Wednesday, 15 October 2014

Doa iringi sumbangan untuk anak kecil...



Foto Syed Khedher

Dalam usianya yang baru tujuh bulan, Nor Adriana Badrisyah perlu menjalani pembedahan segera di Institut Jantung Negara (IJN).
Doktor mengesahkan bahawa anak kecil itu mengalami tiga komplikasi -- jantung berlubang, saluran darah sempit dan jantung kurang oksigen.
Ini memerlukan bukan setakat satu pembedahan tetapi dua dan Nor Adriana perlu terus mendapat rawatan sehingga dewasa.
Beliau merupakan anak keempat jurukamera Bernama TV, Abdul Halim Ahmad yang sedang berusaha sedaya upaya mengumpul wang bagi membiayai pembedahan anak kesayangannya itu. Kos dijangka mencapai RM47,000.
Bagi membantu membiayai kos perubatan itu, Bernama mengambil langkah prihatin memberi sumbangan kepada Abdul Halim.
Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh, yang kini menjalankan tugas sebagai Pengurus Besar, menyampaikan cek sumbangan Bernama kepada Abdul Halim di Bilik Lembaga, Tingkat 14, Wisma Bernama hari ini.
Abdul Halim menghargai sumbangan Bernama itu dan mengucapkan terima kasih kerana ia membantu kos perubatan anaknya.

Sunday, 12 October 2014

Pengalaman berguna di Korea Selatan...



Tugasan membuat liputan Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan memberi peluang kepada dua penerbit Bernama Radio24 Fahmi Idris dan Kok Jun Sern melihat secara dekat kehidupan masyarakat di sana.
“Bila kami tiba di sana, satu cabaran yang dihadapi ialah bahasa kerana tak banyak yang boleh berbahasa Inggeris.
“Kami mengambil masa tiga, empat hari untuk adjust dan faham sistem keretapi dan tempat makan,..kita tak tahu harga dan apa jenis makanan kerana semua dalam bahasa Korea,” kata Jun Sern dalam program "Bersama Wartawan" menerusi Bernama Radio24 pagi ini.
Menurutnya, mereka menggunakan isyarat tangan ketika memesan dan membeli makanan atau kadang-kadang mendapat pertolongan orang yang memahami bahasa Inggeris.
“Kalau tahu satu, dua perkataan Koreapun, kadang-kadang tak bagus sebab mereka ingat kita tahu bahasa itu dan mereka menggunakannya,” kata Jun Sern.
“Di Korea tak banyak makanan halal, bagi Fahmi, kita cuba cari makanan halal tapi tak banyak . Kita kenal seorang rakyat Korea yang beritahu kita bahawa masyarakat Islam di Korea hanya 100,000 sahaja,” kata  Jun Sern..
“Berbanding rakyat Korea Selatan yang lain seramai 50 juta,” celah Fahmi
“Kalau di Seoul, lebih mudah nak cari makanan halal sebab ada penempatan orang Islam tetapi kalau di Incheon agak susah sikit , kita tumpu  makanan laut aja lah,” kata Fahmi lagi.
Satu lagi pengalaman berguna yang mereka perolehi ialah sikap masyarakat Korea Selatan yang mengutamakan golongan kurang berupaya serta orang tua.
“Apabila kerap menaiki keretapi, hari-hari boleh nampak… di hujung gerabak ada tempat khas untuk orang tua, orang OKU, actually dia bukan reserve, tapi priority seats.
The first few days kami naik, kami duduk di situ dan penumpang lain tengok kami semacam aja, then baru kita realise, orang Korea termasuk yang muda mereka tak duduk.. kerana mahu memerikan kepada yang lebih memerlukan,” kata Jun Sern.
“Walaupun coach tu penuh, tak ada orang mengandung, tak ada orang tua atau cacat, tempat duduk itu dibiarkan kosong,” kata Fahmi.
Fahmi dan Jun Sern sebenarnya mencipta sejarah kerana itulah kali pertama Bernama Radio24 menghatar petugas membuat liputan sukan antarabangsa di luar negara sejak ia mula beroperasi September 2007.
Bermula 19 September hingga 4 Oktober lepas, bandaraya Incheon di Korea Selatan menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-17.
Malaysia yang menghantar hampir 300 peserta cuma meraih lima pingat emas, 14 pingat perak dan 14 pingat gangsa.
Tambah menghampakan ialah apabila pingat emas sulung Malaysia dalam acara wushu ditarik balik kerana kesalahan menggunakan dadah terlarang.
Sepanjang membuat liputan, Fahmi dan Jun Sern tinggal di sebuah hotel di Incheon yang disediakan oleh pihak penaja.
Dalam program hampir sejam itu, mereka turut berkongsi pengalaman cara yang dilakukan dalam merancang liputan sepanjang berada di sana.
Fahmi berkata mereka memberikan tumpuan kepada acara-acara melibatkan atlit Malaysia,
“Ada venue lebih dekat dari hotel dan ada juga yang dekat dari pusat media,” katanya.
Jun Sern menambah: “Setiap malam selepas balik hotel, kita lihat jadual dan rancang untuk keesokannya… tengok train station yang paling dekat dengan acara sukan, kalau tidak kita pergi media centre untuk naik shutle  bus media… ada tempat acara yang jauh seperti wushu yang mengambil masa hampir dua jam setengah. Tempat itu pun tak ada train.”
Fahmi yang berasal dari Kuala Lumpur menyertai Bernama Radio 24 pada 2007. Bermula sebagai Penjadual,  beliau beralih kepada penerbit program dengan menghasilkan program Gelanggang yang memberi tumpuan kepada sukan antarabangsa.
Jun Sern, yang berasal dari Petaling Jaya, merupakan lulusan kejuruteraan. Beliau bagaimanapun menyertai bidang pengiklanan selepas tamat pengajian dan menyertai Bernama Radio24 dua tahun kemudian pada tahun 2008.

Thursday, 9 October 2014

Penjawat Awam Malu Dedah Masalah Kepada Pegawai Psikologi - JPA


Masalah peribadi, komunikasi, tekanan kerja dan kewangan adalah antara masalah penjawat awam yang sering dirujuk kepada pegawai psikologi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi JPA Dr Abd Halim Mohd Hussin berkata bagaimanapun, secara umumnya penjawat awam keberatan untuk mendedahkan masalah mereka kepada pegawai psikologi kerana malu.
"Mereka tahu wujudnya pegawai psikologi tetapi tidak ramai yang tampil mahu dapatkan khidmat," katanya sambil menambah stigma negatif mendapatkan khidmat psikologi perlu dikikis.
Bercakap dalam sidang media selepas perasmian Hari Terbuka Psikologi 2014 yang bertema 'Kesejahteraan Psikologi Pemangkin Transformasi Perkhidmatan Awam' di Putrajaya hari ini, beliau berkata khidmat itu sebenarnya dapat membantu mempertingkat kesejahteraan psikologi individu.
Abd Halim berkata JPA kini mempunyai 497 pegawai yang menjalankan pelbagai program mencegah masalah psikologi selain membantu penjawat awam yang menghadapi masalah.
"Bilangan ini boleh dikatakan sedikit berbanding 1.5 juta penjawat awam. Nisbahnya adalah seorang pegawai psikologi kepada 3,000 penjawat awam. Mereka bagaimanapun cuba untuk memenuhi semua tuntutan," katanya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, ketika berucap merasmikan hari terbuka itu, berkata pegawai psikologi di JPA, kementerian, jabatan dan setiausaha kerajaan negeri perlu membantu penjawat awam dalam menerima serta mengadaptasi proses transformasi.
Beliau berkata program psikologi dan transformasi perlu bergerak seiring bagi menyediakan penjawat awam dalam proses perubahan.
"Peranan psikologi sangat penting untuk mengubah cara bekerja dan keseimbangan aspek kerohanian dan fizikal," katanya.
Mohamad Zabidi juga berkata bakat baik di sektor awam yang tidak dapat melaksanakan tugas dengan sempurna kerana mempunyai masalah dari segi emosi sudah tentu akan menjadi satu kerugian dalam perkhidmatan awam.
-- BERNAMA

KKMM Terus Dinamik Menyatupadukan Rakyat...


FotoBERNAMA
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan memastikan ia terus dinamik dan progresif sebagai platform untuk menyatupadukan rakyat.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian di Angkasapuri di sini pada Khamis, mengingatkan bahawa jabatan dan agensi di bawah kementerian itu, perlu menawarkan perkhidmatan terbaik, seiring dengan kemajuan teknologi dunia ICT.
Contoh utama yang diberi ialah penglibatan rakyat pada hari berkabung insiden pesawat MH17, yang memperlihatkan peranan kementerian mampu menyatupadukan rakyat seluruh negara melalui perbuatan 'berhenti seketika' bagi menghormati saat bertafakur pada hari itu.
"Mungkin orang kata kementerian ini tidak penting, tetapi kita katakan ini adalah kementerian yang paling strategik.
"Orang menganggap kementerian yang penting boleh bagi wang, tapi tanpa kita, wang ini tidak berguna kalau kita tidak dapat menghubungi hati rakyat semua.
"Saya berharap pada 2018, KKMM sudah ada visual untuk hala tuju kementerian terutama dalam menganjurkan program seperti Amanat Merdeka, KL Converge, Hari Malaysia yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Majlis yang dihoskan Pos Malaysia itu turut dihadiri Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh.
Ahmad Shabery turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Pengarah baharu Penyiaran, Datuk Abu Bakar Ab Rahim menggantikan Datuk Norhyati Ismail berkuat kuasa 17 Okt.
Majlis itu turut meraikan petugas yang lahir pada bulan September dan Oktober.
Pada masa sama, Ahmad Shabery menasihatkan agar warga di bawah KKMM supaya bekerja sebagai satu pasukan untuk menjadikan KKMM sebuah kementerian yang lebih dinamik dan strategik.
-- BERNAMA

Tuesday, 7 October 2014

BERNAMA TV jadi saluran berbahasa Inggeris...


Foto BERNAMA
Stesen televisyen BERNAMA TV perlu menjadi saluran yang menawarkan sumber berita berbahasa Inggeris tahun depan bagi menghadapi era penyiaran digital menjelang 2017.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata langkah itu juga akan menjadikan BERNAMA TV lebih berfokus dalam menyampaikan berita dan mampu menyiarkan laporan bersifat 'breaking news' dan 'real time' kepada penonton.
"Sekarang ini BERNAMA TV mengamalkan konsep pelbagai bahasa dalam rancangan dan beritanya dan ini adalah sesuatu yang sangat pelik dalam mana-mana industri penyiaran.
"Sebagai contoh jika ada berita mengenai kapal tenggelam ia mesti berdasarkan 'breaking news' dan 'real time', tetapi tiba-tiba masuk pula berita bahasa lain, orang akan lari dan menonton saluran lain," katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.
Beliau diminta mengulas mengenai soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang ingin tahu rasional Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadikan BERNAMA TV saluran berita bahasa Inggeris sepenuhnya menjelang tahun depan dan nasib wartawan serta editor Meja Berita bahasa Melayu di stesen tersebut.
Ahmad Shabery berkata saluran berita mesti ada kesinambungan daripada satu laporan ke laporan berikutnya dan ia tidak akan berlaku jika stesen televisyen tersebut mengamalkan konsep penyiaran berita dalam pelbagai bahasa.
Katanya pada masa ini Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah pun menyiarkan berita dalam bahasa Malaysia, justeru BERNAMA TV perlu beralih kepada Bahasa Inggeris bagi mengelakkan pertindihan.
"Saya rasa kita sudah ada banyak saluran berita bahasa Malaysia...sebab itu kita cadangkan BERNAMA TV bertukar kepada bahasa Inggeris supaya tidak sama dengan RTM dan sasaran kita kepada golongan kelas menengah dan masyarakat bandar," katanya.
Anggota Parlimen Kemaman itu turut menjelaskan perubahan konsep BERNAMA TV itu diharap mampu meningkatkan rating penonton dan menarik pengiklanan seterusnya menjana pendapatan kepada stesen televisyen itu.
"Saluran yang ada sekarang kita mendapat 'feedback' yang rendah, jumlah tontonan sangat rendah. Jadi saya merasakan tidak ada sesuatu yang lebih baik melainkan buat sesuatu yang baharu," katanya.
Beliau berkata perubahan tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat mulai hujung tahun ini dengan menambah bilangan jam untuk berita berbahasa Inggeris di saluran itu.
Beliau turut memberi jaminan bahawa perubahan konsep tersebut tidak akan melibatkan sebarang pemecatan kakitangan di stesen tersebut sebaliknya mereka akan terus berkhidmat dan disesuaikan dengan perubahan itu.
-- BERNAMA

Friday, 3 October 2014

Bernama, AzerTAc Sign Pact On News Exchange...


Bernama and AzerTAc, the national news agencies of Malaysia and Azerbaijan, today signed an agreement on co-operation to provide for news exchange.
The agreement was signed by Bernama general manager Datuk Yong Soo Heong and AzerTAc director-general Aslan Aslanov in Baku, the capital city of Azerbaijan, an Islamic republic in the Caucasus region.
Yong, when contacted by Bernama Radio24, said the agreement would enable the two agencies to exchange news in the form of text, photographs and audio-visual material.
He hoped that this would lead to a better understanding between the peoples of Malaysia and Azerbaijan.
"This agreement will mean that they will be able to get more news directly from each other," he said.
He also said that Bernama and AzerTAc would consider the possibility of exchange of journalists on attachment.
"There is much for us to learn from Azerbaijan, a country rich in oil and gas that is now using the wealth to develop its human capital," he said.
Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak visited Azerbaijan last month to strengthen bilateral relations and pave the way for Malaysian investors to venture into the market there.
Yong is in the Azerbaijan capital city to attend the Baku Humanitarian Forum and speak on "Journalism in the Intercultural Context".
The international forum is attended by political leaders, Nobel laureates, leading journalists and academics.
-- BERNAMA

Thursday, 2 October 2014

Datuk Yong bersara 28 Okt ini ...


Pengurus Besar Datuk Yong Soo Heong akan bercuti mulai 7 Oktober 2014 hingga 27 Oktober 2014 sebelum bersara wajib pada 28 Oktober 2014.
Sehubungan itu Ketua Pengarang,Datuk Zulkefli Salleh akan menanggung tugas dan tanggungjawab jawatan Pengurus Besar bagi tempoh tersebut.
Ini dimaklumkan oleh Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran hari ini.
Ia turut memaklumkan pelantikan semula Datuk Abdul Rahman Sulaiman sebagai Pengerusi BERNAMA bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Januari 2016.

Hari ini juga Datuk Zulkefli genap 58 tahun.
Datuk Yong, yang berada di Azerbaijan kerana menghadiri Forum Kemanusiaan Baku, turut menyampaikan ucapan Hari Lahir kepada Datuk Zul menerusi WhatsApp Bernama Eds.
Menerusi WhatsApp yang sama, Datuk Zul mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan ucapan dan doa selamat kepadanya.
“Saya turut doakan kesejahteraan buat kita semua. Teringat saya keperitan ibu melahirkan sang tua ini 58 tahun lampau,” katanya.