FotoBERNAMA |
Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama) perlu lebih versatil dan bekerja bersungguh-sungguh dalam menghadapi
dunia kewartawanan yang semakin mencabar.
Demikian kata-kata nasihat daripada
Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong yang bersara wajib hari ini setelah
berkhidmat selama 40 tahun di agensi berita itu.
"Sekiranya kita tidak versatil, kita
mungkin tidak mampu menghasilkan berita yang lebih menarik, petugas juga perlu
menguasai lebih banyak bahasa kerana ia akan memperkuatkan Bernama," kata
Yong pada majlis perpisahannya di Wisma Bernama.
Beliau juga menaruh harapan agar Bernama
dapat melakukan anjakan paradigma dengan menghasilkan sebuah aplikasi untuk
telefon pintar dalam penyaluran berita yang lebih pantas supaya lebih ramai
mengetahui kewujudan dan kehebatan Bernama.
"Pada masa sekarang media sosial
merupakan medium utama kepada kebanyakan masyarakat di negara ini. Pelbagai
jenis berita termasuk yang berunsurkan khabar angin turut tersebar luas dan
cepat melalui media sosial," katanya.
Yong juga berharap agar Bernama terus
berperanan dalam pengurusan acara dengan menganjurkan lebih banyak acara
berunsurkan pengucapan awam dan persidangan yang memberi peluang kepada orang
ramai untuk menyertainya.
"Contohnya pada tahun ini, kita telah
menjadi antara penganjur utama Persidangan Ekonomi Kebangsaan, Persidangan
Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dan baru-baru ini Forum Media bagi
Persidangan Dwi Tahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan
Pengurusan (CAPAM)," katanya.
Yong, yang genap berusia 60 tahun hari ini,
tidak akan melupakan Bernama yang sentiasa mengajar beliau untuk menjadi
wartawan yang lebih baik sehingga kini.
Ditanya perancangan masa depannya,
Yong berkata pelbagai idea menarik terpahat di dalam mindanya bagaimana
untuk bersara dalam cara yang menyenangkan.
"Sesetengah kemahiran tidak hilang
dimamah usia. Sudah tentu banyak yang boleh dilakukan apatah lagi saya kini ada
banyak masa lapang," katanya.
Persaraan beliau itu juga semestinya jelas
dirasai seluruh petugas Bernama yang akan merindui kemesraan, senyuman dan
lawak jenaka yang sering diungkapkannya.
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli
Salleh berkata para petugas selesa bekerja di bawah pentadbiran Yong yang
digambarkan sebagai seorang yang serius tetapi sentiasa bersahaja dalam menegur
kakitangannya.
"Kami rasa terharu dengan persaraan
beliau dan berharap agar Datuk Yong sedia dihubungi pada bila-bila masa untuk mendapatkan
pandangan dan nasihat berharga beliau selepas ini," katanya pada majlis
perpisahan itu.
FotoBERNAMA |
Setiausaha Yong, Wan Suriani Wan Hassan
kelihatan agak sebak kerana sepanjang perkhidmatannya selama 10 tahun,
majikannya itu sentiasa memberi kenangan manis yang akan terpahat selamanya
dalam dirinya.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarang
Perkhidmatan Berita Ekonomi (PBE) Bernama Mikhail Raj Abdullah menyifatkan Yong
sebagai seorang ketua yang bijak dan mesra.
"Saya bertugas bersama beliau selama
hampir 30 tahun, terutamanya dalam menghasilkan berita ekonomi. Beliau sering
memberi nasihat berguna kepada pemberita muda semasa berkhidmat sebagai editor
eksekutif PBE," katanya.
Pengurus Kanan Sumber Manusia dan
Pentadbiran S. Visvakumar berkata di sebalik kesibukannya sebagai pengurus
besar agensi berita terbesar di Malaysia, Yong masih sempat meluangkan masa
untuk menulis dan menghasilkan berita.
"Beliau tidak senang duduk jika tidak
menulis (berita)... tambahan pula, beliau seorang yang adil apabila membuat
keputusan, setiap daripada kita berasa selesa bekerja di bawah pimpinan
beliau," katanya.
Pegawai Berita Meja Mahkamah, Zalina Maizan
Ngah berkata Yong sentiasa memberi kata-kata semangat kepada para wartawan agar
bekerja lebih keras dan sentiasa memberi nilai tambah dalam sesuatu berita.
"Ketika saya dikritik semasa membuat
liputan Teoh Beng Hock, hanya beliau yang SMS saya memberi kata-kata semangat.
Saya sentiasa ingat kebaikan beliau dan semoga kita semua mampu menjadi
sepertinya," katanya.
Pegawai Berita PBE,
Noor Soraya Mohd Jamal berkata sejak menyertai Bernama pada tahun 2004 di Meja
Berita Ekonomi, Yong yang ketika itu menjadi Editor di meja tersebut merupakan
seorang ketua yang tegas tetapi tidak pernah menjerit memarahi wartawan.
"Beliau sememangnya bukanlah orang
yang memanjakan pemberita. Pemberita muda perlu mempelajari kemahiran beliau
untuk mengubah berita yang paling membosankan menjadi berita yang sangat
menarik," katanya.
Yong, menyertai Bernama sebagai pemberita
kadet pada 1974 sebelum menjadi Penolong Editor pada 1993, Editor pada 1997 dan
Editor Eksekutif PBE pada 2004.
Beliau kemudian dinaikkan pangkat kepada
Ketua Pengarang selama enam tahun dari 1 Mac 2007 hingga 14 Mac 2013 dan
Pengurus Besar pada 1 Jan 2013.
Pakar dalam berita perniagaan, liputan
berita beliau yang paling penting dalam kerjayanya termasuk wawancara secara
langsung dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1 Sept 1998
berhubung tambatan kawalan tukaran selektif Ringgit Malaysia kepada Dolar
Amerika.
Beliau turut menemu bual usahawan asing
tersohor seperti Akio Morita, pengasas Sony Corp, Michael Dell daripada Dell
Corp dan Alan Mulally daripada Ford Motors Corp (sebelum ini Boeing Corp).
Yong turut berperanan penting dalam
memperluaskan peranan PBE Bernama yang kini mempunyai hampir 40 wartawan berita
ekonomi.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment