Delegasi lapan wartawan Indonesia
yang sedang dalam program lawatan enam hari di Malaysia meluangkan masa
lebih dua jam meninjau operasi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) di Wisma Bernama hari ini.
Anggota delegasi berkenaan terdiri daripada wartawan pelbagai media
Indonesia iaitu Redaksi Harian Waspada, GM Kompas TV, Harian Radar
Surabaya, Harian Singgalang, Harian Umum Pikiran Rakyat, Banjarmasin
Post dan Harian Fajar.
Lawatan delegasi berkenaan ke negara ini adalah anjuran Yayasan Ikatan
Rakyat Malaysia-Indonesia (YIRMI) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan
Malaysia-Indonesia (ISWAMI) bersama Jabatan Penerangan.
Dalam lawatan ke Bernama, delegasi berkenaan diberikan taklimat operasi
Bernama oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri
Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa Ahmad Zukiman Mohd Zain. Hadir sama Penolong
Pengarang Meja Isu Khas dan Rencana Adnan Jahaya.
Ini diikuti dengan sesi soal jawab bagi mendapatkan maklumat menyeluruh
dan terperinci tentang kedudukan Bernama sebagai sebuah agensi berita
nasional di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Dalam taklimat berkenaan, Zakaria memaklumkan anggota delegasi tentang
program khusus untuk warga Indonesia menerusi saluran Radio24 Bernama
'Kabar Merah Putih' yang bersiaran setiap Sabtu dari pukul 6 petang
hingga 9 malam.
"Program khusus untuk warga Indonesia di Lembah Klang ini adalah hasil
kerjasama dengan Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur dan
dikendalikan oleh warga Indonesia.
"Sejak mula disiarkan sambutan yang diterima sangat baik," jelas Zakaria.
Selepas sesi taklimat dan soal jawab, anggota delegasi tersebut melawat perkhidmatan Audio Visual Bernama, BernamaTV.
Ini diikuti dengan lawatan ke Jabatan Pengarang Bernama bagi
mempelajari dan melihat sendiri operasi perkhidmatan berita Bernama.
Seorang anggota delegasi, H Sofian Harahap daripada Redaksi Harian
Waspada menyifatkan lawatan beliau ke Wisma Bernama sebagai satu
pendedahan yang sangat baik.
"Berdasarkan taklimat dan tinjauan hari ini, sebagai seorang pengamal
media, bagi saya Bernama ialah sebuah agensi berita yang moden dan
bertaraf dunia.
"Perkhidmatan yang ditawarkan Bernama begitu menyeluruh meliputi
audio-visual, radio, berita dalam talian dan gambar. Saya doakan Bernama
akan terus sukses," jelas beliau.
Koordinator ISWAMI dan wakil Indonesia dalam YIRMI, Dirwan Ahmad Darwis
yang mengetuai delegasi berkenaan berkata, program lawatan enam hari
wartawan Indonesia ke Malaysia mampu meningkatkan persefahaman antara
rakyat Malaysia dan Indonesia.
"Wartawan merupakan ejen yang menggalakkan keharmonian dan persefahaman
antara dua buah negara. Justeru program lawatan dan tinjauan sebegini
adalah penting untuk memastikan hubungan masyarakat antara Malaysia dan
Indonesia bertambah erat seiring masa," jelas beliau.
Selain lawatan ke Wisma Bernama, program lawatan di negara ini yang
bermula 18 Mei sehingga esok turut melibatkan lawatan ke Hilir Perak dan
daerah Kerian di Perak serta Sabak Bernam, Selangor.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment