Saturday, 17 May 2014

Media bentuk pemikiran awam...


Wartawan mempunyai peranan penting dalam masyarakat dengan tidak saja melaporkan berita dan menyalur maklumat kepada orang awam, tetapi juga bertindak sebagai orang tengah antara kerajaan dengan rakyat.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata media mempunyai pengaruh dan membentuk pemikiran serta mempunyai kuasa untuk mengubah landskap sosial dan politik sesebuah negara.
“Alat ini hendaklah digunakan dengan bijak dan demi kebaikan masyarakat.
“Orang awam bergantung pada anda untuk laporan yang benar dan tepat, dan atas sebab-sebab ini, laporan anda hendaklah berasaskan fakta kukuh dan bukan semata-mata spekulasi.
“Ini akan memberikan gambaran salah dan menyebabkan kebimbangan yang tidak sewajarnya, malah mencetuskan suasana panik,” kata beliau pada majlis Anugerah Akhbar Shell Kinabalu di Kota Kinabalu malam ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun.
Musa menyatakan gembira mendapati media di Sabah menunjukkan sikap bertanggungjawab dan positif dalam menulis laporan dan pendapat, seperti memaparkan agenda pembangunan dan menonjolkan keperluan dan masalah rakyat.
Pada majlis itu, jurugambar Bernama Kota Kinabalu Zamain Singkui memenangi kategori Fotografi Alam Sekitar Terbaik, sementara Eksekutif Editorial Bernama Kota Kinabalu Siti Zubaidah Abdullah dan koresponden Bernama Sandakan Haslin Ghaffor masing-masing menerima anugerah merit kerana Laporan Alam Sekitar dalam Bahasa Malaysia.
 – BERNAMA

No comments:

Post a Comment