Friday 25 April 2014

Makmal Saham Bernama-UMS Lakar Sejarah...


Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakar sejarah dengan pembukaan Makmal Saham secara rasmi di Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan universiti berkenaan di Kota Kinabalu hari ini.
Ini menjadikan universiti itu sebagai institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang memperkenalkan modul pengajaran urus niaga pasaran saham masa nyata kepada pelajarnya.
Majlis itu disempurnakan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah dengan disaksikan Pengerusi BERNAMA Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Systems and Solutions Advisors Sdn Bhd (Bessar) Muniyati Muhammad dan Dekan Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan Prof Madya Dr Rasid Mail.
Bernama menyediakan 45 terminal komputer yang dilengkapi perisian Bessar, yang juga anak syarikat Bernama iaitu 'Financial Information Sevices' (FIS) yang mengandungi maklumat masa nyata urus niaga pasaran saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Perisian itu juga membolehkan simulasi pelaburan saham dibuat secara maya dengan menggunakan maklumat sebenar pasaran selain membolehkan pelajar mengalami suasana sebenar pelaburan dan membina kemahiran dalam pelaburan saham.
Makmal saham itu juga mempunyai sebuah galeri saham awam yang memaparkan pergerakan harga bagi semua kaunter yang disenaraikan di BSKL.
Dr Mohd Harun berkata makmal itu dibuka tepat pada masanya kerana ia merupakan pengajaran secara amali yang menyediakan data masa nyata yang cukup baik kepada pelajar.
"Jadi perkembangan ini amat bagus kepada pelajar sebagai pusat rujukan yang menunjukkan UMS amat serius memberi peluang pengajaran kepada pelajar dan pengajaran secara amali itu akan menjadikan pelajar lebih yakin apabila keluar bekerja," katanya.
Dr Rasid berkata makmal itu menjadi satu anjakan baharu kepada Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan yang akan memperoleh pengalaman luas sebagai pusat rujukan menerusi penjenamaan semula sebagai galeri urus niaga saham yang menelan kos kira-kira RM1 juta.

No comments:

Post a Comment