Monday, 20 March 2017

LIMA '17 bermula esok...

Foto BERNAMA
Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA'17) yang bermula esok menjadi tumpuan media bagi mengikuti perkembangan industri pengangkutan dan pertahanan global.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata acara kemuncak LIMA'17 antara lain ialah peluang untuk mengkaji senario geopolitik dengan penyertaan Panglima Tentera Udara dan Penglima Tentera Laut dari pelbagai negara.
"Kesempatan semua Laksamana dan Panglima Tentera Udara tampil bersama untuk berbincang mengenai hala tuju masa depan adalah satu lagi kemuncak LIMA'17.
"Ia bukan sahaja tentang aset dan kehadiran fizikal tetapi juga mendapat idea, membina hubungan dan berkongsi amalan terbaik dalam landskap global yang diselubungi ketidakpastian," katanya dalam majlis bersama media sempena LIMA '17 di Langkawi.
Sebanyak 555 pempamer dari 36 negara telah mengesahkan penyertaan berbanding 512 pempamer pada edisi lepas dan lebih 180,000 pelawat dari seluruh dunia dijangka mengunjungi pameran itu.
Datuk Seri Hishammuddin berkata pihak penganjur telah cuba untuk merapatkan jurang antara penyertaan industri penerbangan komersil dan tentera dalam acara dwitahunan itu.
"Sekarang kita bercakap mengenai penyertaan 65-35 antara industri ketenteraan dan komersil dan menjelang LIMA akan datang, kita berharap penyertaan 50-50 antara pemain industri penerbangan komersil dan tentera," katanya.
LIMA'17 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac dan tahun ini memasuki edisi ke-14 dalam sejarahnya selama 27 tahun.
-- BERNAMA

Sunday, 19 March 2017

Bernama rakan penaja Malam Media Malaysia-Indonesia...


Bernama menjadi rakan penaja Malam Media Malaysia-Indonesia anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia pada 24 Mac ini.
Majlis itu akan berlangsung di Auditorium Adhiyana di Wisma Antara, Jakarta.
Bernama menjadi rakan penaja menerusi penglibatan anak syarikatnya Bessar Sdn Bhd yang menaja hadiah-hadiah utama cabutan bertuah manakala Pewarta Bernama di Indonesia Azeman Ariffin adalah antara peneraju penganjur.
Sebagai penghargaan penglibatan Bernama, pihak menganjur mencetak logo Bernama bersama lambang jata negara yang menjadi lambang kedutaan besar Malaysia dan juga logo kantor berita Antara pada banner majlis itu sebagai latar belakang pentas.
Logo Bernama juga dicetak dalam poster back drop untuk "permaidani merah" bagi membolehkan orang ramai berfoto sebagai kenang-kenangan malam media itu.
Jenama Bernama menjadi kukuh di Indonesia apabila ia terpapar dengan megah sebagai back drop untuk tetamu termasuk pemimpin-pemimpin redaksi di Indonesia mengambil foto sebagai kenangan.
Malam media Malaysia-Indonesia itu julung kali diadakan dalam skala besar dengan undangan tetamu kira-kira 250 orang. Tetamu terhormat ialah Menteri Komunikasi dan Informatika Republik Indonesia Rudiantara.
Turut diundang ialah ketua-ketua pengarang, wartawan Indonesia dan Malaysia termasuk Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab. 
Malam media itu merupakan "kick off" sempena sambutan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia pada tahun ini. Acara kemuncaknya ialah sempena sambutan hari kebangsaan kelak.
Dalam majlis itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim akan melancarkan sambutan 60 tahun tersebut dan satu tayangan motaj mengenai sejarah 60 tahun hubungan Malaysia-Indonesia akan diluncurkan pada malam itu. 
Azeman berkata Zahrain pernah meraikan para pengamal media di kediaman rasminya tetapi secara sederhana.
Azeman telah mencadangkan supaya diadakan malam media bertaraf kedutaan Malaysia dengan mendapatkan tajaan pihak luar.
Bessar dan Bernama News Channel tampil menjadi penaja hadiah cabutan bertuah walaupun dihubungi dalam masa yang singkat.
Biro Bernama Jakarta membantu perancangan majlis dengan menyediakan kertas kerja manakala pihak kedutaan kemudian melaksanakannya dengan penglibatan semua ketua dan wakil-wakil jabatan yang beroperasi di kedutaan.
Bersesuaian dengan tema "Malam Malaysia", majlis itu akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan kesenian dari Perak yang dibawa khas Tourism Malaysia di Jakarta.
Antara pengisian malam media itu ialah penganugerahan tokoh media bagi mengiktiraf sumbangan tokoh wartawan di Indonesia yang banyak memberikan sumbangan dalam usaha mengeratkan hubungan antara Malaysia-Indonesia menerusi media massa.
Penyanyi popular Indonesia Datuk Rossa turut diundang bagi menerima satu anugerah khas anjuran kerajaan Malaysia.

Saturday, 18 March 2017

Kunjungan PM bawa keceriaan...

Kunjungan Perdana Menteri ke ruang pameran Bernama semasa program 'Ekspresi Negaraku' di Dataran Putrajaya hari ini membawa keceriaan kepada para petugas Bernama.
"Kami bangga dengan kehadiran PM dan isteri di booth Bernama kerana bukan mudah untuk dapat peluang sebegitu," kata Pengurus Pemasaran Foto Mohd Farhan Mustafa.
Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh menghadiahkan buku bergambar Yang di-Pertuan Agong XIII Tuanku Mizan Zainal Abidin mengandungi foto-foto Bernama kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum itu melancarkan program tersebut.
Buku itu juga dihadiahkan kepada para pengunjung yang dapat menyusun atur logo Bernama dengan tepat dalam masa yang ditetapkan.
"Kami berjaya memperkenalkan produk Bernama kepada pelanggan berpotensi...ramai terkejut bahawa Bernama mempunyai perkhidmatan seperti penerbitan dan pembangunan pameran," kata Farhan.  
Ketika melancarkan program "Ekspresi Negaraku" itu, Perdana Menteri meniup semangat patriotisme ribuan hadirin dengan laungan "Negaraku" sebanyak tiga kali dan disahut "Malaysia, Malaysia, Malaysia".
Dalam ucapannya yang sarat dengan ungkapan patriotisme, beliau berkata kehadiran ke Ekspresi Negaraku adalah untuk menzahirkan perasaan dan ekspresi rakyat Malaysia terhadap negara.
"Perasaan patriotisme merupakan asas dan ciri utama kepada soal jati diri yang kental yang perlu kita pupuk jika kita hendak sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu," katanya.
Datuk Seri Najib menegaskan kepentingan jati diri adalah tiang seri untuk menjamin sebuah negara yang aman, harmoni dan bersatu padu.
"Di sinilah negara tempat kita lahir, tempat kita bertatih semasa kecil, bersekolah dan membesar dan mencari rezeki sebagai orang dewasa dan apabila sampai waktunya kita akan bersemadi di tanah tumpah darah kita," katanya.
Beliau berkata contoh terbaik dalam menunjukkan perasaan kasih sayang terhadap negara apabila rakyat bersatu padu mempertahankan imej negara ketika ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.
Ia juga dapat dilihat apabila rakyat Malaysia menyatakan sokongan kepada atlet negara pada Sukan Olimpik Rio dan Paralimpik Rio tahun lepas, katanya.
"Saya berada di Putrajaya bersama-sama ribuan penghuni Putrajaya untuk memberi sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei (pada final acara badminton) dan kita tahu kerana semangat rakyat Malaysia, kita hampir menang emas.
"Begitu juga apabila Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas FIFA kerana ramai rakyat Malaysia memberi undi, sebab itu dia menang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh daripada kira-kira 10,000 hadirin.
-- BERNAMA
   

Friday, 17 March 2017

Bernama sertai 'Ekspresi Negaraku' bangkit semangat cintakan Malaysia...

Bernama akan mempamerkan foto dan maklumat yang berkisar mengenai semangat cintakan negara dalam program 'Ekspresi Negaraku' di Dataran Putrajaya esok.
Bahan pameran itu disiapkan oleh Unit Pemasaran Foto yang juga akan mengadakan beberapa aktiviti untuk menarik perhatian pengunjung di ruang pameran Bernama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama untuk menggerakkan inisiatif 'Negaraku' yang bertunjakkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.  
Inisiatif yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat.
"Ekspresi Negaraku diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Acara itu akan diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam bertempat di Dataran Putrajaya, berhadapan Istana Kehakiman, Presint 3.
Ia akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melibatkan peserta lebih 10,000 orang.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku.
Di kawasan itu akan disediakan 'Zon Kebanggaan dan Kecintaan' yang akan memaparkan cerita individu-individu yang telah menyumbang kepada negara melalui
'Kisah-Kisah Kejayaan Negaraku' dipaparkan untuk menjadi inspirasi kepada para pengunjung, kata Salleh.
Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa hadapan negara.
Konsert Ekspresi Negaraku akan diadakan pada sebelah malam menampilkan artis-artis ternama seperti Amy Search, Ella dan Bunkface.
-- BERNAMA


Thursday, 16 March 2017

Somalia DPM visits family of slain Bernama TV cameraman...

Foto Bernama
Somalia's Deputy Prime Minister Mohamed Omer Arteh, who is on his maiden trip to Malaysia, visited the family of the late Bernama TV cameraman, Noramfaizul Mohd Nor, today.
Mohamed Omer met Noramfaizul's father Mohd Nor Mat Yasin, 72, and 68-year-old mother, Naemah Abd Majid.
He offered his condolences on behalf of his government.
Noramfaizul was killed by a sniper's bullet while covering the Kelab Putera 1Malaysia humanitarian mission to help famine victims in Somalia on Sept 2, 2011.
"I pray that he will receive the highest Jannah (paradise). I'm sorry for what had happened.
"We want to express our sorrow at the unfortunate incident. At the same time, I'm happy to meet his parents and bond with the family," he told reporters at the family's home in Serdang Raya, near Kuala Lumpur.
The visit was coordinated by Kelab Putera 1Malaysia president and Baling Member of Parliament, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim who had also accompanied Mohamed Omer to visit Noramfaizul's grave.
Mohamed Omer is on a working visit to Malaysia from March 9 until today. This is his first visit to Malaysia since being appointed as Somalia's deputy prime minister in February 2015.
When met by reporters, Naemah expressed her gratitude to Mohamed Omer for taking the time to be with the family.
"We will always remember him (Noramfaizul) fondly, especially the last moments he spent with the family before leaving for that fateful trip to Somalia.
"I still remember his advice, last surprise gift, his jokes. He will always be remembered. Please keep him in your mind and prayers," said Naemah who could not hold back her tears as she recalled memories of Noramfaizul, her eldest and only son out of her six children.
In the incident, TV3 cameraman Aji Sarigar Mazlan also suffered injury in the arm as a result of a shrapnel which penetrated Noramfaizul's shoulder.
-- BERNAMA



Bernama ibarat keluarga bagi Zarina...

Bunga ros merah dan kek coklat di'hadiahkan' secara maya kepada Pengurus Komunikasi Korporat Zarina Rozali yang tidak putus-putus menerima ucapan selamat hari lahir, menguatkan perasaan mesranya terhadap mereka. 
"Terima kasih atas ingatan sampaikan ucapan, rasa seperti keluarga dan ini yang membuatkan saya seronok bekerja dengan Bernama," kata Zarina yang telah berkhidmat selama 21 tahun dengan agensi berita ini.
"Persekitaran kerja dan kerjasama rakan sepejabat menjadikan suasana kerja seperti adik beradik," katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Bernama dan Malaysia Inbound Tourism Association (MITA) di Wisma Bernama hari ini.
Sesekali beliau tersenyum melihat telefon bimbitnya dan membalas whatsapp termasuk satu ucapan berserta kisah 'Tatti Vandi' yang bertujuan menceriakannya.
Ada juga ucapan yang 'mengusik' dengan pertanyaan bila beliau akan memotong kek yang diterimanya menerusi whatsapp.
"Kita potong kek secara maya," seloroh Zarina sebagai jawapan.
Sejak menyertai Bernama pada tahun 1996 sebagai eksekutif perhubungan pemasaran (marketing communication), Zarina telah melihat Bernama berkembang dengan pesat.
Ketika mula berkhidmat di jabatan itu, yang diketuai oleh Encik S.N.Rajan sebagai pengurus kanan, produk yang ditawarkan Bernama tidaklah sebanyak sekarang.
Beliau bangga dengan kemajuan Bernama yang kini mempunyai  saluran radio dan televisyen.
Beliau bertambah bangga kerana dalam melaksanakan tugasnya, Zarina terlibat secara langsung dengan pelbagai acara penting yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan kepada Bernama.
Ini termasuk sambutan Hari Wartawan Nasional, yang julung kali diadakan tahun ini, serta program Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri pada malam ambang Hari Kemerdekaan pada 30 Ogos ini.
Ini merupakan tahun keempat Bernama mengendalikan acara itu setelah pertama kali melaksanakannya di Dewan Tunku Abdul Rahman di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang pada tahun 2014.
"Ini menunjukkan kepercayaan dan pengiktirafan yang diberikan kementerian kepada Bernama," katanya.
Satu acara lagi yang melibatkan peranan utama Unit Komunikasi Korporat ialah sambutan Ulangtahun ke-50 Jubli Emas Bernama.
Selain bertanggungjawab terhadap jemputan bagi majlis makan malam sempena sambutan itu pada 22 Mei ini, unit tersebut telah berurusan dengan  Pos Malaysia bagi mengeluarkan setem khas Jubli Emas Bernama.  


Bernama, MITA jalin kerjasama promosi produk pelancongan negara...

Foto Bernama
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan produk  pelancongan negara.
Presiden MITA Uzaidi Udanis berkata produk pelancongan tempatan seperti destinasi popular, kedai makan, operator pelancongan dan syarikat berkaitan dengan MITA akan diperkenalkan sehingga peringkat antarabangsa.
"Sepanjang 13 tahun penubuhan MITA, MoU kali ini dianggap bersejarah kerana ini adalah pertama kali kami menjalankan kerjasama dengan platform media arus perdana seperti Bernama dalam memperkenalkan produk pelancongan tempatan kepada pelancong luar negara.
"Usaha itu bakal dilakukan menerusi sebuah program berdurasi 10 minit dikenali sebagai '#vacay' yang akan diselitkan dalam satu daripada program di Bernama News Channel (BNC) mulai 3 April ini.
"Program #vacay yang berkonsepkan bual bicara akan bersiaran pada 9 pagi hingga 11 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat.
"Perkara berkaitan perniagaan pelancongan, destinasi dan pakej pelancongan dan perbincangan isu-isu semasa berkaitan pelancongan dalam negara akan ditampilkan dalam #vacay," katanya kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU itu di Wisma Bernama. 
MoU itu ditandatangani oleh Uzaidi dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan
Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah. Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan wakil-wakil penggiat industri pelancongan.
Uzaidi berkata BNC juga akan menjadi platform publisiti utama dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai segala aktiviti yang dijalankan MITA yang kini mempunyai 1,500 anggota di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Mikhail Raj berkata langkah MITA dalam menjalinkan kerjasama dengan Bernama adalah tindakan terbaik memandangkan Bernama menawarkan rangkaian perkhidmatan meluas termasuklah menjadi media berita antarabangsa kepada lebih 126 pelanggan media.
"Melalui kerjasama ini, diharapkan agar usaha mempromosikan industri pelancongan dalam negara dapat dipergiatkan oleh pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak media yang lain," katanya.
-- BERNAMA



Prospek perniagaan lebih luas menerusi Bernama Radio...


Prospek perniagaan dapat diperluaskan menerusi Bernama Radio.
Mesej itu diutarakan dalam iklan Bernama Radio yang disiarkan akhbar Sinar Harian hari ini.
Bernama Radio menawarkan pakej pengiklanan yang menarik dan berpatutan, menepati objektif pemasaran sesebuah organisasi.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Bernama Radio, Raziyaza Mohammed berkata pelanggan bukan sahaja boleh bersiaran di Bernama Radio secara langsung malah pelbagai pakej lain ditawarkan mengikut trend terkini.  
"Bersiaran secara langsung adalah pilihan utama pelanggan, tetapi kini pengiklanan lebih meluas dan global terutamanya di media sosial Bernama radio seperti Facebook, Twitter dan Instagram kerana ia juga memberikan impak jualan yang besar kepada pelanggan kami dari pelbagai sektor seperti agensi korporat, kementerian, swasta, IKS, NGO, agensi pelancongan dan sebagainya," katanya.