Seorang
wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia hari ini menceritakan pengalaman
mencabar berada di jajahan paling teruk terjejas banjir di Kelantan iaitu Kuala
Krai.
Menceritakan
kembali detik cemas terkandas selama dua hari sejak Rabu lepas, Zaain Zain
berkata pelbagai pengalaman terpaksa dilaluinya ketika membuat liputan banjir
di kawasan berkenaan.
"Kami
perlu meredah air paras dada dalam keadaan hujan lebat, menumpang kenderaan
orang ramai dan menaiki tujuh buah bot sebelum tiba di bandar Kuala Krai
berikutan jalan ditenggelami air.
"Ada
satu ketika, kami melihat ada seorang remaja dihanyutkan bersama motosikalnya
kerana arus deras ... nasib baik beliau sempat diselamatkan orang ramai,"
katanya kepada Bernama di Kota Baharu, Kelantan.
Beliau
berkata ketika tiba di bandar Kuala Krai hampir keseluruhan bandar itu
ditenggelami air.
"Kawasan
itu bagaikan lautan hanya nampak air bila tiba di kawasan bandar, memang
menitis air mata melihat semua musnah. Kami pada mulanya ingin ke Kampung Manek
Urai tetapi tidak dapat ke sana berikutan tiada pengangkutan yang mahu membawa
kami ke sana," katanya.
Zaain
berkata beliau terpaksa tidur di dalam trak milik tentera yang keluar menyelamatkan
mangsa banjir.
"Kami
tidak dapat keluar ke Kota Baharu kerana air semakin tinggi, jadi kami terpaksa
bermalam di Kuala Krai. Kami juga terpaksa menahan lapar berikutan bekalan
makanan tiada dan kesejukan kerana pakaian basah," katanya.
Sementara
itu, jurugambar Jazaly Amry Jaafar berkata keadaan banjir di Kuala Krai sangat
serius.
"Saat
paling tidak dapat dilupakan ialah bot yang dinaiki hanyut kerana enjin bot
rosak, kami dihanyutkan ke kawasan kebun getah. Kami bernasib baik kerana pengendali
bot dapat menghidupkan kembali enjin dan membawa kami ke tempat selamat,"
katanya.
Jazaly
Amry berkata apa yang lebih menyayat hati ialah ketika sedang menaiki bot,
beliau melihat orang ramai meminta bantuan dari tingkat tiga bangunan Sekolah
Menengah Kebangsaan Kuala Krai.
"Air
dah berada di tingkat dua sekolah berkenaan dan pada waktu malam hanya nampak
lilin di bahagian koridor sekolah berkenaan kerana bekalan elektrik terputus.
Bot juga bergerak berpandukan tiang elektrik yang berada di tepi jalan.
"Berpuluh
kenderaan seperti lori dan kereta ditenggelami air kerana tidak dapat keluar
berikutan jalan keluar turut dinaiki air," katanya.
Menurutnya
tugasan tersebut merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana penuh
dengan cabaran.
--
BERNAMA