Bernama perlu bersedia menghadapi
cabaran-cabaran yang lebih besar pada tahun hadapan berdasarkan senario ekonomi
sekarang, kata Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
“Harga (pasaran dagangan)
minyak mentah kini dalam lingkungan USD 60 setong, sedangkan masa diambil kira
dahulu dalam belanjawan negara, ia sekitar USD 100 setong…kalau kejatuhan harga
ini berterusan dan mencecah bawah USD 50 setong, ia bukan sahaja boleh memberi
kesan dari segi ekonomi malah politik,”
katanya pada majlis kesyukuran meraikan pelantikan Datuk Zulkefli Salleh
sebagai Pengurus Besar Bernama di Wisma Bernama petang ini.
Dalam keadaan sedemikian, Bernama harus
berhati-hati dari segi pemberitaan
agar tidak terperangkap dalam situasi yang semakin mencabar itu.
Dengan saingan daripada media sosial,
Bernama perlu tampil menghasilkan berita-berita berbentuk analitikal,
bertanggungjawab dan berautoritatif.
Beliau mencadangkan agar para wartawan
kanan dan editor Bernama menghasilkan tulisan analitikal mengenai isu-isu
semasa supaya rakyat memahami dengan lebih jelas selain mampu menangani
persepsi negatif pelbagai pihak.
“Oleh itu editor diharap dapat
mengurangkan penglibatan dalam hal-hal pentadbiran seperti menghadiri pelbagai
jenis mesyuarat (luar) agar dapat memberi lebih tumpuan ke atas aspek
pemberitaan” katanya.
Datuk Zulkefli, dalam ucapannya,
menyatakan kesyukuran atas kenaikan pangkatnya itu sambil menganggapnya sebagai
pertambahan tugas dan tanggungjawab.
Beliau terus menyebut mengenai masalah
Bernama TV yang memerlukan tindakan agak drastik diambil dalam masa terdekat
ini membabitkan staf Bernama TV Synergy.
“Untuk gaji bulan November, kita akan
bayar…tetapi untuk bulan Januari 2014 dan seterusnya, kita mesti cari jalan
penyelesaian terbaik dan saya harap staf Bernama TV Synergy dapat memahami
situasi kita di mana sejak 3 setengah tahun lalu, Bernama telah membiayai
operasi dan gaji mereka,” katanya.
Kira-kira 100 petugas Bernama menghadiri
majlis yang turut meraikan pelantikan
Ketua Pengarang Datuk Zakaria Wahab, Timbalan Ketua Pengarang
Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Mokhtar Husin dan Timbalan Ketua Pengarang
Perkhidmatan Berita Ekonomi Mikhail Raj Abdullah.
Dalam pada itu, Datuk Zulkifli menghargai jasa
wartawan ‘otai’ seperti Musa Scully (Pengarah NAM News Network), S.Sivaselvam
dan Ahmat Wahab (Konsultan Editorial) yang terus berkhidmat dengan Bernama setelah bersara.
“Inilah menunjukkan ada sesuatu yang istimewa dengan
Bernama kerana mereka ini bukan tidak laku di tempat lain.
“Banyak
tempat lain, mereka yang bersara tak nak pijak lagi tempat itu kerana
perkara-perkara yang tidak menyenangkan mereka,” kata Datuk Zul yang meminta
warga Bernama berganding tenaga untuk meneruskan obor Bernama.
Oleh Syed Khedher Ismail
No comments:
Post a Comment