Sunday 4 November 2018

BNC lancar siaran Berita Tamil

Siaran Berita Tamil (Bernama Seithigal) Bernama News Channel (BNC) dilancarkan hari ini dalam suasana kemeriahan sambutan Deepavali di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pelancaran disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy.
Turut hadir Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datuk Zakaria Abd Wahab dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Datuk Mokhtar Hussain.
Berita Tamil telah kembali bersiaran di BNC mulai 11 Jun 2018.
Ia disiarkan melalui saluran Astro 502, Unifi TV 631, MYTV 121 dan juga di seluruh dunia melalui laman sesawang www.bernama.com dan YouTube pada pukul 7 malam dengan siaran ulangan pada 11.30 malam setiap hari.
Dalam ucapannya, Waytha Moorthy berkata pengamal media perlu menggunakan kebebasan berkarya yang diberikan kerajaan Pakatan Harapan dengan menghasilkan laporan berita yang mampu meningkatkan tahap pemikiran kritis,
Katanya pengamal media perlu lebih ikhlas menghasilkan berita yang menguntungkan masyarakat meskipun ia tidak menarik mahu pun sensasi.
“Bersikap profesional dengan memberi ruang siaran dan liputan yang adil kepada mana-mana pihak mampu menarik minat masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang seimbang dan lebih tepat,” katanya.
Waytha Moorthy berkata media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk masyarakat India.
“Saya harap masyarakat India khasnya remaja mengambil peluang untuk mengenali Berita Tamil di BNC ini kerana ia mudah diakses melalui pelbagai platform.
“Berita Tamil ini adalah hadiah daripada kerajaan Pakatan Harapan untuk masyarakat India. Saya difahamkan rating kini semakin tinggi. Tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat menjayakannya,” katanya.
Waytha Moorthy turut menggesa agar pihak pengurusan Bernama menambah laporan berita, program dan dokumentari untuk meningkatkan jumlah penonton dalam kalangan masyarakat India.
Sementara itu, Zakaria berkata Berita Tamil BNC kini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat India dengan sejumlah 2.2 juta penonton berbanding 1.1 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Berita bahasa Tamil dan Mandarin kembali atas usaha Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo selepas lawatannya ke Bernama pada 28 Mei lepas.
“Syabas dan tahniah kepada mereka yang terlibat. Ia sangat signifikan untuk masyarakat India sebagai hab untuk mengikuti trend berita terkini. Ia lebih bermakna dengan menjelangnya perayaan Deepavali,” katanya.
Perayaan Deepavali diraikan pada Selasa.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment