Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin akan memberi ruang untuk menyuburkan kebebasan media di negara ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata Malaysia
kini melalui transisi politik untuk menjadi sebuah negara demokrasi matang dan
media memainkan peranan penting dalam membantu merealisasikan objektif itu.
Katanya,kerajaan hari ini
juga lebih bersahaja serta bersedia untuk menerima kebebasan media.
"Wartawan tak perlu
risau akan menerima panggilan daripada PMO (Pejabat Perdana Menteri) atau
daripada menteri-menteri lain.
"Buat lagi debat pun
tak larang. Harap tak ada editor yang akan dipanggil hanya kerana gambar yang
diguna kurang menarik," katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2018 dan
Penyampaian Anugerah Kewartawan Malaysia 2017 MPI-Petronas 2017 di ibu negara
malam ini.
Saifuddin, yang juga
ketua setiausaha sekretariat PH, berkata media di Malaysia juga harus sama-sama memainkan
peranan dalam memberi dan meningkatkan pendidikan politik kepada rakyat negara
ini.
Katanya, ini merupakan
satu aspek penting dalam usaha mematangkan politik dan demokrasi di Malaysia.
Katanya, proses itu harus
disokong dan didokong oleh seluruh rakyat Malaysia, kerana rakyat jugalah yang
akan merupakan pemenang dalam sebuah negara yang mengamalkan politik demokrasi
matang.
HKM MPI-Petronas 2017
menyaksikan pasukan wartawan daripada akhbar ‘ The Star’ dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kajai
menerusi laporan mereka bertajuk ‘The
Student Trafficking Trade’.
Mereka membawa pulang
hadiah wang tunai RM30,000, sijil dan trofi.
Sementara itu, wartawan
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut memenangi tiga hadiah
dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil setiap seorang.
Wartawan Perkhidmatan
Meja Berita Ekonomi, Niam Seet Wei memenangi hadiah sagu hati bagi kategori
Laporan Portal Berita Terbaik menerusi laporannya bertajuk ‘Old bike shop Choo Ho Leong spurred by renewed interest in cycling’,
‘Raise tax relief to boost insurance penetration rate’ dan ‘ Bursa Malaysia concludes 2017 on GHD
note’.
Wartawan Bernama Radio,
Ahmad Fawzan Azmie Abdul Halil dan Nurliyana Farhah Ruslan turut memenangi
hadiah sagu hati bagi kategori Laporan Radio Terbaik masing-masing menerusi laporan
bertajuk ‘Ampang Park: Sayonara’ dan ‘Tapak Pembinaan: Lubang Maut’.
Sementara itu, Pengarang
Urusan Kanan, ‘The Borneo Post’, Francis Chan dan ketua pengarang ‘The
Edge’ Azam Aris dinobatkan sebagai
pemenang Anugerah Khas Juri.
Mereka menerima hadiah
wang tunai RM5,000, sijil dan trofi setiap seorang.
Sebanyak 20 kategori
dipertandingkan tahun ini, antaranya,
Infografik Terbaik, Kartun Editorial Terbaik, Laporan Berita Cemerlang, Laporan
Radio Terbaik, Laporan Portal Berita Terbaik, Foto Esei Cemerlang dan
Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang.
Pertandingan anugerah
MPI-Petronas 2017, anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), menerima 349
penyertaan, berbanding 216 penyertaan tahun sebelumnya.
Turut hadir pada majlis
itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya, tokoh wartawan Datuk
A. Kadir Jasin dan Tan Sri Zainuddin Maidin serta Ketua Juri Hakim Anugerah, Datuk
Yong Soo Heong, bekas Pengurus Besar Bernama.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment