Thursday 7 June 2018

'Sepatu Raya' Benita ceriakan sambutan Aidilfitri anak-anak yatim


Persiapan Aidilfitri bagi 35 penghuni Asrama Anak Yatim dan Asnaf Baitul Rahmaniah (BaiRah) Rasa, Selangor nyata meriah dan ceria apabila mereka berpeluang memilih kasut raya di kedai kasut Bata, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur hari ini.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka kerana kos kasut dibiayai hasil sumbangan para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan penyertaan orang awam menerusi program 'Sepatu Raya' anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita).
Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab yang turut hadir menyokong usaha berkenaan bersama-sama melayan gelagat anak-anak yatim yang berusia lima hingga 18 tahun itu memilih kasut raya mereka.
Zakaria berkata program yang masuk tahun ke-11 itu membuktikan keprihatinan kakitangan Bernama dan Benita yang komited menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta bermurah hati menyumbang bagi menjayakan program itu saban tahun.
"Menerusi program ini, kami dapat lihat anak-anak ini gembira dan meriah memilih kasut. Ia adalah matlamat kami agar dapat sama-sama menceriakan sambutan Hari Raya mereka," katanya.
Penghuni asrama anak yatim itu, Siti Nor Hawa Terdin,18, berkata dia amat gembira kerana memiliki kasut baharu sebagai pelengkap keperluan untuk sambutan Hari Raya tahun ini.
"Saya seronok sebab baju sudah ada dan hari ini dapat kasut baharu warna kuning kemerah-merahan. Memang puas hati dapat pilih sendiri dan kasut itu kena dengan cita rasa saya selain selesa dipakai," katanya.
Pengerusi Benita Datin Rohana Mustafa berkata tahun ini merupakan tahun kesembilan kerjasama persatuan itu dengan pihak Bata sementara penganjuran program yang masuk kali ke-11.
Beliau berkata pada tahun ini sambutan program amat menggalakkan dan mendapat jumlah kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM9,000 selain kerjasama Bata yang memberikan harga diskaun menarik bagi pembelian kasut raya berkenaan.
"Selain kasut, wang sumbangan program ini juga diberi sebagai duit raya dan perbelanjaan rumah anak yatim berkenaan," katanya yang berharap aktiviti tahunan itu dapat diteruskan dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment