Tuesday, 20 May 2014

Perlu Transformasi Untuk Kekal Unggul...


Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu melalui proses transformasi untuk kekal sebagai agensi berita terunggul ketika negara menuju ke arah negara maju menjelang 2020.
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata sejajar dengan tuntutan global serta dunia tanpa sempadan, fungsi Bernama perlu sentiasa diperhebat dan diperluas merangkumi lebih banyak sektor seiring peredaran masa dan teknologi.
"Bernama ini usianya dah hampir separuh abad, justeru kita sedang membuat persiapan untuk menjadi agensi berita lebih menyerlah dan berkesan terutama ketika negara menuju visi 2020.
"Kita juga perlu lebih berwaspada memantau setiap apa yang dikeluarkan media sosial supaya tidak ketinggalan dan sekali gus memainkan peranan penting dalam arena media semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-46 Bernama hari ini.
Bernama memulakan operasi pada 1968 dengan kira-kira 20 petugas di sebuah banglo dua tingkat di Jalan Pekeliling (Jalan Tun Razak) dengan menyediakan perkhidmatan teks di sekitar Lembah Klang.
Yong turut memberi jaminan bahawa Bernama akan sentiasa berusaha memenuhi kehendak pelanggan dengan bergerak lebih aktif merangkumi liputan lebih luas termasuk memberi tumpuan terhadap negara anggota Asean.
Katanya, matlamat itu bertepatan dengan peranan yang bakal dimainkan Malaysia selaku pengerusi Asean tahun depan.
Pada majlis sama, Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman melancarkan dua program terbaharu terbitan BernamaTV dan Radio24, masing-masing berjudul 'Salam Dari Kuala Lumpur' dan 'Kabar Merah Putih'.
Ia merupakan program pertukaran antara dua agensi berita Malaysia (Bernama)dan Indonesia (Antara).
Program 'Salam Dari Kuala Lumpur' selama 30 minit terbitan BernamaTV yang mengutarakan isu-isu semasa, berita bercorak santai dan kejayaan rakyat Indonesia di Malaysia akan disiarkan di Indonesia mulai Jun manakala BernamaTV akan menyiarkan 'Salam Dari Jakarta' terbitan Antara TV.  
Kabar Merah Putih' mula bersiaran 10 Mei lepas pada setiap Sabtu menerusi Radio24 dengan dikendalikan peneraju Indonesia.
Ia memuatkan perbincangan mengenai pelbagai isu termasuk sosioekonomi dan budaya berkaitan masyarakat republik itu yang menetap di Malaysia.
Selain beroperasi di seluruh negara, Bernama turut mempunyai biro di ibu kota negara serantau seperti Singapura, Jakarta, Bangkok, Beijing dan New Delhi.
Bernama turut memiliki pelbagai saluran dalam mengagihkan berita yang dihasilkannya termasuk Bernama.com, Radio24 serta Berita BernamaTV menerusi saluran Astro 502.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment