Thursday, 30 October 2014

Unjuran untuk lima tahun akan datang ...



Kepentingan Media Sosial kini diambil kira sebagai satu pelan tindakan  Jabatan Editorial dalam Laporan Pematuhan KPI-PSJP (Pelan Strategik Jangka Panjang) 2015-2019.  
Perkhidmatan Berita Dalam Negeri mensasarkan kenaikan 500,000 pengunjung setiap tahun bagi laman web rasmi Bernama (www.bernama.com) yang kini mencecah 100 juta hits setahun.
“Bernama Facebook dan Bernama Twitter juga diberi perhatian untuk dipertingkatkan jumlah penggunanya,” kata Timbalan Ketua Pengarang PBDN Datuk Zakaria Wahab ketika membentangkan laporan KPI bahagiannya kepada Ketua Pengarang Datuk Zulkefli Salleh, yang menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai  Pengurus Besar, di Wisma Bernama, hari ini.
Sesi unjuran KPI untuk tempoh lima tahun itu disertai 25 pegawai kanan Bernama dari setiap bahagian termasuk Bernama TV dan Bernama Radio24.
Bagi berita ekslusif, berdasarkan jumlah pemberita yang ada, PBDN mensasarkan lebih 3,000 artikel setahun untuk paparan umum.
 “(Tugas wartawan) ni macam kerja doktor .. hanya bilangan yang terhad dapat ditetapkan. Kalau kerajaan nak kita keluarkan banyak berita, perlu beri (Bernama) peluang ambil ramai lagi wartawan” kata Datuk Zakaria.
Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) pula membuat unjuran penambahan kecil pengeluaran berita kerana mahu menumpukan kepada peningkatan kualiti berita yang dihasilkan.
Timbalan Ketua Pengarang PBA Ahmad Zukiman Zain berkata dalam persaingan semakin sengit untuk mendapatkan ruang akhbar serta kehendak pelanggan yang meningkat, soal kualiti perlu diutamakan.
“Walaupun unjuran yang kami berikan ini adalah kecil namun pencapaian sebenarnya nanti mungkin lebih tinggi daripada angka yang dipaparkan,” katanya.    
Editor, Meja Rencana dan Isu-Isu Khas Haji Nasir Yusoff pula memberi perhatian ke atas KPI yang mengutamakan isu-isu semasa (politik, ekonomi dan sosial) di peringkat negeri.
Sehubungan itu, Ketua Pengarang mengingatkan supaya diperbanyakkan artikel yang menyentuh perpaduan rakyat.
Editor Bernama.com  Ahmad Kamil Tahir pula mensasarkan tempoh tidak  melebihi 10 minit untuk memaparkan berita yang telah diedit. Ini selari dengan Dasar Kualiti Bernama yang menggariskan tiga aspek penting iaitu ‘menyalurkan berita dan maklumat dengan cepat, tepat dan lengkap dalam bentuk teks, audio visual dan foto’.
Ketua Pegawai Operasi  Bernama Radio24, Azlan Idris memberi  tumpuan untuk memantapkan pasukan pemberita radio selain perolehan pendapatan.
Ini bagi membolehkan Bernama Radio24 mampu berdikari dan terus meraih anugerah  dalam industri penyiaran.
Datuk Zulkefli mahu Bernama Radio24 memanfaatkan kemahiran petugas mereka yang versatil untuk tujuan pelbagai bentuk tugasan.  
Laporan KPI Bahagian Komunikasi Koporat yang disampaikan Pengurusnya, Zarina Rozali menetapkan sekurang-kurangnya satu program ‘CSR’ yang  berkesan untuk masyarakat.
KPI Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran, yang dibentangkan oleh Pegawai Tadbir Marzukhi Salleh, mengemukakan elemen peperiksaan ke atas calon yang ditemuduga dalam proses pengambilan wartawan baru. Ini bagi memastikan kualiti wartawan berada pada tahap yang boleh dibanggakan.     
Bahagian MREM mensasarkan peningkatan lima peratus hasil jualan dengan anggaran minimum 10 acara rasmi setahun.
Bahagian Pemasaran Media pula mensasarkan kenaikan RM300,000 setahun bermula tahun 2015.
Laporan KPI Bahagian Portal yang dibentangkan oleh Pengurus Kanan Pemasaran Foto dan Portal, Puan Maznah Khalil meletakkan sasaran tujuh peratus setahun bagi memperolehi jumlah pelanggan dan pengiklan. Agensi-agensi kerajaan digalakkan mengguna perkhidmatan portal Bernama bagi tujuan publisiti yang lebih menyeluruh.
Pembentangan KPI  setiap jabatan di Bernama itu merupakan  kesinambungan dari tempoh 5 tahun terdahulu dari 2010 hingga 2014 seperti mana dikehendaki di peringkat kementerian.  
  
(Laporan Syed Khedher Ismail)      

No comments:

Post a Comment