Saturday, 16 December 2017

Pahlawan Bernama Putrajaya...

Para petugas Bernama Putrajaya berpakaian bangsawan yang difikirkan mencerminkan zaman Kesultanan Melayu Melaka kurun ke-15 sesuai dengan tema Majlis Gala Dinner Kelab Media Putrajaya 2017.
Majlis berlangsung di Hotel Pullman Putrajaya malam ini.
Tetamu kehormat ialah Setiausaha akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Hisamudin Yahaya, yang pernah berkhidmat dengan Bernama.
Majlis diserikan, antara lain, dengan persembahan kombo dan pertandingan karaoke.
“Dari Bernama 12 orang dan diserikan dengan kehadiran bersama keluarga masing-masing,” kata jurufotografi Mazlan Samion.
“Yang seronok ialah semangat bersama untuk mencari pakaian yang sesuai dengan tema yang ditetapkan,” katanya yang baharu tiga bulan bertukar ke biro Putrajaya.
Ada 13 pertubuhan media di Putrajaya.


Tarikan kolam air panas...

Editor Foto Adnan Jahaya tidak terfikir untuk mandi atau berendam di kolam air panas ketika menghadiri retreat pengurusan Bernama yang berakhir semalam.
Bagaimanapun semasa berehat sebelah petang sebelum menyambung semula sesi retreat, beliau memanfaatkan masa rehat itu di kolam air panas.
“Kolam air panas adalah antara tarikan di Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah, dekat Sungkai, Perak, lokasi berlangsungnya retreat.
Mulanya berhasrat untuk menyertai pengunjung lain yang enak berendam di kolam besar namun memilih untuk hanya merendam kaki kerana lebih santai dan tak perlu menukar pakaian,” katanya.
Sudah lama beliau tidak merendam kaki selepas melakukannya di kolam air panas di Uu Legong, Kedah dan di Betong yang terletak di selatan Thailand.
Keenakan berendam kaki sebelum ini mendorong beliau untuk mengulanginya di Felda Residence kerana kegiatan itu menyegarkan badan dan berpeluh.
“Sesekali di sini saya terkenang amalan merendam kaki di sebatang sungai yang sejuk airnya dan dipenuhi ribuan ikan yang menyondol kaki dan ada yang menggigit manja.
Ikan-ikan liar itu akan menyalur keistemewaan dengan urutan tersendiri di sungai yang terpelihara di wilayah  Nakhorn Si Thammarat.
Walaupun begitu kegiatan mandi di kolam air panas juga tetap menyegarkan badan kerana ia tetap istimewa berbanding mandi air panas di bilik mandi,” kata Adnan.
Di Ton Tam Resort and Spa pengunjung djtawarkan kelainan dan di situ hanya rendam kaki di air jernih yang mengalir lembut. 
Hanya rendam dan biarkan urusan lain dilakukan oleh ikan-ikan liar yang kebanyakannya bersaiz ikan sepat.
Untuk yang mampu menahan kegelian digeletek ikan, pengunjung boleh berendam seluruh badan.
“Walaupun air sejuk atau panas,  sumber air semula jadi dalam apa jua suhu tetap yang terbaik,” katanya mengenai pengalaman itu.

Friday, 15 December 2017

Biro Pahang harumkan nama Bernama...


Rumusan 12 perkara...

Retreat Pengurusan Bernama yang berakhir hari ini merumuskan 12 perkara dalam memacu hala tuju menghadapi cabaran serta memantapkan penjenamaan Bernama.
Rumusan itu dibuat setelah dua hari bermesyuarat di Felda Residence, Hot Springs Sungai Klah.
Selain amanat Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh, rumusan itu hasil pembentangan kumpulan yang mewakili Pejabat Pengurus Besar, Jabatan Pengarang, Bernama News Channel dan Jabatan Niaga.
Dua belas perkara yang menjadi rumusan itu ialah:

1. Memperkenalkan tagline Bernama.
    - Para peserta mengemukakan cadangan tagline/slogan. Setelah undian dibuat, dua   dipilih:
    Get it right dan  All about you

2. Menubuhkan Meja Advertorial yang diketuai oleh seorang editor

3. Menubuhkan Unit R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) untuk pemasaran

4. Pisahkan laman rasmi web (official website) Bernama  dan portal berita (news portal)

5. Peranan Unit corporate communication dipertingkatkan menjadi Marcomm (Marketing Communication)

6. Penjenamaan (Branding) - semua kad nama diselaras dan disahkan oleh Unit Komunikasi Korporat (UKK)

7. Hanya satu pakaian korporat yang seragam dan sama untuk semua jabatan di Bernama

8. Bernama News Channel (BNC) tumpukan kepada program berasaskan isu (issue-based)

9. Langkah-langkah diambil untuk kembang Meja Antarabangsa mulai tahun depan (selaras cadangan mengeluarkan berita antarabangsa round-the-clock serta gesaan Pengurus Besar agar pemasaran produk Bernama meninjau potensi luar negara)

10. Bernama harus ada flagship. Pengurus Besar cadang diadakan Bernama Award.

11. Step up formal and informal communication among departments in Bernama.

12. Bernama to take lead in the establishment of Press Council in Malaysia.

Thursday, 14 December 2017

Mengenali siapa kita...

Retreat Pengurusan Bernama bermula dengan persoalan “Who are we?" dan "What are we?” 
Mengenali siapa kita amat penting untuk merangka strategi dan gerak kerja menghadapi masa depan.
“Kalau kita tidak kenal siapa kita, kita akan buat kerja yang bukan kerja kita,” kata Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dalam amanat pada permulaan retreat dua hari di Felda Sungai Klah.
Cabaran yang dihadapi termasuk penglibatan masyarakat yang mengambil-alih tugas organisasi berita seperti Bernama sebagai pelapor berita.
Ini ekoran kemunculan era digital yang melahirkan internet dengan membuka ruang kepada orang ramai menjadi wartawan yang dikenali sebagai citizen journalism.
Banyak akhbar juga kini menumpukan kepada online, fungsi yang dahulunya dilakukan oleh agensi berita.
Dalam menghadapi cabaran ini, Bernama perlu pantas untuk menyalurkan maklumat.
Jika Usain Bolt mencipta nama kerana kepantasan lariannya, masa depan Bernama juga bergantung kepada kepantasan kita melaporkan berita.
Bernama tidak hanya bersaing dengan man-in-the-street yang muncul sebagai citizen journalists tetapi juga portal berita yang turut menampilkan video sebagai tarikan.
Datuk Zulkefli turut mencadangkan penubuhan Meja Advertorial yang diketuai oleh seorang editor untuk mengemaskini liputan berita-berita mengenai pelanggan Bernama.
Beliau juga mahu Bernama menghasilkan berita-berita yang boleh dipasarkan ke luar negara.

Wednesday, 13 December 2017

Cuti Umrah untuk penjawat awam mulai 1 Januari...

Penjawat awam bertaraf tetap dibenarkan memohon cuti tanpa rekod untuk menunaikan umrah maksimum selama tujuh hari iaitu sekali dalam tempoh perkhidmatan, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 Kemudahan Cuti Umrah yang dimuat naik di laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 11 Dis, perkiraan  tujuh hari itu  bermula dari tarikh penerbangan sebenar menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah dan ziarah di Madinah.
"Sekiranya tarikh penerbangan bermula pada hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am, maka perkiraan tujuh hari akan bermula pada hari bekerja berikutnya," menurut pekeliling itu.
Cuti umrah itu tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2018 pada 27 Oktober lepas mengumumkan bahawa kerajaan buat julung kali bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod  sepanjang  tempoh  perkhidmatan  bagi menunaikan umrah.
Menurut pekeliling itu, pegawai yang memerlukan cuti melebihi had maksimum tujuh hari itu, perlu memohon untuk menggunakan kemudahan Cuti Rehat, Cuti Rehat Khas atau Cuti Tanpa Gaji atas urusan persendirian, tertakluk pada kelayakan cuti mereka.
-- BERNAMA

Tuesday, 12 December 2017

Syarikat telekomunikasi taja sambutan Hari Keluarga Bernama...

Syarikat telekomunikasi, Lautan Variasi Sdn Bhd (LVSB) , menaja RM5,000 bagi sambutan Hari Keluarga Bernama yang akan diadakan di Perak hujung minggu ini.
Pengarah Urusan LVSB Syed Nasir Hussin Syed Peer menyerahkan replika cek tajaan itu kepada Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia  (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh pada satu majlis di Wisma Bernama hari ini.
Mengulas mengenai tajaan tersebut, Syed Nasir Hussin  berkata tajaan julung kali itu akan membuka ruang  kerjasama antara LVSB dan Bernama sebagai rakan media untuk jangka masa panjang.
“Saya harap hubungan ini berterusan dan kita telah rancang pelbagai projek untuk tahun depan yang kini dalam proses perbincangan. Kita akan umumkan projek-projek tersebut apabila tiba masa kelak,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan replika cek tajaan itu.
Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain yang juga Presiden Kelab Kakitangan Bernama (KKB) yang turut hadir pada majlis itu melahirkan penghargaan kepada pihak LVSB atas kesudian menaja dan menjadikan Bernama sebagai rakan media syarikat tersebut.
“KKB amat bertuah menerima tajaan berjumlah RM5,000 untuk bantu anjur Hari Keluarga yang kita mahu raikan kakitangan Bernama selepas setahun bekerja keras,” katanya.
Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan menyumbang buah-buahan tempatan untuk acara tersebut.
Hari Keluarga Bernama akan diadakan di Puteri Bayu Beach Resort Pasir Bogak, Pulau Pangkor, Perak akan dimeriahkan hampir 300 peserta terdiri daripada 80 kakitangan Bernama dari pelbagai jabatan bersama keluarga masing-masing.
Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang dua hari program dwitahunan itu antaranya sukaneka, cabutan bertuah, mengelilingi pulau, ‘snorkeling’, makan malam dan karaoke.
Setiap peserta dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM180.
Tema tahun ini adalah ‘Semalam di Pasir Bogak’.
-- BERNAMA



Kunjungan MB suntik semangat...

Kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan memberi semangat kepada keluarga jurufotografi Bernama Mohd Hamzah Md Som yang sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas diserang strok.
Isteri Hamzah, Zaida Sabtu berkata penyakit yang dialami suaminya sememangnya memerlukan sokongan dan semangat yang tinggi bagi membantu proses pemulihan.
“Jadi apabila Datuk Seri Mohamad hadir petang tadi, ditambah dengan kunjungan rakan-rakan sekerja suami yang tidak putus-putus sejak suami dimasukkan ke wad Khamis lepas, sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat suami untuk pulih dan menguatkan semangat saya juga sebagai isteri.
Datuk Seri Mohamad ada pesan agar suami saya jaga pemakanan dan jaga kesihatan, beliau juga memberi pesanan yang sama kepada pesakit yang lain di dalam wad berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Hamzah, 51, merupakan jurugambar Bernama Biro Negeri Sembilan.
Menceritakan detik cemas yang dilalui suaminya itu, Zaida berkata suaminya ada mengadu pening dan badan sebelah kanannya tidak sedap ketika sedang bersiap untuk bekerja pada Khamis lepas kira-kira pukul 7.30 pagi.
“Saya dan anak terus ke Klinik Kesihatan Senawang…bagaimanapun klinik meminta agar suami dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, suami dibawa ke hospital menaiki ambulan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan di kepala suami.
Suami memang ada darah tinggi dan kolestrol tetapi setiap hari saya akan pastikan dia makan ubat,” katanya.
Katanya keadaan suaminya kini semakin stabil meskipun anggota tubuhnya sebelah kanan tidak boleh digerakkan, dan suaminya akan menjalani  rawatan fisioterapi bermula esok.
“Doktor juga akan melihat perkembangan kesihatan suami dalam masa seminggu ini sebelum dibenarkan pulang,” katanya.
-- BERNAMA