Thursday, 11 December 2014

InfoLibNews Bernama Komited Suburkan Budaya Membaca...

FotoBERNAMA

Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita (InfoLibNews) Bernama meneruskan komitmen untuk menanam minat membaca dalam kalangan kanak-kanak dengan menganjurkan aktiviti menggalakkan penggunaan pusat sumber itu di Wisma Bernama hari ini.
Bertemakan 'Perkhidmatan/Kemudahan InfoLibNews Terkini', aktiviti tahunan edisi kelapan itu disertai kira-kira 50 anak-anak petugas Bernama.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab memuji usaha InfoLibNews menganjurkan aktiviti itu yang menurutnya dapat membantu kanak-kanak berkenaan memanfaatkan cuti persekolahan mereka.
"Program ini amat baik kerana anak-anak dapat mengisi masa lapang dan melihat persekitaran baharu serta pada masa yang sama diterapkan dengan budaya membaca," katanya ketika berucap pada majlis penutup aktiviti itu.
Acara berlangsung dengan kerjasama Bernama Kids' 1Malaysia Club (BK1MC), Pusat Kecemerlangan Bernama, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) serta syarikat Access Dunia Sdn Bhd dan Grolier (M) Sdn Bhd.
Pustakawan InfoLibNews Masfaliza Masmuda berkata antara program yang paling menarik minat peserta adalah pertandingan stesen foto BK1MC, Bengkel E-book dan sesi terapi minda.
"Menerusi aktiviti seperti ini, anak-anak kakitangan dapat saling berkenalan dan tahu tempat kerja ibu bapa mereka selain mendekatkan diri dengan buku semasa cuti sekolah," katanya.
Turut diadakan ialah permainan interaktif yang menyaksikan penyertaan petugas Bernama dan anak-anak mereka.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment