Thursday, 15 June 2017

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera edar juadah berbuka puasa...

Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera mengedarkan 400 pek juadah berbuka puasa untuk para petugas Bernama di Wisma Bernama hari ini.
Ketua Eksekutif yayasan itu Raja Azura Raja Mahayuddin, yang mengetuai delegasinya, berkata sumbangan itu bagi menghargai sokongan Bernama terhadap aktiviti yayasan tersebut.

Kaunter pembayaran Zakat...




Wednesday, 14 June 2017

Nikmat berbuka puasa di pejabat...

Sejak awal Ramadan, berbuka puasa di pejabat telah menjadi rutin dan sesekali ditemani rakan-rakan setugas. Kadang-kadang terasa sunyi ketika berbuka puasa sendirian dengan hanya tiga butir kurma dan sedikit biskut serta air kosong, namun ia memadai.
Sesekali dapat berbuka dengan warga BERNAMA dengan jumlah yang besar apabila ada pihak yang menaja majlis berbuka puasa di Tingkat 10 Wisma BERNAMA.
Malam ini, Shopee Malaysia bermurah hati menaja majlis berbuka puasa bagi kakitangan yang bekerja syif petang.
Menyertai lebih 200 petugas untuk berbuka puasa dengan para pegawai kanan syarikat perniagaan online itu membawa makna yang besar.  Bukan sahaja menikmati keenakan juadahnya tetapi juga merasai nikmat persaudaraan di kalangan para petugas BERNAMA serta pihak penaja.
Sebelum ini sudah ada beberapa pihak yang menaja majlis berbuka puasa di pejabat malah ada yang mengantar bungkusan juadah untuk berbuka. Semoga para penaja  majlis berbuka puasa atau pihak yang menghantar bungkusan juadah akan terus diberkati dan maju jaya dalam bidang utama mereka.
Selain berbuka di pejabat, sesekali menerima undangan untuk berbuka puasa di luar pejabat termasuk di hotel dan restoran-restoran terkemuka.
Kata orang berbuka puasa tanpa keluarga akan hilang seri Ramadan. Namun hakikatnya berbuka puasa ketika bertugas mempunyai keindahan tersendiri.
Setakat ini hanya empat kali berpeluang berbuka bersama keluarga lantaran mereka menetap lebih 400 kilometer dari ibu kota.  Jarak sejauh itu mengambil masa tujuh jam melalui perjalanan darat.
Tidak pernah merasa letih untuk pulang ke kampung untuk berbuka puasa bersama keluarga kerana di kampung pastinya ada nasi ulam yang sedia tersaji.
Apapun yang lebih utama dapat meluangkan waktu untuk mereka sekurang-kurangnya sehari sebelum balik semua ke ibu kota sebelah malamnya.

Catatan dan foto Adnan Jahaya

Jawatankuasa Induk HAWANA bermesyuarat...


Mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Hari Wartawan Nasional (HAWANA) berlangsung di Wisma Bernama pagi ini.
Ia dipengerusikan Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abdul Wahab.
Sambutan HAWANA yang julung-julung kali dirancang untuk diadakan tahun ini merupakan inisiatif bersama serta kesepakatan peneraju industri media negara. 

Tuesday, 13 June 2017

Yayasan Bank Rakyat, Bernama Meterai MoU

Tan Sri Shukry bertukar dokumen dengan Farhan
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membekalkan perkhidmatan imej digital dan liputan berita kepada yayasan berkenaan.
Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin berkata melalui MoU itu akan membolehkan yayasan mendapatkan perkhidmatan imej fotografi dan mengumpul berita berkaitan yayasan untuk pengumpulan data di Muzium Bank Rakyat.
"Bernama merupakan agensi berita utama negara dan melalui MoU ini akan memudahkan pihak kami mendapatkan perkhidmatan imej fotografi dan berita yang telah kami jalankan untuk dikumpulan dalam data kami," katanya kepada Bernama selepas Majlis Iftar Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-10 Yayasan Bank Rakyat, di ibu negara malam ini.
Pada majlis itu, YBR yang diwakili Pengerusinya Tan Sri Shukry Mohd Salleh bertukar-tukar dokumen MoU bersama Pengurus Pemasaran Foto Bernama, Mohd Farhan Mustafa Kamal.
Pada majlis sama, YBR turut menandatangani MoU dengan empat lagi rakan strategik iaitu Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Berita Harian, Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) dan United Studio.
Menurut Norashikin, kolaborasi itu pula bertujuan untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Pertukaran dokumen Mou turut dilaksanakan antara Shukry dengan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Othman Mohamad; Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali; Rektor Aswara Prof Datuk Dr Mohd Rizon Juhari dan Presiden Eksekutif Kumpulan KRU Datuk Norman Abdul Halim yang mewakili United Studio.
"Pelbagai program akan dijalankan dengan rakan strategik ini terutamanya menerusi Pembiayaan Pembelajaran Boleh Ubah (PPBU) iaitu antaranya dengan Utusan Melayu kita laksanakan program tuisyen rakyat dan dengan Aswara kita laksanakan program penajaan untuk menempatkan pelajar di Aswara," katanya.
-- BERNAMA

Benita bawa keceriaan untuk 65 anak yatim program 'Sepatu Raya'

Seramai 65 penghuni Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Taman Melawati berpeluang memilih kasut raya mereka di kedai kasut Bata Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara hari ini. 
Jelas tergambar kegembiraan pada wajah mereka apabila kos kasut mereka, yang dibiayai hasil sumbangan para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam program 'Sepatu Raya' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita). 
Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh yang menyokong penuh usaha berkenaan turut hadir memilih kasut bagi anak-anak yatim yang berusia empat hingga 17 tahun itu bersama 13 orang anggota Benita. 
Datuk Zulkefli berkata program yang masuk tahun ke-10 membuktikan keprihatinan kakitangan Bernama dan Benita yang tidak jemu-jemu berusaha mengumpul sumbangan bagi menjadikan program tersebut satu realiti saban tahun. 
"Melihat anak-anak ini gembira dan meriah memilih kasut merupakan satu kepuasan, dan pihak pengurusan Bernama sentiasa menyokong penuh usaha murni seperti ini," katanya. 
Setiausaha Benita Lat Zaharah Abdul Mutalib berkata tahun ini merupakan tahun kelima kerjasama persatuan itu dengan pihak Bata. 
Katanya Bata memberikan harga diskaun menarik yang membolehkan wang sumbangan dikumpul dalam program selama sebulan itu menampung kos kasut 65 orang anak-anak yatim tahun ini berbanding 40 orang tahun lalu. 
"Selain kasut, wang sumbangan program ini juga diberi sebagai duit raya dan perbelanjaan rumah anak yatim berkenaan," katanya yang berharap aktiviti tahunan itu dapat diteruskan pada masa akan datang. 
Sementara itu, Pengurus Korporat Pembangunan Perniagaan Bata Primavera Sdn Bhd Datuk James Selvaraj berkata pihaknya bersedia pada bila-bila masa menerima sebarang kerjasama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat daripada mana-mana pihak yang berminat. 
Katanya keprihatinan Benita membawa bilangan anak-anak yatim yang bertambah saban tahun merupakan bukti kemurahan hati rakyat Malaysia. 
"Saya menyeru lebih banyak pihak mencontohi Benita dan Bernama dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti hari ini," katanya.  
-- BERNAMA

Mesyuarat biro zon utara...

Editor Foto Adnan Jahaya mengimbau kembali mesyuarat Ketua-ketua Biro Bernama zon utara yang baharu diadakan di Pulau Pinang.
“Sebaik menerima arahan untuk menghadiri mesyuarat Ketua-ketua Biro Zon Utara di Pulau Pinang, terfikir tentang agenda besar yang akan dibincang khususnya persiapan pilihan raya umum yang bakal tiba. Tidak seperti Ramadan yang hadir saban tahun namun pilihan raya juga pasti hadir setiap lima tahun atau kurang dari itu. 
Pada Jumaat lepas, saya bersama Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Editor Tugasan Bernama News Channel (BNC) Haji Abdul Rahman Ahmad berkereta hampir 300 kilometer ke The Light Hotel, Seberang Jaya yang menjadi lokasi mesyuarat. Acara pertama sebaik tiba di situ ialah berbuka puasa.
Berbuka puasa di restoran nasi kandar
Lokasi berbuka puasa yang telah ditempah oleh Biro BERNAMA Pulau Pinang bukan di hotel berkenaan tetapi di sebuah restoran nasi kandar di Jalan Gurdwara.  Deen Maju Nasi Kandar yang bertempat di sebuah bangunan lama mempunyai keunikan tersendiri adalah antara restoran yang begitu popular di Pulau Pinang dan melihat ramai yang beratur untuk mendapatkan nasi kandar terutama untuk berbuka puasa membuktikan ia mempunyai keenakan tersendiri.  Kami menikmati hidangan yang menyelerakan dan majlis berbuka berakhir dengan rasa puas.
Selepas berbuka masing masing mempunyai acara tersendiri kerana keesokannya akan bermula mesyuarat penting bagi peringkat zon utara. Mesyuarat dirasmikan Pengurus Besar Datuk Zulkefli Salleh dan penutupnya oleh Ketua Pengarang Datuk Zakaria Abd Wahab. 
Melihat pembentangan demi pembentangan mengenai situasi semasa di negeri-negeri utara oleh ketua-ketua biro membuktikan mereka telah bersedia untuk liputan terbaik Pilihan Raya Umum ke-14.
Para editor dari ibu pejabat juga turut membentangkan perkembangan terkini di peringkat ibu pejabat dan turut menghulurkan cadangan-cadangan untuk dilaksanakan di peringkat biro.
Ketua Penyunting Bahasa Melayu PBDN Datin Rohana Mustaffa juga sempat bersama-sama dalam mesyuarat walaupun dalam keadaan demam dan terpaksa pulang lebih awal ke Kuala Lumpur kerana tahap kesihatannya tidak mengizinkan.
Mesyuarat berjalan lancar dengan semua pihak mengambil bahagian secara aktif dan menyumbang pemikiran ke arah kebaikan liputan BERNAMA. Pastinya rakaman penghargaan turut dihulurkan kepada Biro Pulau Pinang yang menjadi tuan rumah, yang terbaik bukan sekadar jamuan nasi kandar tetapi menguruskan lokasi menyuarat yang sempurna.
Selepas selesai bermesyuarat, sesi bergambar dengan semua peserta mesyuarat berpakaian baju T yang ditempah khas untuk sambutan jubli emas BERNAMA. Semuanya nampak bergaya dengan baju yang tertera tulisan berwarna emas 50 tahun BERNAMA.
Selepas ini mesyuarat seumpamanya akan diteruskan pula ke zon selatan dan timur tetapi tarikhnya belum diputuskan. Pastinya ia akan berlangsung selepas hari raya Aidil Fitri."




Infolib anjur jualan istimewa Ramadan...

Bagi menggalakkan aktiviti membaca dan penggunaan Infolibnews, pusat maklumat itu menganjurkan “CLIENTELE CAFÉ - SPECIAL FOR RAMADHAN”
Jualan berbuka puasa diadakan dari 13 hingga 21 Jun 2017 bermula 1.30 hingga 3.30 petang di Tingkat 11.
Jualan Raya dari 13 hingga 21 Jun 2017.
Aktiviti pinjaman buku serta Promosi VeGood (empat perisa).
Edaran Bubur Lambuk pada 15 Jun 2017 (Khamis) bermula 2 petang di lobi Wisma Bernama.