Pengurus
Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Zulkefli Salleh
berkata kurang kefahaman adalah antara punca segelintir pihak menolak
pelaksanaan undang-undang itu.
"Mungkin
apa yang berbeza ialah tafsiran tentang apa itu 'berita tidak benar' tetapi
undang-undang ini diperlukan untuk mengekang berita palsu yang kini semakin
berleluasa,” katanya sebelum program Ruang Bicara yang membincangkan topik Hari
Wartawan Nasional (Hawana) di Wisma Bernama hari ini.
Katanya,
beliau yakin hakim mahkamah akan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam membuat
keputusan dalam kes-kes melibatkan berita palsu.
Sementara
itu, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak,
yang turut menjadi panel program tersebut, berkata dakwaan pelaksanaan
undang-undang itu akan mengekang kebebasan media adalah tidak benar sama
sekali.
"Jika
kita lihat, negara-negara maju seperti Jerman dan Perancis sudah meluluskan
undang-undang ini bagi memerangi berita palsu.
"Perspektif
bahawa kebebasan media akan tersekat dengan adanya undang-undang ini ialah
'double standard'. Kini, hari-hari kita menerima lambakan berita palsu, dan
tanpa undang-undang ini, kebenaran akan tenggelam," katanya.
Beliau
berkata media cetak kini terpaksa bersaing dengan media sosial kerana
masyarakat sekarang lebih bergantung kepada teknologi berbanding kertas
fizikal, sekali gus membuka ruang yang lebih luas untuk tersebarnya berita
palsu.
Katanya,
terdapat kajian yang menyatakan berita palsu tersebar 70 peratus lebih meluas
berbanding berita sahih.
Sementara
itu, Zulkefli, berkata Hawana yang akan berlangsung pada 11 April ini akan
mengetengahkan elemen kewartawanan bertanggungjawab dan pada masa yang sama
meraikan semua wartawan tanpa mengira latar belakang organisasi media.
"Hawana
yang julung kali diadakan turut melihat kebajikan wartawan dan menjadi platform
untuk mendidik masyarakat terutamanya generasi muda untuk lebih memahami proses
penyebaran berita," katanya.
Hari
Wartawan Nasional, bertemakan 'Membela Bangsa, Membina Negara', dijadual
dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Pameran dan
Konvensyen Matrade, di sini, diadakan bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan
pengamal media di negara ini.
--
BERNAMA
No comments:
Post a Comment