Wednesday 7 November 2018

KKMM akan sebar luas inti pati Belanjawan 2019


Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melalui jabatan dan agensi di bawahnya akan menyebar luas maklumat berkenaan inti pati Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan Belanjawan 2019 kepada masyarakat melalui pelbagai platform komunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata penggunaan pelbagai platform komunikasi yang telah tersedia di jabatan dan agensi masing-masing dapat memastikan penyampaian secara komunikasi bersepadu yang efektif dan berkesan.
”Jabatan Penyiaran Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) contohnya boleh mencapai jangkauan penyampaian maklumat yang meluas dan pantas melalui pelbagai kaedah seperti program bual bicara, laporan berita dan hebahan infografik yang disiarkan melalui televisyen, radio dan laman berita dalam talian," katanya.
Berucap pada Majlis Perasmian Taklimat Khas KSP RMK11 dan Belanjawan 2019 di kementeriannya di Putrajaya hari ini, Eddin Syazlee berkata kerajaan juga komited meneruskan sasaran untuk memastikan kawasan yang diliputi jalur lebar mencapai 95 peratus sebelum hujung 2019 berbanding 93 peratus pada masa ini.
“Kita menerima respons yang positif dari kerajaan negeri terutamanya bagi membangunkan perkhidmatan jalur lebar di kawasan-kawasan pedalaman yang pastinya nanti akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi digital dan e-dagang,” katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment