Deklarasi itu dibacakan
oleh Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap
pengerusi Jawatankuasa Induk Hawana 2017/2018, Datuk Zulkefli Salleh pada
majlis berkenaan yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia terhasil berdasarkan
perbincangan antara pengamal media tempatan dalam satu sesi wacana yang
dianjurkan bersempena majlis anugerah itu yang berlangsung di Dewan Pameran dan
Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
1.Kami, para wartawan
yang menjunjung tinggi prinsip-prinsip Rukun Negara dan Etika Kewartawanan
menyedari bahawa di bahu kamilah terpikul tanggungjawab sebagai satu daripada
tiang seri amalan Demokrasi Raja Berperlembagaan yang diamalkan sejak Merdeka oleh
negara tercinta, Malaysia.
2. Kami menerima
sebagai tanggungjawab utama kami untuk menyedarkan rakyat terhadap amalan murni
demokrasi, memacu penglibatan segenap lapisan masyarakat dalam proses
pembangunan ke arah kemajuan dan bertoleransi mengekalkan keamanan dan
kemakmuran negara.
3. Demi Malaysia yang
tercinta, kami dengan ini memahatkan ikrar untuk terus memikul tugas dan amanah
dengan penuh bertanggungjawab dan berintegriti. Dengan ini kami berikrar;
i. Dengan penuh amanah
akan melaksanakan tugas memaklumatkan rakyat dengan berita-berita yang benar
semata-mata, berdasarkan fakta dan data yang jelas dan nyata.
ii. Kami akan memerangi
habis-habisan sebarang berita palsu yang direkayasa, yang mengancam keamanan,
kesejahteraan dan kedaulatan negara.
iii. Kami berpegang
teguh kepada Etika Kewartawanan, berteraskan Rukun Negara dan Perlembagaan
Malaysia, menjunjung ajaran agama dan menjaga nilai serta adab budaya
masyarakat.
4. Kami sepakat dan
bersetuju untuk berbincang akan penubuhan Majlis Media Malaysia bagi memastikan
kami sentiasa mematuhi dan menghormati hak-hak setiap warganegara Malaysia
seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sepanjang membuat laporan
dan liputan berita.
5. Kami sepakat dan
bersetuju menetapkan 29 Mei sebagai tarikh tetap sambutan Hari Wartawan
Nasional pada setiap tahun. Tarikh keramat ini sekali gus akan sentiasa
mengingatkan kami tentang ikrar yang telah terpahat di hati dan nurani kami.
"Wartawan Membela
Bangsa, Membina Negara"
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment