Tuesday, 7 August 2018

Tanda nama pokok untuk perkasa kebun...


Aktiviti Kebun Bandar Bernama (KBB) petang ini turut melibatkan usaha menanda nama pokok.
Pengurus Operasi KBB Abas Othman, yang juga Pembantu Akauntan, disertai Pegawai Tadbir Bahagian Harta dan Pentadbiran, Nur Farrah Hanna Ibrahim dan Admin Meja Berita Am Bernama, Nazellyn Akmar Kamarudin turut membersihkan kebun berkenaan.
Aktiviti berkebun berhampiran Sungai Bunus di seberang Wisma Bernama itu kini menjadi aktiviti mingguan.
Ia menjadi antara usaha menjayakan sambutan 'World Rivers Day' yang akan diadakan pada 29 September ini.


Foto-foto Bernama Images

Monday, 6 August 2018

Sistem rawatan air Malaysia untuk pelarian Rohingya...


Menjelang tarikh keramat kemerdekaan negara, keupayaan Malaysia untuk membantu tetangga menjadi perhatian. Dalam kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, ada masyarakat luar menjadi pelarian untuk menyelamatkan diri daripada penindasan di negara mereka.
Penulis Syed Azwan Syed Ali yang juga Penasihat Media bagi Misi Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di Cox’s Bazar, Bangladesh berkongsi cerita menerusi Bernama.

Sekurang-kurangnya 30,000 etnik Rohingya di kem pelarian yang terletak di kawasan Ukhia di Cox’s Bazar, Bangladesh akan menerima bekalan air terawat hasil inisiatif sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia.
Sistem rawatan air medan “SafeWhere” Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) itu akan dipasang di lima lokasi, termasuk di kawasan Hospital Medan Malaysia (MFH).
Sistem yang dibangunkan dengan kerjasama Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga dipasang di kem pelarian mega Balukhali/Kutupalong yang menempatkan lebih 650,000 pelarian Rohingya dari Myanmar.
Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pemasangan sistem rawatan air yang dibangunkan sepenuhnya menggunakan kepakaran Malaysia itu, akan membantu komuniti pelarian untuk mendapatkan bekalan air terawat.
Katanya, bekalan air terawat adalah keperluan mendesak setelah petugas di sektor kesihatan, termasuk doktor sukarelawan IMARET mendapati banyak pelarian mengidap penyakit bawaan air kerana sumber air terawat terhad.
“Kita dapati banyak pelarian yang mengidap penyakit bawaan air dengan simptom cirit birit, muntah hinggalah dehidrasi. Memang banyak pihak bina telaga tiub di sini, tetapi ia hanyalah bekalan air bersih bukan air terawat.
“Kita harap pemasangan sistem SafeWhere akan membantu menangani masalah penyakit bawaan air dengan memastikan air yang mereka minum bukan hanya bersih, tetapi selamat,” katanya di kem pelarian Rohingya di Balukhali.
Dr Ahmad Munawwar Helmi mengetuai misi IMARET SafeWhere tiba di Cox’s Bazar sejak Jumaat lalu.
Misi kemanusiaan dianggotai enam petugas dan sukarelawan IMARET itu turut disertai Kol Dr Mohd Arshil Moideen dari Perkhidmatan Kesihatan ATM yang bertanggungjawab membangunkan sistem SafeWhere sejak 2011 bermula di Afghanistan.
Krisis kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar sejak Ogos tahun lalu menyaksikan lebih 700,000 pelarian baru masuk ke Bangladesh untuk berlindung dari operasi berdarah tentera Myanmar di wilayah Rakhine.
Kini terdapat lebih 1.2 juta pelarian Rohingya yang berada di kem-kem pelarian di selatan Bangladesh yang bersempadan dengan Myanmar.
Kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh itu mendapat perhatian dunia termasuk Malaysia yang menerima kesan buruk daripada konflik yang menguji hubungan negara-negara ASEAN sejak sekian lama.
Sistem rawatan air SafeWhere yang mula dipasang di kem pelarian Rohingya di kawasan Ukhia, Cox’s Bazar adalah hasil sumbangan Yayasan Hasanah dan rakyat Malaysia yang prihatin dalam isu pelarian etnik tidak bernegara itu.
-- BERNAMA

Sunday, 5 August 2018

Stres punca lebih ramai rakyat Malaysia alami kemurungan...

Depresi atau kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020.
Ini susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.
Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye berkata Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas menujukkan 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.
"Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi  di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.
"Terdapat peluang lebih tinggi bahawa seseorang itu akan hanya berdiam diri dan memendam emosi apabila mereka tidak mencari cara untuk meluahkan kekecewaan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga  2015.
Oleh itu, rakyat perlu menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan dan  program efektif dalam mengendalikan kesejahteraan mental.
Antara langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya  45 minit sebelum masuk tidur, katanya.
Menurut Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal.
-- BERNAMA

Saturday, 4 August 2018

Kibar Jalur Gemilang bukti sayang negara...


“Buktikan kesayangan kita kepada negara dengan mengibar Jalur Gemilang,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan di Padang Kota Lama di Pulau Pinang malam ini.
Program itu menandakan permulaan sambutan Hari Kebangsaan negara dengan tema ‘Sayangi  Malaysiaku’.
Rasa bangga perlu ada pada rakyat untuk mengibar Jalur Gemilang di mana sahaja --- di rumah, bangunan yang sesuai, malah pada kenderaan.  
Dr Mahathir menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan sahaja meraikan pembebasan daripada penjajah malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.
"Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.
"Akhirnya ialah kejayaan luar dari dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar (maka) pemerintahan dahulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.
“Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat," katanya.
Sambutan ini pertama kali dianjurkan kerajaan Pakatan Harapan setelah mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 Mei lepas.
"Kibarkanlah Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa cinta terhadap negara sekali gus bersyukur dengan nasib kita yang begitu baik kerana dapat menukar kerajaan tanpa rusuhan," kata Dr Mahathir.


Friday, 3 August 2018

Bernama sertai pameran Bulan Kebangsaan...

Bernama turut menyertai program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 peringkat kebangsaan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu ini.
Program itu bermula hari ini sehingga 5 Ogos dengan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik.
Antaranya ialah pameran Caring Bridge yang disertai 80 agensi kerajaan dan swasta termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi.
Seramai 30,000 hingga 50,000 orang dijangka menghadiri majlis pelancaran yang bermula pukul 8 malam.
Bernama menyertai pameran berkenaan dengan memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan selaras tagline “All About You” dan "Get It Right".
Foto Farhan Mustafa



Thursday, 2 August 2018

Tahniah petugas cemerlang...

Lapan petugas terbaik jabatan bagi Julai 2018 diumumkan pada perhimpunan bulanan Bernama di pekarangan Wisma Bernama pagi ini.
Mereka telah dicalonkan oleh jabatan serta bahagian masing-masing.
                       
1  Perkhidmatan Berita Dalam Negeri (PBDN) – Syed Iylia Hariz Al-Qadri bin Syed Izman (Ketua Meja Metro)  
2    Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) – Hussin Sulaiman (Pembantu tadbir)
3    Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) – Erda Khursyiah Basir (Pegawai berita)
4    BERNAMA News Channel (BNC) -- Arul Rajoo a/l Durar Raj (Editor tugasan)
5.    Jabatan Sumber Manusia & Pentadbiran – Mohd Suffian Juraimi (Penjaga jentera elektrik) (Bahagian Harta)  
  6  Jabatan Kewangan & Akaun – Azlan Hamzah (Pembantu akauntan)        
7.    Jabatan Niaga  -- Noor Rizan Ahmad (kerani Bahagian Media & Pangkalan Data)
8.    BERNAMA Radio – Wan Shairil Azmir Wan Sharifuddin (Penerbit)            

Dua orang petugas, Mohd Nasir Abdul yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan dan jurukamera BNC Muhamad Salim menerima surat penghargaan khas.     
                                   
Surat penugasan Pegawai Berita dan Wartawan juga disampaikan kepada:
1.    Mazlan Samion        (Pegawai Berita        S41)   
2.    Shahrizan Jeffri Aziz (Pegawai Berita S41)      
3.    Syed Muhammad Zahid Makbul Wafa Syed Mohd Mumtaz Wafa (Pegawai Berita S41) 
4.    Muhammad Adib Hakim Hasri (Pegawai Berita S41)  
5.    Azman Firdaus  Azizan (Wartawan S29)           
6.    Mahayudin Mohamad (Wartawan S29)  
7.    Hafzi Mohamed        (Wartawan S29)     

Berita gembira juga diterima empat petugas yang disahkan jawatan.

1.    Mohd Norzaidi Arjunaidi (Pegawai Berita S41) dari Meja Keselamatan, PBDN
2.    Maznah Abu Bakar (Penolong Pegawai Tadbir N29) Meja Penulisan Strategik, PBA
3.   Suhendri Mohd Daud (Penolong Pegawai Tadbir N29) Bahagian Sumber Manusia
4.    Mohd Shahril Pandak Lamat (Pembantu tadbir N19) Meja Berita Am, PBDN

Dua petugas lama yang akan bersara menerima cek Gantian Cuti Rehat (GCR).
Mereka ialah Faridah Fakir Mohamad yang mula berkhidmat pada 1 Februari 1981 dan akan bersara pada 3 September ini serta K.Devika yang mula bertugas pada 8 November 1982 dan bersara pada 25 September ini.       
         

Sayangi Bernama kita...


Setiap petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) perlu menzahirkan semangat kesetiaan dan cintakan organisasi bagi melahirkan pekerja yang berdedikasi, komited dan ikhlas.
Foto Bernama 4 You
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zulkefli Salleh berkata dengan adanya semangat dan nilai-nilai positif tersebut, agensi berita ini mampu melakar kejayaan lebih cemerlang dalam menyampaikan berita kepada masyarakat di dalam dan luar negara.
"Begitu juga pada peringkat yang lebih besar iaitu kepada negara, jika kita sayang dan setia kepada negara, kita akan berusaha menjadi rakyat yang lebih baik.
“Walaupun perkara ini nampak mudah, namun tidak ramai yang mengambil berat mengenainya. Sebagai contoh apabila pekerja di sesebuah organisasi merasakan tidak dipedulikan oleh pihak atasannya maka akan timbul banyak sifat negatif dalam diri berbanding sifat positif, seterusnya menjadikan mereka tidak produktif," katanya selepas menyampaikan amanat bersempena perhimpunan bulanan Bernama di pekarangan Wisma Bernama hari ini.
Zulkefli berkata warga Bernama terutamanya wartawan memainkan peranan penting bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan mengimbau kembali perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu.
"Inilah peranan kita (wartawan) bukan sahaja melaporkan acara perbarisan dan persembahan sambutan Hari Kemerdekaan, malah perlu pergi lebih jauh daripada itu.
“Setiap tahun, kita mengimbau kembali sejarah, erti dan nikmat kemerdekaan yang mampu menimbulkan kesedaran kepada masyarakat untuk sama-sama mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara yang dimiliki selama ini hasil perjuangan insan terdahulu," kata Zulkefli.
Mengulas prestasi Bernama di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan, beliau berkata organisasi ini sentiasa melaporkan berita secara objektif, cepat dan tepat,  justeru tidak menghadapi sebarang masalah meskipun bertukar kerajaan yang baharu.
"Kerajaan lama atau baharu, Bernama terus berfungsi seperti biasa dalam menyampaikan berita kepada masyarakat. Berkenaan perbezaan ideologi, Bernama telah dilatih supaya menjalankan tugas secara profesional iaitu tidak memihak kepada mana-mana pihak sebaliknya menyebar berita d
engan penuh objektif," katanya.
-- BERNAMA
Foto Bernama 4 You








Wednesday, 1 August 2018

Rinjani dalam kenangan…


Sekumpulan 21 petugas Bernama berada di Pulau Lombok, Indonesia untuk mendaki Gunung Rinjani seminggu sebelum kawasan itu dilanda gempa bumi.
Gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter adalah sebahagian daripada Taman Nasional Gunung Rinjani seluas 41,330 hektar yang popular dengan keindahan semulajadinya.
Gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter menggoncang wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok jam 5.47 pagi Ahad lepas, menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan.
Bencana itu mengorbankan 14 orang termasuk seorang rakyat Malaysia Siti Nur Ismawida Ismail, 30, yang dilaporkan dalam misi pendakian ke gunung berapi Rinjani itu.
Kumpulan Bernama itu telah merancang sejak tahun lepas untuk mendaki gunung tersebut setelah membuat pendakian di beberapa tempat dalam negara.  
“Tiket flight memang dah beli dari tahun lepas,” kata Izzul Zunnurain yang turut sedih dengan kejadian gempa bumi itu.
“Kita dapat membayangkan diri sendiri ada dekat situ
“Bila media sosial tunjuk gambar-gambar dan video kat sana, memang saya lalu kawasan tu masa di sana
“Boleh bayangkan suasana yang aman masa kami sampai kat sana tiba-tiba jadi hura hara…tiba-tiba berlaku gempa bumi..mesti suasana dah bertukar,” kata Izzul, 29, dari bahagian Perkhidmatan Media dan Pangkalan Data.
Menurutnya, kumpulan itu yang diketuai Asri Junin dan turut mengandungi lima wanita tiba di Lombok pada 16 Julai dan mula bergerak ke gunung itu keesokannya.
“Dari KLIA2, kami terbang ke Lombok International Airport, tiba dah malam.
“Kemudian kami dibawa ke Sembalun dan menetap satu malam di mini villa homestay.
Menceritakan pengalaman pendakian itu, beliau berkata dari homestay Sembalun mereka dibawa ke pintu masuk  gunung itu pada kira-kira 9.30 pagi untuk memulakan misi.
“Kami melalui Pos 1 sebelum sampai ke Pos 2 di mana kami berhenti untuk makan tengah hari.
“Selepas makan dan solat kami meneruskan perjalanan melalui Pos 3 sebelum  sampai di Pos 4 yang dikenali sebagai Bukit Penyesalan.
“Matlamat kami pada 17hb itu adalah untuk sampai ke Camp Site (tapak khemah) yang letaknya separuh perjalanan di Gunung Rinjani,” katanya.
Kumpulan itu sampai di camp site pada kira-kira 8.30 malam.
“Pada pagi 18hb jam 3 pagi, kami bangun dan mula mendaki ke puncak Gunung Rinjani
“Sepanjang perjalanan ke puncak Gujung Rinjani tu, kami ditemani banyak bintang.
“Memang cantik…dapat melihat kebesaran Allah
“Cantik sangat bintang pada masa tu,” kata Izzul yang sampai ke puncak pada pukul 10.30 pagi.
Ada yang sampai lebih awal pada  pukul 8.30 pagi dan 9.30 pagi.
Beliau bersyukur dapat sampai ke puncak “sebab ada yang separuh jalan tak sampai ke puncak kerana kehabisan tenaga”.
“Sebelum sampai ke puncak, kami kena melalui “Laluan Neraka”…ramai yang kecundang di “Laluan Neraka”,” katanya mengenai tempat itu yang berpasir dan berbatu.
“Ia ibarat selangkah kita berjalan, dua langkah kita mengundur.
“Daripada situ dah boleh nampak puncak,tapi nak sampai puncak ambil masa 1 jam juga,” katanya.
Beliau bekata semangat mental yang kuat diperlukan untuk menempuhi “Laluan Neraka”.
“Disebabkan keinginan yang kuat untuk sampai ke puncak, saya bergerak perlahan-lahan…sewaktu saya di laluan neraka, kebanyakan pendaki sudah mula turun.
“Mereka turun, saya naik…saya tak kisah jadi orang yang terakhir, janji saya nak sampai puncak..masa tu pikir kalau mati pun nak juga sampai puncak,” katanya.
Jarak 'Laluan Neraka' itu kira-kira 500 meter tapi  “nak sampai puncak ambil masa sejam setengah juga bagi orang macam saya”.
“Disebabkan matahari sudah mula naik di kepala, saya cuma spent time dalam 20 minit di puncak untuk ambil gambar,” kata Izzul yang terus sujud syukur apabila sampai ke puncak gunung.
Beliau berkata 12 peserta Bernama termasuk dua wanita berjaya sampai ke puncak.
Bagi Izzul, pendakian itu memberi iktibar dan pengajaran.
“Jangan pentingkan diri sendiri..
“Sentiasa mengamalkan semangat setiakawan
“Jangan cepat mudah berputus asa..ambil masa berehat sekejap dan teruskan perjalanan
Setkan dalam minda bahawa destinasi terakhir adalah puncak
“Jika kekuatan fizikal dah tak mampu dan tak bertenaga..kekuatan mental yang kita dah setkan tadilah penyelamat dan pembakar semangat untuk terus berjuang
“Dan gunakan kesempatan untuk sentiasa bersyukur dengan kebesaran Allah.
“Allah dah tunjukkan kuasa dengan mempertontonkan keindahan alam semesta.
“Banyakkan bersyukur dan jangan tinggalkan solat
“Sentiasa ambil berat dan ambil tahu keadaan rakan-rakan seperjuangan yang lain semasa mendaki.
“Ikut arahan ketua pendaki dan sentiasa jaga kebersihan,” kata Izzul.
Selepas mendaki, mereka turun menuju ke camp site untuk berehat dan makan tengah hari sebelum bergerak turun pada pukul 3.30 petang.
Mereka tiba semula di homestay di Sembalun pada kira-kira 9 petang, masing-masing kepenatan.
“Keesokkan hari nya, kami check out dan menuju ke homestay di Senaru yang telah kami tempah.
“Di Senaru, kami memang plan nak berjalan-jalan sekejap di  Air Terjun Sendang Gile dan Tiu Kelep,” katanya.
(Foto koleksi Izzul Zunnurain)