Friday 18 April 2014

Nasa dan Sakini rangkul hadiah kewartawanan ...


Wartawan Sakini Mohd Said dan jurufoto Mohd Nasaruddin Mohamad Adib menaikkan nama Bernama apabila memenangi Hadiah Kewartawanan Institut Akhbar Malaysia (MPI)-Petronas 2013, -- pengiktirafan paling prestij kewartawanan negara, malam ini.
Sakini dari Meja Rencana dan Isu Khas merangkul Hadiah Wartawan Muda A. Samad Said bersama Pauline Wong dari The Heat.
 Ini merupakan anugerah kedua dimenangi Sakini dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas memenangi Pertandingan Kewartawanan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) 2013, bulan lepas.
Beliau memenangi RM7,500. Sakini berkata kemenangannya menerusi laporan bertajuk 'Insiden Lahad Datu Bukti Keutuhan Semangat Perpaduan', adalah sesuatu di luar jangkaan.
"Memang saya tidak sangka sama sekali. Alhamdulillah, syukur di atas kemenangan ini yang akan terus membakar semangat saya untuk menulis lebih banyak laporan berkualiti," katanya.
Nasaruddin pula memenangi kategori Kewartawanan Foto Cemerlang menerusi foto peserta Jelajah Malaysia 2013 melintasi stesen keretapi Gemas ketika bersaing dalam peringkat kedua perlumbaan itu. Beliau memenangi RM15,000.
Menyertai Bernama sebagai editor video di Bernama TV pada tahun 1999, Nasa memilih untuk menyertai Unit Foto ketika Bernama TV disusun semula pada tahun 2008.
Sementara itu, Anugerah Kajai 2013 dimenangi wartawan Berita Harian Wan Norhayati Wan Alias menerusi laporan khasnya yang mendedahkan perbuatan segelintir pegawai imigresen di Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) yang menerima sogokan untuk melepaskan warga asing secara haram.
 Beliau membawa pulang wang tunai RM30,000, syiling emas 100 gram dan Mini iPad yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Wan Norhayati berkata beliau menulis laporan atas kesedaran untuk memperbaiki kelemahan yang ada di Malaysia demi kepentingan rakyat negara ini .
"Tujuan saya menulis ini adalah untuk kepentingan nasional. Kita mahu bersama-sama kerajaan supaya dapat memperbaiki sistem sedia ada yang terdapat kekurangan," katanya.
Seramai 284 orang wartawan daripada pelbagai pertubuhan media cetak dan elektronik mengemukakan 552 penyertaan bagi pertandingan itu.
Terdapat 12 kategori dipertandingkan pada Hadiah Kewartawanan Malaysia tahun ini dengan setiap kategori menawarkan hadiah wang tunai RM15,000, kecuali untuk Anugerah Esei Foto Cemerlang yang menawarkan hadiah wang tunai RM12,500.
Hadiah Kewartawanan Malaysia diperkenalkan pada tahun 1980 sebagai satu usaha untuk mengiktiraf karya-karya terbaik kewartawanan Malaysia bertujuan meningkatkan kualiti kewartawanan di negara ini.
Turut hadir pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI Datuk Chamil Wariya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment