Wednesday 7 November 2018

Kebaya jadi perhatian di Wisma Bernama,,,


Busana kebaya menjadi perhatian apabila para peserta Pertandingan Miss Malaysia Kebaya (MMK) berkunjung ke Wisma Bernama hari ini.
Mereka melawat Jabatan Pengarang, Bernama News Channel (BNC) serta Bernama Radio dengan  diiringi Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) Datuk Mokhtar Hussain dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) Ahmad Fuad Yahya.
Turut hadir pengasas dan penganjur MMK Jason Hee.
Seramai 30 peserta akan bertanding merebut gelaran ‘Miss, Mrs Malaysia Kebaya and Petite Kebaya Queen 2018/19’ yang akan berlangsung pada 15 Disember ini.
Sementara itu, Azman berkata media perlu aktif memainkan peranan untuk mempromosikan  busana kebaya yang mempunyai ciri-ciri kesenian dan sejarah yang unik.
Hee berkata pertandingan itu membuka peluang  kepada penjenamaan semula pakaian tradisi kebaya selain mempromosikan budaya tempatan dan negara sebagai destinasi pelancongan di mata dunia.
Katanya, ia menjadi platform penting untuk mendidik golongan muda supaya tidak melupakan busana tradisional ini yang menjadi lambang warisan budaya tempatan.
“Semua orang tahu kebaya, tapi bagi generasi muda… tak ramai memakainya. Jadi ia menjadi misi dan visi kita untuk mendidik generasi muda, khususnya Gen Y mengenai kebaya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk meningkatkan dan menambah nilai busana ​​​​​​​berkenaan di peringkat antarabangsa​​​​​​​​​​​​​​ melalui ikon MMK yang mampu menarik lebih ramai wanita untuk menggayakannya.
Sementara itu, Nor Natasha Suhaira Suhaimi, 24, yang merupakan pemenang MMK 2017/2018 berkata keluarganya menitikberatkan legasi turun temurun dan minatnya yang mendalam terhadap busana kebaya membuatkan beliau mengambil keputusan mencuba nasib melalui pertandingan MMK.
"Saya memang berminat dengan kebaya, saya pakai hari-hari. Jadi pentingnya kita ada asas MMK ini, bergerak serentak untuk menyuburkan minat dalam kalangan ramai tentang kepentingan kebaya dan meneruskan legasi kebaya ini,” katanya.
-- BERNAMA



No comments:

Post a Comment