dengan kenaikan pangkat Cik Nor Faridah, PBA akan mendapat editor baharu.

Salam Hari Raya...



Eid greeting from Anadolu...